Thursday, June 1, 2017

Mahathir Enggan Jadi PM Lagi..


Tun Dr Mahathir Mohamad tidak teringin menjadi perdana menteri semula, seperti dijanjikan, kecuali dipaksa oleh parti pembangkang.


Mantan pemimpin nombor satu itu, yang sering dikritik ketika di Putrajaya, memberi jaminan enggan memegang jawatan itu ketika berundur pada 2003.

“Saya tidak boleh membelakangkan kawan-kawan saya dalam parti Pakatan Harapan,” katanya dalam wawancara langsung di Facebook hari ini.

“Kalau mereka mempunyai cadangan seperti itu dan dipersetujui, mungkin saya terpaksa menimbang tapi waktu ini saya tidak bersetuju nak jadi perdana menteri.

“Setelah saya bersara, saya sudah katakan saya tidak akan jadi perdana menteri.”

Pembangkang sedang mencari calon lain perdana menteri bagi berdepan pilihan raya umum setelah calon awal mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim kini masih di penjara.

Dr Mahathir, memerintah selama 22 tahun, membuat keputusan mengejut apabila menyertai barisan pembangkang setelah kecewa dengan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Susulan kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) beberapa tahun lalu, bekas presiden Umno itu muncul sebagai tonggak utama pembangkang apabila tokoh-tokoh lain dilihat tidak setanding Anwar.

Baru-baru ini, di kongres PKR, parti itu terus menonjolkan Anwar sebagai “calon perdana menteri ketujuh” tetapi tiada kata sepakat dalam Pakatan Harapan.

Dr Mahathir, pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), bersama presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mengangkat plakad pro-Anwar itu.

Dalam wawancara tersebut, Dr Mahathir berkata sebagai negawaran berpengalaman, beliau boleh membantu mengendalikan negara jika pembangkang memerintah.

“Kalau ada kerajaan-kerajaan didirikan selepas pilihan raya umum ke-14, kalau saya diberi peluang untuk memberi pendapat, [...] saya bersedia untuk mengambil bahagian dalam perbincangan untuk mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi,” katanya lapor MMO

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails