Friday, June 9, 2017

RM9.5Jjuta: Anwar Fail Saman Tuntut Pembebasan


BEKAS ketua pembangkang Anwar Ibrahim memfailkan saman pemula untuk membatalkan sabitan dan pembebasannya dari penjara berikutan pendedahan bayaran RM9.5 juta Perdana Menteri Najib Razak kepada pendakwa raya Muhammad Shafee Abdullah.


Menurut seorang peguam yang mewakilinya N Surendran, permohonan itu dilakukan selepas laporan Sarawak Report mendakwa Najib membayar Shafee dengan jumlah tersebut pada 2013 dan 2014 sebelum Anwar disabitkan kesalahan.

Saman itu bertujuan membatalkan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan pada Mac 2014.

Surendran berkata, sebagai orang yang kena tuduh, Anwar berhak di bawah Perlembagaan mendapatkan perbicaraan yang adil di semua peringkat proses kehakiman.

Ini termasuk pendakwaan oleh peguam yang bebas dan tidak terpengaruh pihak ketiga melalui dorongan berbentuk kewangan.

"Kami memfailkannya pada pagi ini dengan kadar segera kerana mahu tarikh pendengaran diadakan secepat yang mungkin dan Anwar tidak sepatutnya berada di penjara walaupun sehari.

"Ia dilakukan kerana terdapatnya pendedahan baru yang mengatakan RM9.5 juta dibayar kepada pendakwa raya," katanya kepada pemberita di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta hari ini.

Peguam Latheefa Koya pula berkata, ia juga dilakukan kerana mendapati Shafee mempunyai kepentingan kewangan dalam perkara ini dan beliau disumbat ke penjara atas tuduhan yang serius dan tidak adil.

Katanya, sehingga kini tiada penjelasan daripada pihak Najib dan Shafee.

Latheefa menambah, semasa perbicaraan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, Shafee mengendalikan kes Anwar tanpa bersikap profesional yang sepatutnya dimiliki seseorang pihak timbalan pendakwa raya dari kamar Peguam Negara.

Pada 31 Mei lepas, Sarawak Report melaporkan peguam Umno itu yang juga ketua pendakwa raya dalam perbicaraan Anwar, dibayar RM9.5 juta yang disalurkan terus daripada akaun Najib yang berpunca daripada syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Anwar kini meringkuk di penjara Sungai Buloh atas kesalahan meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan selama lima tahun.

Sementara itu, satu sidang media mengenai forum #BebasAnwar yang dijadualkan berlangsung tadi terpaksa dibatalkan atas sebab pertimbangan undang-undang lapor The Malaysian Insight

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails