Jangan Persoal Janji Peralihan Kuasa


Janji peralihan kuasa yang terkandung dalam dokumen bersama ditandatangani oleh 4 parti komponen Pakatan Harapan dan diumumkan dalam Konvensyen Pakatan Harapan (PH) pada 2018 lalu adalah muktamad dan tidak perlu diungkit berulang-ulang kali.

ADUN Sungai Kandis, Ustaz Mohd Zawawi Mughni, berkata tindakan pemimpin PH Selangor mahu pun di peringkat pusat yang cuba mencadangkan agar Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad berkuasa sehingga tamat penggal adalah suatu pengkhianatan dan lari daripada Prinsip Perjanjian.

Katanya, tindakan segelintir ahli parlimen dan Adun yang cuba memutar balik perjanjian tersebut mendedahkan kerajaan PH kepada ‘mainan’ politik pembangkang, khususnya Umno dan Pas yang tidak mahukan peralihan kuasa berlaku agar pemimpin PH berbalah dan gabungan itu berpecah belah.

“Keputusan penyerahkan jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamed kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dicapai dalam Konvensyen Pakatan Harapan pada 6 Januari 2018.

“Perdana Menteri Tun Dr Mahathir sendiri juga berulangkali menzahirkan bahawa beliau akan menunaikan janji untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tempoh dua tahun.

“(Oleh itu), seruan agar Ahli-Ahli Parlimen memberi sokongan untuk tidak menunaikan janji merupakan pengkhianatan kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Zawawi menggesa agar pemimpin PH lebih berjejak di bumi nyata dan melihat keperluan menunaikan konsensus yang dipersetujui agar rakyat tidak melihat pakatan itu mengulangi perangai BN yang sering menodai janji politik mereka.

“Hasil kaji selidek Institut Darul Ehsan (IDE) juga mendapati bahawa 70% rakyat Malaysia inginkan peralihan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan peralihan itu dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

“Ingatlah pesan orang tua kita, jika kerbau dipegang pada talinya, jika manusia dipegang pada janjinya,” katanya lagi.

Isu peralihan kuasa kembali mendapat perhatian apabila Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata perjumpaan di Putrajaya antara Umno, Pas dan gabungan polis Sarawak GPS atas jemputan Tun Mahathir.

Manakala Tun Mahathir apabila ditanya pemberita memberitahu pertemuan dengan pembangkang itu adalah perkara biasa dan tiada perbincangan rahsia.

Sebelum itu, Menteri Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali melahirkan sokongan terbuka kepada usul Umno dan Pas yang mahu Tun memegang kuasa sehingga tamat penggal

Dua hari selepas itu, 3 ADUN Bersatu Selangor dalam kenyataan bersama mensyorkan agar Tun menamatkan tempoh jawatan dan mengabaikan pelan penyerahan kuasa ~ Media RF8


Share this

Related Posts

Previous
Next Post »
Related Posts with Thumbnails

Followers

Archive