Rafizi pula nak saman Papa Gomo


Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mahu menyaman pemblog kontroversi, Papa Gomo atas alasan telah memfitnah beliau, kononnya pernah dipecat oleh Petronas.

Menurut Rafizi, beliau telah mengarahkan peguamnya, Razlan Jalaluddin untuk mengemukakan surat tuntutan terhadap Papa Gomo secepat mungkin untuk memulakan proses undang-undang.

"Saya percaya Papa Gomo akan mencari pelbagai alasan untuk tidak menerima surat tuntutan tersebut termasuk menafikan Wan Muhanad Azri Wan Deris sebagai Papa Gomo.

"Malah tindakan mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh juga adalah helah beliau untuk meletakkan orang lain yang akan mengaku sebagai dirinya bagi mengelak tindakan saman ini," kata beliau pada sidang media di sini, hari ini.

SAMAN PAPAGOMO UNTUK MATIKAN BUDAYA FITNAH BERLELUASA 

Pada 11 April 2013, laman Papagomo menyiarkan kembali artikel yang menuduh saya dipecat dari PETRONAS kerana pelbagai masalah disiplin, termasuk ponteng kerja dan membuat tuntutan palsu.

Itu bukan kali pertama laman Umno tersebut menyiarkan berita-berita seperti itu yang memfitnah saya tanpa ada sebarang asas.

Ekoran dari penyiaran berita palsu itu, saya telah menulis di blog saya menerangkan bahawa saya tidak pernah dipecat, sebaliknya meletakkan jawatan dari PETRONAS untuk bertukar kerjaya.

Sehingga kini tidak ada sebarang pembetulan yang dibuat oleh Papagomo mengenai berita palsu yang direka-rekanya itu.

Oleh yang demikian, saya telah mengarahkan peguam saya, Saudara Razlan Jalaluddin untuk mula mengambil tindakan saman terhadap Papagomo atas penipuan dan berita palsu tersebut.

Satu surat tuntutan akan dihantar secepat mungkin kepada Papagomo untuk memulakan proses undang-undang.

Saya percaya Papagomo akan mencari pelbagai alasan untuk tidak menerima surat tuntutan tersebut, termasuklah menafikan bahawa Wan Muhamad Azri Wan Deris bukanlah Papagomo.

Malah, tindakan mengumumkan akan bertanding di Permatang Pauh adalah helah Papagomo untuk meletakkan orang lain yang akan mengaku dirinya Papagomo, untuk bersembunyi dari tindakan-tindakan saman ini.

Saya menjangkakan akan berlaku pertukaran kerajaan selepas 5 Mei 2013, yang membolehkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia memainkan peranan dengan lebih berkesan mengesan individu-individu yang berselindung di sebalik blog untuk menyebarkan fitnah seperti Papagomo.

Sebab itu saya yakin menjelang kes saman ini mula dibicarakan di mahkamah, Wan Muhamad Azri Wan Deris atau Papagomo tidak lagi boleh bersembunyi dan terpaksa menerima hukuman atas fitnah-fitnah yang dibuatnya selama ini, termasuklah terhadap diri saya melalui berita palsu yang disiarkan minggu lepas.

Hanya dengan cara ini kita akan berjaya membendung budaya fitnah yang sudah menjadi amalan harian blogger Umno.


RAFIZI RAMLI 
Pengarah Strategi

15 APRIL 2013

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »
Related Posts with Thumbnails

Followers

Archive