ECRL : Malaysia Rugi Lebih Besar Sekiranya Dibatalkan


Malaysia dilihat tidak mempunyai pilihan lain dan perlu meneruskan projek East Coast Rail Link (ECRL) bagi menjaga hubungan diplomatik dengan China.

Memandangkan China adalah sebuah kuasa besar, alternatif terbaik yang ada untuk Malaysia hanyalah dengan membawa perjanjian tersebut kembali ke meja perundingan.

Pada awal Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan, beberapa projek mega di Malaysia dikatakan akan dibatalkan dan ada sebahagiannya pula akan ditangguhkan seperti MRT2, LRT3 dan termasuk ECRL.

Namun, perkembangan terbaru menunjukkan projek ECRL akan diteruskan tetapi dengan beberapa pembaharuan dilakukan.

Pejabat Perdana Menteri telah mengumumkan kos ECRL akan dikurangkan kepada RM44 bilion berbanding kos asal RM66.5 bilion.

Ini bermakna akan ada pengurangan kos sebanyak RM21.5 bilion. Selain itu, terdapat juga perubahan lain seperti jumlah keseluruhan stesen, laluan trek yang akan dibina serta peningkatan penglibatan kontraktor tempatan.

Persoalan yang timbul sekarang ialah sekiranya kerajaan Pakatan Harapan berpendapat projek ECRL merupakan sesuatu yang tidak perlu dan hanya membazirkan wang negara, kenapa ia tetap diteruskan?

Menurut Pengerusi Ekonomi LIU Post, Panos Mourdoukoutas, projek ECRL ini adalah sesuatu yang sukar diubah. Sekiranya projek ini dibatalkan, ia hanya akan merugikan kerana banyak kos yang telah dibelanjakan.

Bukan itu sahaja, tahap kebergantungan Malaysia kepada China juga adalah tinggi. 

Pada tahun lepas, China merupakan pasaran eksport terbesar bagi Malaysia dengan nilai sebanyak USD42.5 bilion. Ini jauh lebih tinggi berbanding pasaran eksport Malaysia ke Singapura (USD35.7 bilion) dan Amerika Syarikat (USD33.1 bilion).

Secara kebetulan juga, eksport Malaysia kebelakangan ini telah menurun sebanyak 5.3% kepada RM66.6 bilion pada Februari 2019. Jualan bagi minyak sawit dan barangan yang diperbuat daripada minyak sawit juga telah menurun sebanyak 13.4%.

Seperti yang diketahui, China merupakan salah satu negara terbesar yang membeli minyak sawit dari Malaysia. 

Situasi ini sebenarnya telah memberikan kelebihan kepada China untuk mempunyai lebih ‘bargaining of power’ ke atas Malaysia.

Jelas di sini, sekiranya ECRL dibatalkan, Malaysia akan kerugian besar dan hanya akan menjejaskan hubungan diplomatik dengan China.

Pengumuman berkenaan penerusan projek ECRL ini sebenarnya perlu disambut sebagai berita gembira walaupun terdapat ramai pihak yang kurang bersetuju dengan pembaharuan yang dilakukan.

Di saat negara berdepan dengan keadaan ekonomi yang kurang baik, penerusan projek ECRL ini dilihat sebagai petanda untuk menarik lebih banyak pelabur dari China melabur di Malaysia. 

Seterusnya ini akan membantu merangsangkan lagi ekonomi negara.

Duta China di Malaysia, Bai Tian berpendapat pelaburan dari China mampu memenuhi keperluan pembangunan ekonomi Malaysia dengan fokus utama ialah industri berteknologi tinggi.

Penerusan projek ECRL dilihat penting untuk memulihkan keyakinan pelabur dari China kerana sudah pasti mereka tidak mahu pelaburan mereka nanti akan dibatalkan dan hanya menjadi pelaburan yang sia-sia sahaja.

Salah satu sektor yang akan mendapat pulangan terbesar ekoran penerusan projek ECRL ini ialah minyak sawit di mana Bai Tian menyatakan China kini berminat untuk meningkatkan lagi pembelian minyak sawit dan menggalakkan syarikat-syarikat dari China untuk mengambil tindakan yang sama.

Pada tahun lepas, Malaysia telah mengeksport 3.07 juta tan minyak sawit dan produk berkaitan minyak sawit ke China dengan nilai RM8.38 bilion dan jumlah ini sudah pastinya akan meningkat lagi dengan penerusan projek ECRL.

Sumber: https://kapital.my/2019/04/malaysia-rugi-lebih-besar-sekiranya-ecrl-dibatalkan/

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »
Related Posts with Thumbnails

Followers

Archive