Wednesday, June 20, 2018

Kes Altantuya Ada Bukti Baharu?


ADA bukti dan petunjuk baharu bagi membuka semula siasatan kes model Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang dibunuh di negara ini pada 2006.

Peguam Ramkarpal Singh berkata, pihaknya optimistik kes itu akan dibuka semula bagi siasatan lanjut bersandarkan motif siapa yang mengarahkan pembunuhan model terbabit.



“Pertemuan bersama Peguam Negara, Tommy Thomas hari ini berlangsung dengan baik dan pihak kami timbulkan beberapa perkara berkenaan bagaimana kes ini dapat dibuka untuk disiasat semula, juga mengenai sama ada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) akan diadakan.

“Kami optimistik perkara (kes) ini untuk disiasat semula atau siasat lebih lanjut atas motif siapa yang telah mengarahkan pembunuhan Altantuya supaya siapa yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

“Kami mempunyai petunjuk baharu dan bukti yang boleh diambil kira untuk siasatan lanjut dibuat, namun tidak boleh didedah buat masa ini,” katanya pada sidang media selepas pertemuan bersama Tommy di Jabatan Peguam Negara di Putrajaya, hari ini.

Turut sama dalam pertemuan itu ialah bapa Altantuya, Dr Shaaribuu Setev.

Ramkarpal berkata, Peguam Negara baharu juga memaklumkan beliau perlu menyemak semula fail berkenaan kes pembunuhan ini, bukan sahaja dari segi kes jenayah tetapi juga kes sivil.

“Sebagai Peguam Negara yang mewakili Malaysia sebagai satu pihak dalam kes ini dan memandangkan masa yang lama membabitkan kes ini iaitu 12 tahun, beliau ada menyemak fail-fail yang berkenaan untuk mengetahui apa yang berlaku. Jadi kami yakin dan positif ada peluang yang baik perkara ini akan diteruskan lebih lanjut.

“Tiada tempoh masa ditetapkan bila siasatan lanjut boleh dilakukan, tapi menerusi pertemuan ini indikasinya adalah perkara ini tidak akan dilengah-lengahkan lagi kerana sudah berlanjutan 12 tahun,” katanya.

Ditanya berhubung permintaan Setev kepada Thomas, Ramkarpal berkata, permintaannya sama seperti orang lain yang ingin melihat keadilan ditegakkan dalam kes ini.

“Itu adalah hasrat utama beliau (Setev) supaya keadilan terlaksana,”katanya.

Selain itu katanya, pertemuan turut menyentuh jika bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar yang kini berada di Australia perlu diekstradisi atau tidak.

“Perkara ini turut dibangkit dan dibincangkan, namun saya kekal dengan pendirian selama ini bahawa Sirul tidak perlu dibawa pulang buat masa ini untuk siasatan lanjut.

“Kita tekankan perkara ini dan Peguam Negara juga bersetuju dengan pihak kami bahawa ada bukti lain di dalam negara yang lebih penting yang membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

“Jika kes ini dapat diselesaikan dengan siasatan lanjut menerusi bukti baharu yang ada, maka saya melihat tidak perlu untuk RCI diadakan,” katanya.

Sementara itu Setev berkata, beliau hanya mahu keadilan bagi kes anaknya kerana baginya tiada sesiapapun boleh melangkaui undang-undang.

“saya berharap kes ini selesai dengan baik dan memulihkan hubungan antara Malaysia dan Mongolia,” katanya.

Ditanya apa yang akan disampaikan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pertemuan petang esok, Dr Setev berkata, beliau yakin Perdana Menteri adalah orang yang mampu menyelesaikan masalah yang berlaku berkaitan kes Altantuya.

“Saya akan minta beliau selesaikan masalah ini, demi keadilan,” katanya.

Pada 9 April 2009, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati ke atas bekas anggota polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar selepas mendapati mereka bersalah membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara 10 malam pada 19 Oktober dan 1 pagi pada 20 Oktober 2006.

Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar serta membebaskan mereka daripada tuduhan itu.

Bagaimanapun, pada 13 Januari 2015, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan pihak pendakwa dan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan serta memutuskan bahawa Sirul Azhar dan Azilah bersalah dan menjatuhi hukuman gantung sampai mati terhadap mereka lapor MyMetro di SINI

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails