Thursday, May 31, 2018

Selepas 24 Tahun Rahim Dakwa Tuduhan Rogol Terhadapnya Satu Konspirasi Politik


Tan Sri Rahim Tamby Chik mendakwa ditekan dalam satu konspirasi menjatuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1994.

Sebagai ketua menteri Melaka waktu itu, beliau berdepan tohmahan merogol gadis bawah umur yang menyebabkan beliau terpaksa melepaskan jawatan.



Beliau menganggap cerita itu direncana “pelesit politik” yang mahu mencantaskan masa depan politiknya apabila beliau makin berpengaruh.

Menulis di Facebook hari ini, bekas ketua Pemuda Umno itu berkata tindakan itu “konspirasi politik paling kotor” dalam politik di negara ini.

Tambahnya, usaha mencantasnya “akibat kecemburuan politik dan usaha terancang untuk menyingkir perdana menteri lebih awal daripada sepatutnya.”

Rahim bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menang dalam satu gabungan untuk pemilihan Umno 1993.

Gabungan itu yang dikenali Team Wawasan turut disertai Tan Sri Muhammad Muhammad Taib dan Datuk Seri Siti Zaharah Sulaiman.

Rahim menyenaraikan empat program Pemuda Umno yang disifatkannya mengharumkan nama negara sehingga beliau dianggap kesayangan Dr Mahathir.

“[...] bila ada kejayaan dan kehebatan berlaku pasti wujud kecemburuan negatif dan destruktif yang cuba meranapkan kecapaian positif ini,” katanya.

Susulan itu, beliau mendakwa ditohmah melakukan rasuah dan skandal seks sehingga menjadi tumpuan media selama 52 hari bagi memalukan dirinya.

Demi parti dan kerajaan, katanya lagi, beliau menyatakan hasrat kepada Dr Mahathir untuk melepaskan semua jawatan sementara siasatan dijalankan.

“Keganasan media menyerang saya walaupun saya tidak bersalah adalah di luar sempadan kemanusiaan, dimotivasi oleh konspirasi ciptaan pemimpin-pemimpin pelesit tadi,” katanya.

Walau memegang semula jawatan ketua Pemuda Umno, beliau gagal memegang kembali ketua menteri Melaka selepas tohmahan dibersihkan.

“Saya menuruti kehendaknya [pemimpin itu] tanpa merujuk kepada perdana menteri sendiri. Saya ditipu lagi,” katanya, tanpa menyebut pemimpin itu.

Tidak jelas sebab bekas tokoh Umno itu membangkitkan isu tersebut saat ini. Namun ia dipercayai merujuk ahli politik Pakatan Harapan yang masih aktif.

Gadis Melaka tersebut kemudian dilaporkan menafikan tohmahan tersebut dan Lim Guan Eng pula dipenjara atas tuduhan menyebar maklumat palsu pada 1998.

Kertas cadangan pertuduhan rasuah terhadap Rahim pula disebar meluas pada 1999 tetapi tindakan tidak dikenakan terhadapnya.

Sebaliknya Ezam Mohd Noor, ketua Pemuda PKR waktu itu, dipenjara pada 2002 atas tuduhan menyebarkan dokumen rahsia Jabatan Peguam Negara lapor MMO



Berikut disiarkan semula kenyataan Sabri bin Mohamed Yasin bagi pihak ibunya Pendek binti Ahmad, nenek kepada Noryati binti Mohamad Yusop, mangsa rogol yang terlibat dengan kekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik di Hotel Belmount, Melaka ada 3hb November 1999 yang dipetik dari Keadilan Daily

Saya tidak faham mengapa cucu saya hanya menyatakan sekarang tidak mempunyai hubungan sulit dengan Tan Sri Rahim bila dia telah mengakui selama 5 tahun kebelakangan ini sejak 1994 bahawa dia mempunyai hubungan sulit dengan Tan Sri Rahim, termasuk membuat keterangan bersumpah di mahkamah di depan tuan hakim. 
Cucu saya, telah membuat satu kenyataan pada 2hb November 1999 menafikan keterangan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29hb Oktober 1999 bahawa dia mempunyai hubungan sulit dengan bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik pada tahun 1994. 
Saya amat terkejut dengan kenyataan cucu saya ini kerana sepanjang 5 tahun ini, cucu saya telah mengakui mempunyai hubungan sulit dengan Tan Sri Rahim semasa cucu saya masih berumur 15 tahun. 
Cucu saya juga memberitahu ahli keluarga dan saya bahawa Tan Sri Rahim merupakan orang lelaki pertama yang melakukan hubungan sulit dengannya. 
Oleh kerana cucu terlibat dengan Tan Sri Rahim, dia ditahan oleh pihak polis pada akhir bulan Ogos 1994 sehingga saya sebagai nenek yang membesarkannya tidak dapat berjumpa dengannya. 
Saya hairan mengapa pihak polis dan kerajaan BN boleh membenarkan seorang mangsa rogol ditahan sedangkan mereka yang merogolnya bebas tanpa dipenjarakan. 
Ini boleh dilihat selepas 14 lelaki, kecuali Tan Sri Rahim, mengakui merogol gadis bawah umur di mahkamah tetapi tidak dipenjarakan sebaliknya dibebaskan. Akibat peristiwa hitam itu, cucu saya telah melahirkan seorang anak perempuan pada 1995. 
Oleh kerana tidak dapat menjumpai cucu saya, saya telah meminta bantuan daripada Ahli Parlimen Kawasan Kota Melaka YB Lim Guan Eng yang berjaya memaksa pihak polis membenarkan saya melawat cucu saya. 
Saya amat kesal dan sedih bahawa YB Lim dalam usaha membantu mendapat keadilan untuk cucu saya telahpun dipenjarakan di Penjara Kajang pada 25hb Ogos 1998 dan kehilangan statusnya sebagai Ahli Parlimen. 
Dalam kes mahkamah Lim Guan Eng yang mulai pada 20hb Jun 1995, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Mok Siew Hoong menyatakan bahawa cucu saya telah mengakui mempunyai hubungan sulit dengan Tan Sri Rahim. 
Pada 27hb Februari 1997, cucu saya pula memberikan keterangan sebagai seorang saksi kepada hakim Mahkamah Tinggi dalam kes YB Lim Guan Eng bahawa Tan Sri Rahim mempunyai hubungan sulit dengannya. 
Selepas itu cucu saya, semasa berjumpa dengan saya, masih mengakui bahawa Tan Sri Rahim ada hubungan sulit dengannya. Malah, cucu saya telah membuat satu ucapan di depan kami di Hotel Federal, Kuala Lumpur pada 27hb Januari 1999 menyokong YB Lim Guan Eng yang dipenjarakan seperti berikut:- 
“Saya merasa sungguh kesal atas apa yang telah berlaku di masa lampau, dan merasa sungguh sedih sekali kerana YB Lim Guan Eng kini telah dipenjarakan. Apa yang beliau cuba lakukan hanyalah untuk membantu saya. 
Tetapi beliau sendiri pula menjadi mangsa. Semua ini sungguh tidak adil. Saya berdoa semoga keadilan akan dikembalikan kepada YB. 
Malam ini, saya telah membawa dua surat rayuan, satu kepada Yang Di Pertuan Agong dan satu lagi kepada Yang Di Pertua Negeri Melaka, meminta supaya YB Lim Guan Eng diampunkan dan dibebaskan segera supaya meneruskan tanggungjawab sebagai seorang Ahli Parlimen sejati Malaysia. 
Saya meminta supaya YB Lim Kit Siang selaku Ketua Pembangkang Parlimen boleh membantu sampaikan surat-surat rayuan saya ini kepada kedua-dua pihak itu.” 
Saya tidak faham mengapa cucu saya hanya menyatakan sekarang tidak mempunyai hubungan sulit dengan Tan Sri Rahim bila dia telah mengakui selama 5 tahun kebelakangan ini sejak 1994 bahawa dia mempunyai hubungan sulit dengan Tan Sri Rahim, termasuk membuat keterangan bersumpah di mahkamah di depan tuan hakim. 
Saya berasa hampa, malu dan marah atas kejadian rogol yang menimpa cucu saya. Tetapi saya berasa lebih hampa, malu dan marah bila cucu saya boleh membelakangkan kebenaran dan keadilan dengan melupai jasa baik YB Lim sehingga bersedia bohong dengan menafikan dia mempunyai hubungan sulit dengan Tan Sri Rahim. 
Nyata sekali, ini adalah satu lagi konspirasi kerajaan BN menutup kebenaran demi kepentingan politik. 
Saya masih mengingati cucu saya begitu tersiksa semasa ditahan di Pusat Pemulihan Rembau sehingga cuba melarikan diri banyak kali. 
Dia memberikan keterangan di mahkamah bahawa dia berjaya melarikan diri daripada tahanan sekali sebelum ditangkap balik. Jelas, kasih sayang keluarga kami kepadanya tidak dibalas. 
Lim Guan Eng ditangkap kerana membantu mangsa yang dirogol oleh Rahim Thamby Chik. 
Apa yang dilakukan oleh cucu saya adalah tidak adil kepada YB Lim Guan Eng yang telah kehilangan begitu banyak, termasuk dipenjarakan kerana cuba mempertahankan hak cucu saya ini.

Kenapa agaknya selepas 24 tahun berlalu Rahim tiba-tiba membangkitkan isu ini semula?

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails