Monday, June 4, 2018

Tangkap Najib? Pasukan Khas 1MDB Ada Kuasanya


Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau menyerahkan kepada jawatankuasa dan pasukan khas berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang ditubuhkan kerajaan untuk mengambil langkah sewajarnya dalam siasatan berkaitan syarikat pelaburan strategik itu.

“Mereka telah diberi sepenuh kuasa untuk menentukan langkah-langkah yang wajar diambil dari sudut undang-undang untuk menangani skandal mengenai 1MDB,” katanya pada sidang media selepas melawat ibu pejabat polis Bukit Aman di sini hari ini.



Beliau ditanya mengenai kemungkinan tangkapan dan pendakwaan terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dikaitkan dengan skandal itu.

Pada 22 dan 24 Mei lepas, Najib hadir ke ibu pejabat SPRM bagi membantu siasatan berkaitan SRC International Sdn Bhd, anak syarikat 1MDB sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini dilaporkan berkata beliau menjangka pertuduhan akan dikenakan terhadap Najib susulan penyiasatan terhadap dakwaan bahawa bekas perdana menteri itu menyeleweng beratus juta dolar Amerika daripada dana 1MDB.

Pasukan khas 1MDB itu diwujudkan oleh Pejabat Perdana Menteri manakala jawatankuasa 1MDB itu pula ditubuhkan di bawah Majlis Penasihat Kerajaan.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata satu jawatankuasa khas bagi menangani isu penduduk negara ini yang mengalami masalah kerakyatan telah ditubuhkan dengan dipengerusikan Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan.

Beliau berkata penubuhan jawatankuasa itu mendapat persetujuan barisan pemimpin PH yang bermesyuarat lebih seminggu lalu lapor MMO

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails