Wednesday, August 15, 2018

Hanya Peralihan 11% Undi Boleh Sebabkan Pakatan Tumbang


PAKATAN Harapan (PH) akan menjadi kerajaan satu penggal jika 11% daripada jumlah undi Melayu yang diterima pada pilihan raya umum lalu berpaling kepada Umno, dedah satu kajian.

Peralihan 11% undi pengundi Melayu menurut Ilham Centre, yang memberikan kuasa kepada pakatan empat parti itu untuk menggulingkan Umno dan gabungan Barisan Nasional (BN) dari Putrajaya.



Dan ketika kerajaan PH yang baru melepasi tempoh 100 hari bersejarah dalam pentadbirannya, Ilham Centre memberi amaran undi lebihan 11% yang diterima itu bukanlah sokongan “tulen”.

“Jumlah 11% itu mudah terjejas. Ia adalah undi protes terhadap Umno dan BN daripada orang Melayu kerana faktor Najib Razak,” kata Pemangku Pengarah Eksekutif Ilham Center, Mohd Azlan Zainal.

“Ia bukan sokongan benar-benar tulen kerana mereka bukan mengundi PH kerana suka atau percaya terhadap agenda PH. Ia kerana bantahan mereka terhadap Umno.”

Jumlah sokongan 11% itu boleh kembali kepada Umno dan BN sekiranya PH gagal memperbaiki ekonomi dan menangani kos sara hidup. Tidak kurang penting juga, sama ada PH boleh berjaya menguruskan isu perkauman dan agama.

Dalam satu tinjauan yang ditugaskan oleh The Malaysian Insight, 11% daripada lebih 1,600 pengundi Melayu yang terlibat dalam tinjauan Ilham Centre pada Jun dan Julai berkata mereka akan menukar undi pada pilihan raya akan datang.

“11% ini adalah undi protes terhadap BN dan Umno kerana Najib,” kata Azlan merujuk kepada bekas perdana menteri dan presiden Umno yang dicemari skandal.

PRU14 menyaksikan BN memenangi hanya 79 kerusi Parlimen daripada 133 yang dipegang pada 2013.

PH memenangi 116 kerusi persekutuan dalam PRU14, menjadikannya memperoleh majorit 112 kerusi di Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan.

Kira-kira 59% berkata mereka akan mengekalkan pilihan mereka pada PRU15 sementara 24% lagi tidak pasti.

Umno masih kuasai orang Melayu

Daripada 79 kerusi dimenangi BN, 54 adalah daripada Umno, parti Melayu yang berkuasa dalam gabungan itu.

Walaupun kini menjadi pembangkang, Umno masih menjadi parti dengan kerusi Parlimen paling banyak dengan saingan terdekatnya PKR iaitu 50 kerusi.

Fakta ini mencerminkan bagaimana Umno masih mempunyai sokongan majoriti orang Melayu yang membentuk kira-kira 60% atau 7.68 juta daripada 14.9 juta pengundi di negara ini.

Ini juga didedahkan dalam kajian Ilham Centre di mana 46% daripada responden mengatakan mereka memilih BN, diikuti parti Islam konservatif PAS 35%. PH menerima undi paling sedikit Melayu iaitu 17%.

Di antara ketiga-tiga parti ini, BN adalah gabungan pilihan kaum Melayu di tujuh negeri - Perlis, Pulau Pinang, Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

PAS menerima undi Melayu paling banyak di Kelantan dan Terengganu, manakala PH di Selangor dan kawasan Kuala Lumpur.

Parti Islam itu mampu menyerlahkan kehadirannya di Kelantan dan menawan semula Terengganu kerana gelombang anti-BN yang melanda negara ini, kata Azlan.

Memandangkan orang Melayu di kedua negeri ini tidak yakin PH adalah pilihan terbaik, mereka memilih PAS yang sudah sekian lama berakar umbi di pantai timur.

“Sokongan untuk PH di kalangan orang Melayu hanya kuat di kawasan bandar dan di bawah usia 50-an yang mempunyai tanggungan. Sokongan untuk BN lebih tinggi di kalangan warga emas di kawasan luar bandar.”

PH perlu jadi pelindung

Walaupun terdapat usaha PH untuk mengakhiri politik perkauman dan agama, tinjauan itu mendedahkan ia masih menjadi tabiat mengundi sebahagian besar orang Melayu.

Dalam senarai keutamaan kerajaan Malaysia yang baru, kira-kira 16% responden Melayu memilih “melindungi orang Melayu dan Islam” sebagai perkara paling utama.

Agenda ini mengalahkan menghapuskan rasuah dan membersihkan kerajaan sebanyak 10%.

Isu agama adalah keempat selepas kos sara hidup (32%), memenuhi janji dalam manifesto pilihan raya (20%) dan meningkatkan ekonomi (18%).

“Walaupun PH berjaya meningkatkan ekonomi dan mengurangkan tekanan hidup, ia hanya akan meningkatkan sokongannya di kalangan sebahagian orang Melayu, bukan semua,” kata Azlan sambil menambah orang Melayu mereka yang tinggal di pusat-pusat bandar.

“Bagi warga tua di kawasan luar bandar, yang mempunyai tanah sendiri dan pendapatan kecil daripada anak-anak yang telah dewasa, mereka ingin diyakini PH boleh melindungi orang Melayu dan Islam.

“Meyakinkan orang Melayu tentang kebimbangan kaum dan agama akan sangat penting bagi kerajaan PH dalam tempoh lima tahun akan datang.”

Kajian ini melibatkan 1,622 responden berusia di atas 21 tahun. Sekitar 16% adalah antara 21 dan 29 tahun, 30-39 tahun (19%), 40-49 tahun (28%), 50-59 tahun (21%), manakala hanya 14% yang berusia di atas 60 tahun.

Lelaki terdiri 51% daripada jumlah kesemua responden.

Lebih separuh responden berada di negeri utara, Selangor dan Wilayah Persekutuan. Majoriti tinggal di bandar (66%) dan selebihnya di pinggir bandar (19%) dan kawasan luar bandar (15%).

Kebanyakan daripada 1,622 responden adalah petani, nelayan atau bekerja di kampung (21%), ahli perniagaan (21%) dan pekerja kerajaan (16%).

Lebih separuh responden berada dalam kumpulan B40 (52%) manakala 31% berada dalam M40 dan 17%, T20.

Kajian ini dilakukan melalui soal selidik dan wawancara mendalam dari 1 Jun hingga 30 Julai lapor The Malaysian Insight

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails