Jual MyKad : Kerana Senyum Segalanya Kantoi...


MELANTIK ejen dan mengenakan bayaran RM50,000 hingga RM100,000 kepada mana-mana warga asing mendapatkan MyKad dan menjadikan mereka warganegara Malaysia.

Itu modus operandi seorang pegawai kanan JPN Pulau Pinang berumur 40-an yang bersekongkol dengan seorang ejen atau runner yang ditugaskan mencari pelanggan berminat mendapatkan MyKad.

Namun, sebaik berjaya menjual enam MyKad, kegiatan pegawai kanan terbabit dibongkar selepas diberkas polis bersama seorang lelaki yang juga runner serta seorang wanita warga asing yang membeli MyKad diluluskan pegawai berkenaan.

Menurut sumber, kegiatan itu terbongkar selepas seorang warga China yang membeli MyKad berkenaan tampil di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk membuat pasport, minggu lalu.

“Wanita berusia antara 25 hingga 30 tahun itu datang ke imigresen negeri untuk membuat pasport Malaysia dengan mengemukakan MyKad miliknya yang sah.

“Namun, status kewarganegaraan wanita itu diragui selepas berlaku masalah komunikasi dengan pegawai bertugas.

“Wanita terbabit gagal menjawab semua soalan yang diajukan di dalam bahasa Melayu, sebaliknya hanya tersenyum,” katanya.

Katannya, pegawai Imigresen yang curiga dengan kejadian itu kemudiannya membuat laporan polis.

Sumber itu berkata, susulan laporan itu, wanita warga China terbabit ditahan polis sebelum satu pasukan khas terdiri daripada Cawangan Khas, Unit Siasatan Jenayah Terancang (D14) Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kontinjen Pulau Pinang ditubuhkan bagi mengesan kegiatan pegawai kanan berkenaan.

“Hasil intipan dan siasatan, pasukan khas berkenaan menahan pegawai kanan JPN terbabit di pejabatnya sebelum menahan seorang lagi lelaki dipercayai ejen atau runner kepada pegawai kanan terbabit manakala wanita asing berkenaan ditahan lebih awal,” katanya.

Menjelaskan lanjut, sumber itu berkata, modus operandi sindiket menggunakan ejen yang akan membawa butiran pelanggan untuk diproses kepada pegawai kanan berkenaan selepas menerima bayaran.

“Semua urusan tunai. Satu MyKad dijual antara RM50,000 hingga RM100,000,” katanya.

Sementara itu, jurucakap JPN berkata, pihaknya menunggu siasatan penuh dijalankan polis sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung penahanan pegawai kanan di agensi berkenaan.

Dakwa pegawai kanan JPN Pulau Pinang

Seorang penolong pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang akan didakwa di Mahkamah Sesyen 2 Georgetown, jam 9 pagi hari ini berhubung kes penjualan MyKad kepada warga asing di negeri ini.

Sumber Pejabat Pendakwaraya negeri berkata, tertuduh yang juga Penolong Pengarah Bahagian Kad Pengenalan, JPN Pulau Pinang (JPN) berusia 40-an berkenaan dijadualkan dituduh hari ini.

Menurutnya, suspek ditahan di JPN Pulau Pinang minggu lalu mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Harian Metro hari ini melaporkan kes penahanan seorang pegawai kanan JPN oleh polis susulan pembongkaran aktiviti penjualan MyKad kepada seorang warga China di negeri ini, baru-baru ini.

Dalam operasi khas minggu lalu, suspek ditahan bagi membantu siasatan berhubung laporan dibuat Jabatan Imigresen negeri (JIM) mengenai wanita warga China yang memiliki MyKad yang sah cuba memohon pasport Malaysia lapor MyMetro


... Sebelum ini.. pada hari Rabu, 11 September 2019 Harian Metro telah melaporkan 20 individu ditahan kerana kes jual MyKad

DUA puluh individu termasuk kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang ditahan polis bagi membantu siasatan kes penjualan MyKad kepada warga asing.

Serbuan dilakukan 19 Ogos lalu oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan Bahagian (D14) Siasatan Jenayah Terancang Bukit Aman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, mereka berusia 32 hingga 70 tahun ditahan dalam operasi khas susulan penahanan beberapa suspek terdahulu.

Menurutnya, mereka terdiri 17 warga tempatan termasuk dua wanita, masing-masing satu lelaki dan wanita warga China serta seorang lelaki warga India ditahan bagi membantu siasatan.

“Mereka yang ditahan membabitkan ejen, orang tengah, penganjur, pemilik kad pengenalan, sijil lahir dan pasport Malaysia palsu.

“Polis turut merampas 38 telefon bimbit, dua CPU, komputer riba (6), pasport (34), kad pengenalan (11), pendrive (19), salinan sijil kelahiran (5), salinan kad pengenalan (6) dan salinan pasport (58).

“Tiga borang permohonan kad pengenalan, buku daftar pesuruhjaya sumpah (4), beberapa dokumen JPN, kereta (6) dan wang tunai RM38,340.21 turut dirampas untuk siasatan,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, semua 20 individu berkenaan ditahan mengikut Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2010.

Katanya, siasatan ke atas mereka dibuat mengikut Akta Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) SOSMA 2012 dan direman selama 28 hari di bawah Seksyen 4(5) Akta SOSMA 2012.

Siasatan awal mendedahkan operasi mereka yang mana ejen sindiket akan mencari warga asing yang mahu mendapatkan taraf warganegara.

“Pegawai JPN terbabit kemudian menguruskan sijil kelahiran dan kad pengenalan secara tidak sah.

“Ketika proses kemas kini data, pegawai terbabit akan mengarahkan kakitangan JPN untuk terbabit sama dan sindiket ini mampu memperoleh bayaran antara RM100,000 hingga RM600,000 bergantung kepada permintaan,” katanya.

Menurutnya, suspek yang juga kakitangan JPN akan didakwa mengikut Seksyen 26E ATIPSOM, Seksyen 466 Kanun Keseksaan (tuduhan pilihan) dan Peraturan 25(1)(I) PPPN.

Katanya, lima suspek lain juga akan didakwa mengikut Seksyen 26E ATIPSOM manakala siasatan sedang dilakukan terhadap individu lain.

“Siasatan masih diteruskan dan polis sedang mengesan ahli sindiket terbabit yang masih bebas,” katanya.

Katanya, terdahulu, pihak polis menahan seorang wanita warga China selepas Imigresen mengesyakinya secara salah mengemukakan dirinya sebagai warganegara Malaysia untuk memperoleh pasport pada 16 Mei lalu.

“Laporan polis dibuat mengenai perkara itu dan kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen dan Seksyen 12(1)(C) Akta Pasport 1966 namun kes terhadap suspek diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) sebelum dia ditahan sekali lagi pada 27 Mei lalu di bawah Peraturan 25(1)(E) Peraturan-Peraturan Negara (PPPN) 1990.

“Wanita itu kemudian didakwa atas tiga pertuduhan mengikut Peraturan 25(1)(E) Peraturan-Peraturan Negara (PPPN) 1990, Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1)(C) Akta Pasport 1966 sebelum dia mengaku salah terhadap semua pertuduhan terbabit.

“Pada 31 Mei lalu, JPN membuat laporan mengenai sindiket itu sebelum hasil risikan dilakukan menahan seorang lelaki warga China di Lapangan Terbang Bayan Lepas, Pulau Pinang yang membawa kepada penemuan sijil lahir, kad pengenalan, pasport Malaysia dan beberapa pasport negara asing,” katanya.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

3 comments

comments
Anonymous
September 12, 2019 at 12:05 PM delete

Ada satu cerita lama dah.... Mengenai permohonan kad pengenalan yang tak akan di lupakan.

2 Warga asing dari China akan di temu-duga oleh Pengawai dan mereka berdua di ajar oleh se orang individu untuk menjawab dua soalan ia itu siapa nama? Dan soalan kedua ia lah tinggal mana? Banyak kali mereka ulangkan sebagai latihan.


Tiba masa temu-duga, Pegawai punya tanya Encik tinggal di mana?' Pemohon jawab 'nama saya.....' Soalan kedua 'siapa nama Encik?' Lalu di jawab ' saya tinggal di....' Tahan perut nak ketawa.

Ini kerana masa latihan tadi soalan pertama ia lah siapa nama dan soalan kedua tinggal mana... Pegawai tersebut telah menukar kan soalan kedua ke pada soalan pertama...


Masuk pulak pemohon yang ke dua... Tempat temu-duga itu terbuka dan hanya berdindingkan cubicle (pejabat sementara) ... Individu yang mengajar telah memberi tahu pemohon pertama telah gagal... Dan memberi tahu apa sebab gagal..

Pemohon kedua di tanya oleh Pegawai... 'Siapa nama..' Teringat kan kawan nya yang terkena soalan tadi lalu dia jawab 'saya tinggal di.... ' dan untuk soalan kedua tinggal di mana.. Pemohon jawab ' nama saya...'

Sepanjang jalan dalam kereta ketawa sampai keluar air mata...

Reply
avatar
September 12, 2019 at 1:08 PM delete

Ni mesti keje DAP ni... Jahat betul la DAP ni.... Nasib baik aku ahli PKR klang...
😐😐😐😐😐😐😑😑

Reply
avatar
Anonymous
September 12, 2019 at 10:26 PM delete

Kalau betul la malaon-malaon ni buat kerja haram jual mycard ni pd warga asing, hukuman yg paling setimpal ialah penjara seumor hidup sebab mereka dah mengkhianati negara dan menkompromi keselamatan negara. Tapi biasa la lepas sebulan macam tu semua orang lupa sebab banyak skandal lain nak layan....wal hasil balik asal. Rule of law la konon!!!

Reply
avatar
Related Posts with Thumbnails

Followers

Archive