Tuesday, December 5, 2017

Kempen 'Undi Rosak' Sedang Dijalankan..


KEMPEN merosakkan undi sedang berlegar di kalangan beberapa media sosial berbahasa Cina, yang disifatkan penganalisis boleh menghancurkan Pakatan Harapan (PH) yang memerlukan jumlah pengundi lebih tinggi untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).



Penganalisis berkata gerakan ini mencerminkan trend kelesuan dan ketidakpuasan politik yang meluas terhadap ahli politik Malaysia di kedua-dua belah pihak kerana pertelingkahan di antara mereka bertambah hebat menjelang PRU14 tahun depan.

Penganalisis politik C.C. Liew meramalkan mereka yang mungkin merosakkan undi adalah sekitar 10% hingga 15% pengundi Cina.

Memandangkan parti-parti PH bergantung sokongan 80% daripada komuniti Cina pada PRU14, kempen undi rosak boleh menjejaskan peluang mereka di banyak kerusi Parlimen dan negeri.

Satu tinjauan terhadap tiga akaun Facebook berbahasa Cina yang mempromosikannya menunjukkan kebanyakan kekecewaan itu disasarkan kepada DAP yang memperoleh sokongan utamanya daripada komuniti yang bertutur bahasa Cina.

Walaupun jumlah pengikut dan "suka" yang diterima di laman Facebook ini masih kecil, penganalisis politik Dr Phoon Wing Keong berkata kesannya boleh merebak ke bahagian lain masyarakat berbahasa Cina.

Ini termasuk pengundi yang menyokong pembangkang dalam PRU13 tetapi yang mungkin tidak keluar dan mengundi dalam pilihan raya akan datang, kata Phoon.

"Hakikatnya, tidak ramai yang memilih untuk membuat undi rosak tetapi kempen ini dapat mengurangkan kadar keluar mengundi," kata Phoon, sambil menambah kadar keluar mengundi yang lebih rendah akan menjejaskan peluang PH.

Seorang lagi pemerhati Steve Chew berkata, waspada terhadap kesan daripada kempen undi rosak, mendakwa kempen itu mungkin dilakukan oleh pihak Barisan Nasional (BN).

"Adakah geng undi rosak ini benar-benar kecewa dengan PH atau BN atau adakah mereka cuba meyakinkan penyokong PH untuk merosakkan undi mereka?"

"Siapa yang mendapat keuntungan daripada senario undi rosak ini?" Kata Chew, seorang peguam dan pengkritik kempen itu.

Beri pengajaran

Akaun paling popular daripada tiga laman Facebook itu adalah "Double X Action" atau "Ma 'X' Hang Dong" dalam Kantonis, yang hingga saat artikel ini ditulis mempunyai 599 pengikut dan menerima 587 "suka".

Beberapa video, artikel dan imej menarik cuba menyampaikan mesej yang kedua-dua pemimpin BN dan PH tidak boleh dipercayai.

Satu grafif menggambarkan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengkritik MCA kerana tidak bersuaraterhadap Pengerusi BN dan Perdana Menteri Najib Razak yang mahu bekerjasama dengan PAS.

Tetapi apabila ia menyentuh hubungan kerjasama PKR dengan PAS, orang kuat DAP itu hanya mengatakan ia adalah "hal PKR".

Grafik lain adalah gambar pengerusi PH dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, yang pernah dilabel sebagai diktator oleh DAP, dengan kata-kata: "Adakah DAP tahu apa beliau pernah lakukan?"

Dua akaun yang lain adalah @castinvalidballots atau "tou fei piao lian meng" dalam bahasa Mandarin yang mempunyai 491 pengikut dan 480 "suka", dengan posting terakhir pada November.

Satu lagi laman Facebook yang hanya mempunyai nama Mandarin ialah "Zhe me li hai ni lai zuo" dengan 350 pengikut dan 342 "suka". Terjemahan ringkasnya bermakna "jika anda begitu hebat, anda akan menjadi menteri". Posting terakhirnya adalah pada Oktober.

Posting "Double X Action" menyenaraikan tiga sebab untuk menyokong kempennya:

1. Undi rosak boleh mewakili rasa tidak setuju terhadap kerajaan dan pembangkang.

2. Undi rosak akan memberi pengajaran kepada ahli politik yang tidak bertanggungjawab.

3. Undi rosak adalah satu bentuk semak dan imbang bagi parti yang meletakkan calon tidak dikenali pengundi.

Seorang pengguna Facebook dengan nama Ian Anderson Wong, yang statusnya dikongsi pada tiga halaman, mempertahankan kempen undi rosak sebagai fenomena positif.

"Dalam jangka masa panjang, undi rosak merupakan perkembangan yang baik kerana politik Malaysia telah menyimpang daripada prinsip demokrasi," kata Wong kepada The Malaysian Insight.

Kedua-dua kerajaan dan pihak pembangkang menggunakan sistem pilihan raya untuk dipilih tetapi apabila mendapat kuasa, mereka tidak mengendahkan hasrat pengundi, katanya.

"Mereka tidak ke Parlimen dan menjadi malas dan hanya mahu glamor. Oleh itu, kempen undi rosak boleh memaksa calon-calon dan parti untuk mendengar rakyat," kata Wong.

"Jika parti-parti politik tidak menghormati apa yang rakyat inginkan, rakyat boleh memilih untuk membuang undi rosak."

Memilih yang terbaik

Liew berkata mereka yang berada di sebalik kempen undi rosak biasanya daripada kelas pertengahan, pengundi bebas yang tidak pernah bercakap tentang politik sebelum ini.

Mereka kecewa dengan perbalahan yang semakin buruk di antara kerajaan dan pembangkang selepas PRU13, kata Liew.

"Mereka adalah pihak kiri dan membentuk 10 hingga 15% pengundi Cina. Alasan mereka merosakkan undi kerana suara mereka tidak didengar. Mereka akan merosakkan PH lebih berbanding BN."

Terdapat kira-kira dua juta pengundi baru yang masih tidak memutuskan untuk mengundi pihak mana pada PRU14 dan kempen undi rosak atau jumlah keluar mengundi yang rendah akan menjejaskan prestasi PH, kata Liew.

Beliau berkata Amanah dan Bersatu perlu bekerja keras untuk mendapatkan lebih banyak undi Melayu bagi menampung jumlah undi Cina yang mungkin hilang melalui ketidakhadiran mengundi dan undi rosak.

Peguam Chew, yang kritikal terhadap kempen itu berkata setiap undi yang rosak secara tidak sengaja memberikan undi kepada BN.

"Setiap parti politik kini perlu bekerja keras untuk mendapatkan sokongan orang ramai. Di antara dua epal busuk, kita perlu memilih satu yang elok daripadanya kerana tiada ahli politik yang sempurna," kata Chew

"Ia adalah satu ilusi untuk mempercayai sesiapa sahaja yang kita pilih boleh menjadi seorang wali. Tiada yang 100% sempurna di dunia ini, termasuk YB yang kita pilih." lapor The Malaysian Insight.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails