Tuesday, June 19, 2018

Benarkah Amirudin Dilantik Sebagai MB Tanpa Restu PH?


MENTERI Besar Selangor Amirudin Shari berkata isu pelantikan beliau tidak lagi menjadi isu dan pemimpin negeri itu sudahpun memulakan kerja untuk memastikan pentadbiran negeri berjalan dengan baik.

Adun Sungai Tua itu menyerahkan kepada pimpinan tertinggi Pakatan Harapan untuk menangani sebarang isu yang masih timbul mengenai pelantikannya.



“Saya rasa biar pimpinan Pakatan Harapan memberi penjelasan untuk soalan tersebut dan saya serahkan kepada pimpinan tertinggi untuk membuat penjelasan.

"Saya pasti kita dengan konsep pentadbiran yang akan mengambil kira pandangan semua pihak kita boleh maju ke depan.

“Sebab itu dalam kenyataan ini saya tegaskan sudah sampai masa untuk kita gembleng tenaga bersama untuk majukan Selangor," kata beliau.

Amirudin, 38, mengulas dakwaan Adun Ijok Dr Idris Ahmad pagi ini bahawa pelantikan beliau tidak mendapat restu pimpinan tertinggi Pakatan Harapan.

Idris mendakwa nama Amirudin hanya dicadang mantan menteri besar Azmin Ali tanpa persetujuan parti lain.

Sumber daripada PH bagaimanapun memberitahu The Malaysian Insight hari ini, nama Amirudin dan Idris telah dicadangkan oleh Ketua Umum PH Anwar Ibrahim pada perjumpaan dengan Sultan pada 31 Mei lalu.

Sementara itu, Exco Selangor Rodziah Ismail yang juga Setiausaha Politik Presiden PKR dan Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail berkata, isu tersebut sudahpun selesai.

"Saya rasa ia dah berlalu, saya tak tahu apa sebenarnya yang berlaku dan kita patut lupakan perkara yang lepas," katanya yang berpendapat semua pihak perlu bekerjasama.

Seorang lagi Exco, V. Ganabatirau berkata hal pelantikan itu tidak perlu diulas kerana PKR berhak ke atas jawatan MB dan ia tidak membayangkan Amirudin sebagai pilihan yang tidak baik.

"Selangor menjadi model perubahan yang rakyat kehendaki.

"Secara peribadi saya amat hormat dengan Amirudin Shari sebagai exco dan bekerja dengan baik di bawah Azmin. Cabarannya sekarang ialah bagaimana beliau menjadi seorang pemimpin kepada pasukan kita di negeri ini," kata beliau kepada The Malaysian Insight.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails