FDI Jatuh: Najib Salahkan PH, PH salahkan PN..


Prospek pertumbuhan jangka panjang yang lebih baik, iklim pelaburan yang menarik, dan dasar konsisten antara sebab yang mendorong pelabur antarabangsa memilih negara ASEAN lain berbanding Malaysia, kata seorang ahli ekonomi.

Profesor ekonomi di Universiti Sunway, Yeah Kim Leng, turut berkata kestabilan politik, tadbir urus yang baik, rasuah yang rendah, dan “usaha promosi terselaras dari peringkat tertinggi” sebagai beberapa faktor mengapa Singapura, Indonesia, dan Vietnam berjaya menarik pelaburan berprofil tinggi mutakhir ini.

Ketiga-tiga negara itu menerima lebih 80% daripada pelaburan langsung asing (FDI) AS$156 bilion ke negara-negara ASEAN tahun lalu, menurut agensi perdagangan PBB, UNCTAD. Hanya 5%, atau sekitar RM31.7 bilion (AS$7.8 bilion), ke Malaysia.

“Malaysia perlu meningkatkan prestasinya dalam semua ini yang menarik pelbagai jenis pelabur yang mencari kecekapan, mencari pasaran, dan mencari sumber,” kata Yeah.

Menyatakan usaha Indonesia dalam membasmi rasuah menghasilkan peningkatan mendadak pada ranking dunianya, Yeah juga berkata pemilihan semula Presiden Indonesia, Joko Widodo, tahun lalu “mencetuskan minat pelabur antarabangsa” terhadap pelan prasarana dan perindustriannya.


Yeah, bekas ketua kumpulan ahli ekonomi di agensi penarafan kredit RAM Holdings, juga berkata strategi promosi pelaburan yang terselaras di Indonesia membolehkan kerajaan republik itu “menguja syarikat global terkemuka” dengan pasaran yang besar dan berkembang sekitar 270 juta penduduk.

Tambahan pula, Yeah berkata potensi Indonesia untuk membangunkan sumber alam yang luas diperhatikan syarikat global yang mencari peluang pelaburan berasaskan sumber.

Yeah mengulas catatan bekas perdana menteri Najib Razak di Facebook baru-baru ini yang mengatakan terdapat kekurangan usaha untuk menarik pelabur asing dalam 2 tahun lalu.

Najib berkata syarikat gergasi teknologi AS seperti Tesla, Amazon, dan Google melihat Indonesia sebagai pilihan pelaburan dan mempersoalkan apa yang dibuat agensi pelaburan Malaysia untuk menarik FDI.

Walaupun FDI ke Malaysia meningkat 3.1% dari RM30.7 bilion pada 2018 kepada RM31.7 bilion pada 2019, ini penurunan yang ketara dari dua tahun sebelumnya. Malaysia melaporkan RM41 bilion pada 2017 dan RM47.2 bilion pada 2016.

Menyatakan negara mempunyai pejabat perdagangan, misi pelaburan, dan pelbagai kakitangan yang mempromosikan negara di luar negara, ahli ekonomi kanan di Malaysian Rating Corporation, Firdaos Rosli, tidak setuju agensi pelaburan Malaysia “tidak berbuat sehabis baik” untuk menarik pelaburan.

Jelas beliau, agensi pelaburan negara hanya menjalankan tugas dalam ruang peraturan sekarang.

“Apa kelebihan kita?” soal beliau. “Itu persoalannya”.

“Peraturan kita bagus untuk menarik pelaburan bernilai rendah. Tetapi apabila negara-negara lain juga menawarkan insentif yang sama, kita mengehadkan diri kepada bersaing di ruang yang kita akan kalah.”

Senada dengan Yeah mengenai betapa besarnya pasaran domestik Indonesia, Nazari Ismail dari Jabatan Strategi Perniagaan dan Dasar di Universiti Malaya menyifatkannya sebagai “sebab utama” pelabur antarabangsa masuk ke Indonesia – dengan kos operasi yang lebih rendah juga menjadi faktor utama.

“Indonesia mempunyai 267 juta penduduk, jadi tentunya sukar untuk menyaingi mereka dari segi potensi pasaran dan juga kos operasi,” katanya.

“Itulah sebabnya syarikat (Tesla, Amazon, dan Google) juga mengabaikan Singapura, yang jauh lebih mahal jika dibandingkan dengan Indonesia.

“Oleh itu, saya tidak akan menyalahkan kerajaan dalam isu ini kecuali jika anda juga mahu meningkatkan jumlah penduduk kita sebanyak Indonesia dan menurunkan gaji agar setanding mereka, di mana kedua-duanya bukan pilihan yang realistik.”

Laporan dipetik dari FMT

Berikut pula adalah sebahagian dari ulasan Najib dilaman Facebook miliknya pada December 2020 mengenai FDI negara yang merosot..

Apabila pelabur pilih negara untuk melabur, mereka akan pertimbangkan:

1) saiz pasaran domestik 
2) kos tenaga kerja mahir yang murah 
3) halatuju negara 
4) infrastruktur negara 
5) kestabilan politik negara 
 6) Sistem perundangan yang adil dan telus 
7) kadar cukai korporat. 
8) Kecekapan pentadbiran 
9) Hubungan diplomasi antara negara yang baik 
10) Pemimpin tertinggi negara yang sering cari dan secara aktif membina hubungan peribadi rapat dengan tokoh syarikat asing terbesar seluruh dunia serta pemimpin-pemimpin negara lain.

Akibat PRU14, PH telah menjahanamkan - 3) halatuju negara apabila menggantikan Pelan Transformasi Negara yang begitu teratur dan komprehensif kepada pelan Wawasan Kekayaan Bersama 2030 (WBK2030) yang entah siapa tahu apa bendanya. 
PH telah bantutkan - 4) infrastruktur negara apabila mereka batalkan atau perlambatkan rata-rata projek infrastruktur seperti projek saluran petroleum, LRT3, HSR, MRT2, MRT3, RTS, ECRL, Melaka Gateway, dan Pan Borneo Highway. Akibat hasutan berdasar kebencian terhadap peribadi dan perkauman, janji-janji manifesto bukan kitab suci, fitnah dan sebagainya 
PH juga telah hancurkan - 5) kestabilan politik negara hari ini. Walaupun kerajaan PH sudah bertukar tangan menjadi kerajaan PN, ketidakstabilan politik negara masih amat berbahaya dan merupakan antara faktor paling besar kenapa pelabur asing tak masuk. 
PH telah menjahanamkan - 6) Sistem perundangan yang adil dan telus apabila mereka ganti hampir kesemua jawatan-jawatan penting institusi negara seperti Peguam Negara, Ketua Hakim Negara, Pendakwaraya, ketua SPRM dengan orang-orang mereka supaya sistem perundangan negara digunakan untuk menyeksa dan mengenakan lawan politik mereka.

Pada tahun 2006, kadar cukai korporat Malaysia adalah kedua paling rendah di rantau ASEAN. - Singapura 17% - Malaysia 28% - Vietnam 28% - Thailand 30% - Indonesia 30%

Kadar cukai korporat USA lagi tinggi, iaitu 35%.

Tahun 2020 ini, kadar cukai korporat Malaysia menjadi paling tinggi. Malah, USA menjadi lebih rendah berbanding kita. - Singapura 17% - Vietnam 20% - Thailand 20% - USA (bukan ASEAN) - Indonesia 22% - Malaysia 24%

PH telah menghalang rancangan kerajaan BN dahulu untuk terus mengurangkan - 7) kadar cukai korporat Malaysia kepada 20% supaya kita masih kompetitif dengan negara-negara jiran apabila PH mansuhkan GST dan naikkan semula kebergantungan negara kepada hasil petroleum pada ketika harga minyak dunia turun. 

Akhirnya, PH rosakkan - 8) kecekapan pentadbiran dengan melantik para-para akauntan gagal, mat tak lepas kursus kulinari, pelawak yang tidur tepi jalan, mereka yang tipu sijil, pemfitnah yang terus menipu rakyat untuk menjadi menteri-menteri manakala PM pula adalah seorang yang kaki cari gaduh merata dunia dengan idea yang ketinggalan zaman 20 tahun. 

Hatta, masa depan negara kita agak malar pada masa kini jika kesemua ini tidak diperbetulkan sebab faktor - 1) saiz pasaran domestik adalah di luar kawalan kerajaan. 
Untuk faktor - 2) Kos tenaga kerja mahir yang rendah, adakah Rakyat Malaysia sanggup terus ikat perut untuk menerima gaji yang rendah dan jangan iri hati orang kaya seperti sering disaran Tun Mahathir? 

Antara 10 faktor utama untuk tarik pelaburan, PH sudah hancurkan 8. 

Dan jika kesemua faktor-faktor diatas itu tidak diperbetulkan pada masa yang singkat maka pelaburan asing ke Malaysia berbanding negara-negara jiran bagi tahun-tahun mendatang agak malap.

Najib salahkan PH.. sekarang penyokong PH pulak salahkan PN..

Ha.. ha... ha.. macam lagu "Bangau Oh Bangau" pulak jadinya... BN salahkan PH.. PH salahkan PN.. 

2 Comments

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

  1. Politik tak stabil bhai... memang tak stabil.. ramai yang giler kuasa... susah nak cakap... bab rasuah pelabur tak heran pun... lagi kuat rasuah pon depa senang hati ja... janji semua boleh setel..

    C++
    CipanTapirTenuk.Blogspot

    ReplyDelete

Post a Comment

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment

Previous Post Next Post