Warkah buat saudaraku anggota polis

Assalamualaikum warahmatuAllahi wabarakatuhu,

Terlebih dahulu, pohon kemaafan jika warkah ini terbuka. Saya harap ia dapat dibaca oleh semua. Jika ada kebaikan, ambillah darinya. Jika tidak, campaklah ia ke tepi dan lupakan sahaja.

Ia hanya satu coretan dari seorang rakyat bawahan. Tanda cinta dan kasih kepada saudara yang saya lihat tercegat di segala penjuru negara atas tanggungjawab menjaga keamanan kita semua. Mata memandang, hati merintih dan berdoa agar tugasan saudara benar-benar diberikan pahala di sisi Tuhan dan diiktiraf di sisi rakyat.


Saudaraku anggota polis,

Kerja polis adalah satu kerja yang mulia kerana menjaga keamanan dalam negara. Penat lelah anggota polis dalam memastikan negara kita aman dan adil adalah pahala yang amat besar di sisi Allah jika pengamalnya jujur dan ikhlas.

Sepatutnya, tiada seorang pun rakyat yang cintakan keadilan dan keamanan akan membenci polis. Sebaliknya, perasaan fitrah; sayang dan menghargai akan tertanam dan mekar sebaik sahaja mendengar nama polis, melihat anggota atau apa sahaja perlambangan polis. Itulah perkara sewajarnya berlaku.

Cegah kemungkaran

Saudaraku anggota polis,

Tugas seorang anggota polis - sebelum tugasan kenegaraan- sebenarnya adalah tugasan yang diperintahkan oleh Allah dan RasulNya iaitu 'Menyuruh Kebaikan, Mencegah Kemungkaran'.

Itu moto asal pasukan polis. Sekalipun, tumpuan terbanyaknya kepada bahagian kedua iaitu 'Mencegah Kemungkaran'. Hakikatnya, polis berperanan menyelamatkan masyarakat dari kemurkaan Allah dengan dipastikan setiap penzalim akan dihalang, dicegah dan dihukum.

Jika itu tidak berlaku, masyarakat akan porak peranda dan menerima hukuman dari Allah. Allah berfirman: (maksudnya): “Telah dilaknat mereka yang kufur daripada Bani Israil melalui lidah Daud dan Isa bin Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang (sesama sendiri) perbuatan mungkar yang mereka kerjakan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-Maidah, ayat 78-79).

Nabi s.a.w pula bersabda: “Sesungguhnya manusia apabila melihat orang zalim, namun tidak menghalang tangannya, hampir Allah akan meliputi mereka dengan hukumanNya” (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Nasai dengan sanad yang sahih).

Kami sebagai rakyat mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak polis yang telah menyelamatkan masyarakat dari kemurkaan Allah, kezaliman dan kerosakan.

Bahaya kuasa

Saudaraku anggota polis,

Namun, dalam masa yang sama, bidang tugas dan kuasa saudara yang menghalang kezaliman itu jika disalahgunakan boleh memberikan kesan yang sebaliknya.

Ia boleh bertukar dari melindungi yang tidak bersalah kepada menginayainya, menghalang yang zalim kepada memberi peluang kepadanya, memberi hak kepada yang berhak kepada merampas hak dari tuannya.

Jika itu berlaku, rosaklah masyarakat, hilanglah neraca keadilan, bermegah si zalim, kesakitanlah yang ditindas. Lantas, kebencian akan merebak, kepercayaan akan hilang dan saudaraku polis yang sepatutnya disayangi menjadi pihak dimusuhi, dibenci dan diragui.

Saudaraku anggota polis,

Ingin saya sebut di sini suatu tazkirah yang harapnya boleh memberikan manfaat kepada semua, khususnya mereka yang berkuasa seperti saudara.

Saudaraku, kezaliman itu adalah suatu racun. Ia bukan sahaja menyakitkan yang dizalimi, tetapi suatu hari akan membawa sengsara, bahkan mengorbankan si zalim itu sendiri.

Pada hari kita memukul orang yang tidak bersalah, melukai atau menfitnahnya, kita mungkin rasa selamat di balik peruntukan kuasa yang ada. Mungkin juga rasa selamat di balik pakaian lengkap kita yang mungkin gagal mangsa mengenali pelakunya.

Namun Tuhan tidak lupa. Akan ada harinya yang menanti kita di hadapan. Tangan yang memukul orang lain dan kaki yang menendang mangsa itu tidak akan terpadam catatannya sehingga kemaafan diberikan.

Ketika saudara pulang ke rumah berjumpa keluarga, si mangsa mendongak ke langit mengadu kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa.

Doa orang dizalimi

Dengarlah baik-baik apa yang yang disabdakan Nabi SAW: "Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sesungguh antaranya dengan Allah tiada sebarang hijab (penghalang)" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam riwayat Ahmad, baginda bersabda: "Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang jahat. Kejahatannya itu bagi dirinya" (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani).

Dalam riwayat Ahmad yang lain: "Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang kafir kerana ia tidak ada hijab (penghalang untuk Allah menerimanya). (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani).

Saudaraku anggota polis,

Tiada siapa antara kita yang dapat menyelamatkan dirinya dari hukuman Tuhan. Seseorang mungkin telah melupai orang yang dizaliminya, atau si mangsa juga mungkin terlupa, atau pergi menemui Ilahi terlebih dahulu.

Namun doanya tetap hidup. Akan ada waktu, ia tetap datang bertandang dalam kehidupan si zalim; meragut kebahagiaannya, ketenteraman hidupnya dan mencampakkan derita dalam pelbagai warna dan rupa.

Mungkin si zalim ketika itu terpinga dan bertanya 'apakah salah saya?'. Dia terlupa bahawa Tuhan tidak lupa atas kezalimannya, di dunia dan akhirat sana.

Saudaraku anggota polis,

Dunia ini sementara. Setiap kita akan ada hari akhirnya. Akan berakhirlah sebuah kehidupan dan bermulalah mahkamah keadilan Tuhan.

Tunggu balasan

Tiada kuasa yang dapat membela, tiada pembesar yang dapat berkata. Semua tunduk menunggu balasan. Firman Allah (maksudnya): “Dan janganlah kamu menyangka bahawa Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Dia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang ketika itu terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar), mereka terburu-buru (menyahut panggilan) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata yang tidak berkelip, dan hati mereka yang kosong (kerana bingung dan cemas)”. (Surah Ibrahim 42-43).

Saudaraku anggota polis,

Sekali lagi pada hari itu si zalim akan bertemu dengan semua mereka yang telah dimangsakan, di hadapan mahkamah yang Maha Adil.

Tiada bukti yang dapat disembunyikan, diputarbelit dan ditipu kepada masyarakat manusia yang berkumpul ketika itu. Tiada media yang boleh diperguna dan tiada kuasa kerajaan yang boleh melindunginya.

Adil seadil-adilnya. Bak kata Nabi s.a.w: "Segala hak akan dibayar kepada empunya pada Hari Kiamat, sehinggakan akan dibalas untuk biri-biri yang bertanduk atas perbuatannya ke atas biri-biri yang tidak bertanduk" (Riwayat Muslim).

Sabda baginda juga: "Sesiapa yang ada padanya kezaliman terhadap saudaranya (muslim yang lain); seperti terhadap maruah dan selainnya, mintalah halal pada hari ini sebelum tiba waktu yang tiada dinar dan dirham (tiada harta iaitu pada Hari Kiamat).

Arahan atasan

Sekiranya baginya kebaikan (amalan soleh) maka akan diambil darinya dengan kadar kezalimannya. Jika tiada baginya kebaikan, maka akan diambil dosa orang yang dizalimi lalu ditanggung ke atasnya" (Riwayat al-Bukhari).

Saudaraku anggota polis,

Saya tahu, kadang-kala ada keadaan yang sukar sebagai anggota polis yang terpaksa melaksanakan arahan 'atasan'. Maka, mungkin ada yang berkata 'kami hanya menjalankan tugas'.

Sudilah saudara mendengar nasihat tokoh Islam yang agung al-Imam Hasan al-Basri r.a. kepada Gabenor Iraq dan Khurasan iaitu 'Umar bin Hubairah. Ketika itu zaman pemerintahan Khalifah Yazid bin Abdul Malik.

Kata 'Umar bin Hubairah: “Sesungguhnya khalifah Yazid bin Abdul Malik kadang-kala menyuruhku melaksanakan perkara yang aku rasa tidak puas hati dari segi keadilan. Apakah jika aku melaksanakannya menjadi sutu kesalahan di sisi agama?

Kata Hasan al-Basri: “Wahai Umar bin Hubairah! Takutlah Allah mengenai Yazid, jangan engkau takutkan Yazid mengenai Allah. Ketahuilah sesungguhnya Allah azza wajalla dapat menghalang Yazid daripada bertindak ke atasmu, tetapi Yazid tidak dapat menghalang Allah daripada bertindak ke atasmu.

Wahai 'Umar bin Hubairah! Sesungguhnya akan turun kepadamu malaikat yang bengis dan keras, dia tidak akan menderhakai apa yang Allah perintahkannya. Dia akan mengambil engkau dari tempat dudukmu ini, dan memindahkan engkau dari istanamu yang luas, ke kubur yang sempit.

Tanggungjawab kepada Allah

Di sana tiada Yazid, hanya yang ada amalanmu yang menyanggahi Tuhan Yazid. Wahai 'Umar bin Hubairah! Sekiranya engkau bersama Allah dan ketaatan kepadaNya, ia boleh menghalangmu dari kejahatan Yazid di dunia dan akhirat.

Jika engkau bersama Yazid dengan menderhakai Allah, sesungguhnya Allah akan menyerahkanmu kepada Yazid. Ketahuilah wahai 'Umar bin bin Hubairah! Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam menderhakai Pencipta”. Maka menangislah Gabenor 'Umar bin Hubairah”. (rujukan: Mir at al-Jinan wa 'Ibrah al-Yaqzan)

Saudaraku anggota polis,

Kita boleh bertugas kepada sesiapa pun, tetapi jangan lupa tanggungjawab kita di hadapan Allah. Tiada cacatnya menjadi anggota polis. Saudara bukan musuh rakyat. Sebaliknya, saudara diperlukan rakyat.

Apa yang cacat dan menimbulkan kebencian awam adalah tindakan kita sendiri jika menyalahi prinsip-prinsip keadilan dan keamanan. Jika itu tidak berlaku, sayang dan cinta rakyat tertumpah kepada saudara.

Ingatlah kata-kata Abu Bakar al-Siddiq: “Benar adalah amanah, bohong adalah khianat”. Jika saudara benar, rakyat sayang, Allah juga sayang. Kedamaian jiwa pun menjelang. Jika saudara bohong rakyat benci, Allah juga benci. Rezeki tidak halal, hidup tidak bahagia.

Saudaraku anggota polis,

Inilah pandangan seorang rakyat marhaen awam seperti saya. Tiada kebencian antara rakyat dan saudara jika keadilan itu tertegak.

Rakyat awam bukan sahaja mahukan keadilan yang ditafsirkan oleh pihak saudara, tetapi keadilan yang dapat difahami oleh semua. Bukan sahaja adil dari segi bicaranya, tetapi hendaklah kelihatannya juga adil.

Semoga Allah merahmati saudara dan tugas saudara. Diberikan rezeki yang halal. Bebas dari kezaliman dan rasuah. Kami akan bersama menyanjungi saudara! Selamat bertugas!


Malaysiakini

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

8 comments

comments
Anonymous
July 26, 2011 at 5:47 PM delete

tidak cukup sekadar menjlnkan amanah dan berbuat kebaikan dlm apa jua perbuatan kita..

kita tidak ada beza nya dng org yg tidak beriman jika sekadar menjlnkan amanah dan berbuat baik ..

semua kebaikan kita lakukan hny akan sempurna dng niat krn allah ..

kalau saudara ku anggota polis membaca tazkirah ini bacalah dng niat ... akan diberinya petunjuk dan keinsafan ...

Reply
avatar
PakSu Man
July 26, 2011 at 7:24 PM delete

AllahHuakbar, Alhamdulillah, terima kasih Dr Mohd Asri,
"Saudaraku Anggota Polis",ingatlah kita tidak dapat melangkah masuk ke dalam Syurga Allah selagi tidak mendapat keampunan daripada orang yg kita zalimi @ yg d fitnah.
INGATLAH! Kerajaan dunia hanya sementara, Kerajaan Allah kekal abadi.
Aminnnn.

Reply
avatar
July 26, 2011 at 10:52 PM delete

saudaraku rakyat bawahan ;

terimakasih dengan pandangan saudara .

diharap saudara dapat menasihati rakan-rakan saudara yang melanggar undang-undang . sila baca dan faham akta polis . fahamkan bab kumpulan haram , perhimpunan dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas . diharap saudara dapat menasihati rakan-rakan saudara yang selama ini memaki hamun polis dengan kata-kata kesat dan jijik. polis juga manusia yang sebangsa dan seagama dengan saudara. ingatlah tugas polis menjaga kepentingan awam (menghalang tangan tangan yang bodoh dari membuat kemusnahan), bukan menjaga dan memuaskan hati puak puak saudara sahaja . dan ingat puak puak saudara bukan majoriti pun dinegara ini . diluar sana ramai yang menyampah dan benci dengan perangai puak puak saudara . akhirnya hadis dan pendapat ilmuan ini buat renungan saudara:

“Sesiapa yang ingin menasihati pemimpin, maka janganlah melakukannya dengan terang-terang (di khalayak ramai di hadapan umum) dan hendaklah dia mengambil tangannya (bersemuka empat mata sahaja). Jika pemimpin mahu mendengar maka itulah yang diinginkan dan jika tidak mahu maka dia telah menunaikan kewajipannya”. [HR Imam Bukhari]

Kata Imam Abu ‘Abdillah al-Qurthubi rahimahullah (Wafat: 671H):

“Apa yang dipegang oleh kebanyakan dari para ulama’ bahawasanya sabar dalam mentaati pemerintah yang zalim lebih utama dari keluar memberontak kepada mereka, kerana memisahkan diri dan keluar memberontak itu akan menukarkan keamanan kepada ketakutan, dan tertumpahnya darah yang disebabkan oleh tangan-tangan orang yang bodoh dan hanya akan menyebarkan kefasadan (keburukan) dalam kalangan umat Islam dan di atas muka bumi.” (Tafsir al-Qurthubi, 2/109).

sekian
Saudaramu anggota polis

Reply
avatar
Anonymous
July 27, 2011 at 6:47 AM delete

ape bende PenganutPas merepek2 ni sampai kump haram j a d a h mane plak ni....

Reply
avatar
Anonymous
July 27, 2011 at 7:58 AM delete

apa nak di herankan PenganutPas kan anggota polis sudah tentu lah jika salah mcm mana pun dia akan mempertahankan nya, misalan nya senang aje jika kita mempunyai anak dan dia kerap melakukan kesalahan dan kita sebagai bapa terus mempertahanankan nya maka si anak akan berasa seronok krn buat salah pun bpk nya masih back up dirinya maka kesalahan itu akan terus di lakukan nya tanpa rasa bersalah..Sedangkan Bersih pula dilabelkan kumpulan HARAM OLEH PUAK2 UMPORNO, sdgkan mrk adalah gabungan 62 NGO yg berdaftar bersih adalah satu kempen sebagaimana kempen 1 malaysia, patriot bukan poertubuhan yg berdaftar yg itu memang haram.tp oleh krn dia sayap umporno maka jd HALAL, Bersih hy menuntut beberapa 8 perkara utk penambahbaikan dlm sistem pilehan raya yg adil, rakyat nampak penyelewangan nya sbb itu terjd tuntutan bersih sdgkan YDP Agong dah bg kebenaran utk buat di stadium maka sepatutnya polis bg kawalan supaya perjalanan bersih berjln dgn lancar yg p sekat buat apa? sudah tentulah jd kecoh.siapa yg menderhaka perintah YDP Agong?.doaku smuga sinar baru menyinari bumi msia yg tercinta ini selps PRU ke 13 amin...InsyaAllah!

Reply
avatar
Anonymous
July 27, 2011 at 9:16 AM delete

wahai saudara ku anggota polis.

jgn kau terpedaya dgn komen penganutpas yg bertopeng kan kepalsuan dng mengaku penganutpas.

sedarlah wahai saudaraku, semasa praya jumlah pengundi yg mengundi pakatan hampir hampir sama byk dgn jumlah bee end. kenyataan penganutpas kami adalah majoriti dan dibenci oleh ramai adalah fitnah. kerana kalau di terima hujah ini maka ramai lah jugak yg bencikan pm di selangor dan kelantan. Sedangkan di negeri pakatan pun mereka keluar memberontak dgn menuduh kami zalim.

wahai saudara ku anggota polis, jika saudara menjlkan tugas dgn takut kpd allah, percaya lah tak de siapa pun yg akan memaki dan keji saudara. Yg kami keciwa saudara semua dipergunakan oleh sicelanat amprono.. saudara tanya lah bayi yg baru lahir, mereka pun tahu dr pendaftaran negara hingga ke jabatan saudara sendiri di jdkan tunggangan mereka.

Anggota polisku wira rakyat, yg mnybbkan kita bermusuhan adalah krn mereka.. kami tlh bersemuka berempat mata dgn mereka dan langkah tsbt masih lg kami usahakan (pertemuan dgn kpn dan skg dgn spr) tapi kesudahan nya ketua ketua ini akan jawab 'suruhan org atas'.. adakah polis itu 'org atas'? Kami yakin bukan polis.

Saudara ku anggota polis yg dimuliakan, perhimpunan tempuhari bukanlah satu pemberontak tetapi lebih dr rasa keciwa kami kerana tidak mendapat pilihanraya yg adil. Nas nas yg dikemukan oleh si dunggu penganutpas tak de kena mengena krn kami bukan memberontak atau berlawan dgn pemerintah yg zalim.' Tanyalah diri saudara sendiri bilakah kami adakan perhimpunan yg berkaitan dgn kezaliman. Semua perhimpunan kami berkaitan dgn rakyat, demi rakyat termasuk lah saudara spt kenaikan myk, isu bahasa, praya yg adil dan isu tol.

saudara ku anggota polis, semuga dibulan ramadhan ini kita pertingkat kan lagi ibadat dan iman kita. Semuga bertambah erat hubungan kita demi menjaga islam kita. Gunakan lah kuasa sbg anggota polis yg berkalimah kan syahadat. Mudah2an kita mendpt hidayah dr Allah Amin

Reply
avatar
Anonymous
July 30, 2011 at 10:31 AM delete

penganutpas?????hahaha org len sokong pas anut islam la wey...sosat la dio niey..berkenaan hadis tuh...sesuai pd pemerintah yg ikut agama...mengamalkan keseluruhan...bukannya ceduk sikit2..kalu btol2 ikut agama xkesah sgt...dlm mencari islam kesempurnaan..ada gak ujian mejadi kesilapan..silap sikit2 bley r tegor mcm 2...huih da 53 taun perintah...takkan bangang kut? xkira la sokong or bangkang...rakyat kna dlayan sama rata..ada hak masing2..amanah dr dr ALLAh..kalu xdpt wat...toksah duk gatai bertanding..aku lbey suka org yg memerintah tu org ulama..bley meneruskan legasi RASULULLAH

Reply
avatar
Anonymous
July 30, 2011 at 11:45 AM delete

Untuk PenganutPas

Cuba baca, sifat2 pengikut Wahabi. petikan dari malaysiakini.com

Pembersihan akidah

Tasfiah bermaksud pembersihan. Yang dimaksudkan di sini ialah pembersihan akidah dari segala khurafat dan ibadat dari segala bid'ah. Manakala 'tarbiah' bermaksud pendidikan. Iaitu mendidik umat Islam dengan didikan al-Quran dan Sunnah.

Bertitik tolak dari sini, fahaman Wahabi menolak pendekatan jihad atau pendekatan politik dalam menyebarkan fahaman mereka tentang Islam. Syaikh Albani secara terang-terangan menggesa umat Islam menjauhi politik.

Sebab itulah, dalam persekitaran fahaman Wahabi, masyhur kata-kata yang berbunyi “sebahagian daripada politik itu, ialah meninggalkan politik”.

Penolakan mereka terhadap pendekatan politik juga disebabkan oleh konsep ketaatan kepada pemerintah yang agak berlebihan yang menjadi pegangan mereka. Mereka menyeru masyarakat mentaati pemerintah biarpun “pemerintah menyebat belakang mereka dan mengambil harta mereka”, selama mana pemerintah itu mengizinkan rakyat mendirikan solat.

Pemikiran dan sikap aliran Wahabi secara umum, boleh dilihat melalui slogan mereka yang berbunyi “La Nukran Wala Hajran Wala Khuruj” (Tiada pengingkaran, pemulauan dan pemberontakan).

Rentetan daripada konsep ketaatan yang berlebihan ini juga, mereka mengharamkan penubuhan parti-parti politik dalam Negara Islam. Demikian juga demonstrasi membantah atau menuntut sesuatu dari pihak pemerintah. Ia juga haram.

Menurut fahaman Wahabi, satu-satunya aktiviti politik yang boleh dipraktikkan oleh rakyat ialah menasihati pemimpin. Itupun secara tertutup dengan cara menarik tangan pemimpin ke tempat tertutup untuk memberi nasihat.

Inilah pemikiran aliran Wahabi berhubung pendekatan dakwah.

Andainya para agamawan 'tertentu' tadi mengambil kira pendekatan aliran Wahabi yang lunak ini, tentu rumusan dan kesimpulan mereka tentang aliran ini tidak seperti yang ada sekarang.

Reply
avatar
Related Posts with Thumbnails

Followers

Archive