Apa lagi Cina mahu?.. Ini pandangan Dr. Asri.


Tindakan mengapi-apikan isu perkauman adalah haram disisi agama Islam, kata Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini, ditengah-tengah kemelut kerajaan pemerintah Barisan Nasional (BN) menyalahkan masyarakat Cina ekoran keputusan buruk pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Bekas mufti Perlis tersebut berkata tindakan memainkan isu perkauman bertentangan dengan ajaran Islam sebenar yang mengajar ke arah keamanan dan kemakmuran.

“Haram bagi seorang muslim meniupkan api perkauman yang menzalimi pihak yang tidak bersalah hanya kerana warna kulit ataupun keturunannya.

“Wajib kita mempamerkan keindahan kesejagatan Islam kepada semua pihak supaya keindahan Islam dapat diterima oleh manusia,” kata Asri dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Menurut Asri,masyarakat berbilang kaum dalam negara akan berpecah-belah dan menyebabkan situasi tidak harmoni sekiranya pemimpin politik negara terus menggunakan isu perkauman untuk kepentingan politik.

“Ia boleh mengundang kemusnahan masyarakat dan negara terutama negara berbilang kaum seperti Malaysia ini.

“Ia hanya akan menimbulkan ketegangan dan pergaduhan yang tidak berasaskan prinsip kebenaran, sebaliknya atas prejudis perkauman,” katanya lagi.

Beliau juga berkata isu perkauman adalah sesuatu yang bertentangan dengan Islam yang mana ia tidak khusus kepada sesuatu kaum sahaja ataupun negara, berbeza di Malaysia dimana orang Melayu adalah secara tidak langsung ditafsir sebagai penganut agama Islam.

“Islam adalah agama rentas kaum dan sempadan geografi. “Keadilannya Islam itu melebar merentasi perbezaan pemikiran dan agama,” tambah tokoh agama tersebut lagi.

Ketentuan seseorang itu dilahirkan dalam bangsa tertentu bukan adalah pilihan individu tersebut tetapi adalah ditakdirkan oleh Allah, tegas Asri sambil menambah masyarakat di Malaysia sepatutnya memahami antara satu sama lain.

“Tiada siapa yang mampu menentukan bangsanya sebelum dia lahir samada untuk dia menjadi arab, atau melayu, atau cina atau india atau selain itu. Ia adalah ketentuan Allah,” katanya lagi.

Asri kemudiaan memetik ayat Al-Quran yang menyebut, “Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan.”

Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia antara yang paling lantang mengkritik dan menyalahkan masyarakat Cina ke atas prestasi buruk BN dalam Pilihan Raya 2013 disamping menyerang DAP yang dikatakan menghasut masyarakat tersebut.

Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga selepas keputusan PRU13 mengeluarkan kenyataan kontroversi apabila mengganggap pilihan raya kali ini adalah “tsunami Cina” dan kemudiaan Utusan Malaysia menyokongnya dengan mengeluarkan artikel berbentuk perkauman “Apa lagi Cina mahu”.

Selain itu, blogger pro-Umno Papagomo atau Wan Muhammad Azri Wan Deris baru-baru ini juga ditahan pihak berkuasa kerana mengeluarkan artikel berbau perkauman ke atas masyarakat Cina dan beliau disiasat dibawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta dibawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan, tetapi telah dibebaskan semalam.

Penganalisis telah menekankan keputusan Pilihan Raya 2013 bukanlah “tsunami Cina” seperti didakwa oleh Najib akan tetapi peralihan besar pengundi bandar dan kelas menengah yang menyaksikan jurang antara bandar-luar bandar Malaysia semakin luas.

BN memenangi 133 berbanding 222 kerusi yang dipertandingkan untuk parlimen, menurun tujuh kerusi, kepada pembangkang jika dibandingkan dengan keputusan Pilihan Raya 2008.

Daripada 89 kerusi dimenangi Pakatan Rakyat, DAP memperolehi kerusi terbesar dengan 38 kerusi. BN turut hilang undi popular kepada PR — pertama kali sejak 1969 ketika parti itu dikenali sebagai Perikatan.

~ The Malaysian Insider

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »
Related Posts with Thumbnails

Followers

Archive