Thursday, June 1, 2017

Hutang P Pinang Berkurang Kerana Bantuan Kerajaan Pusat, Kata BN


Kerajaan Pulau Pinang pimpinan Pakatan Harapan berjaya mengurangkan hutang negeri kerana bantuan kerajaan persekutuan, kata Pasukan Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) hari ini.


Menurut kenyataan yang diterima FMT, pasukan itu berkata Putrajaya membantu melangsaikan 95% hutang negeri dengan mengubah pinjaman RM655 juta kepada bayaran pajakan tahunan selama 45 tahun pada 2011.

“Ia turut digunakan kerajaan DAP Pulau Pinang untuk bermegah kononnya berjaya menurunkan hutang negeri sebanyak 95%,” kata pasukan itu.

Hutang Pulau Pinang yang rendah, dikatakan yang terendah di negara ini, disebut antara sebab mengapa kerajaan negeri boleh menangani pinjaman daripada bank milik kerajaan China.

Ketua Menteri Lim Guan Eng sebelum ini berkata pinjaman RM1 bilion tersebut untuk memulakan Pelan Pengangkutan Induk (PIP) Pulau Pinang bernilai RM27 bilion, yang melibatkan pembinaan jalan raya, transit aliran ringan dan mod pengangkutan lain.

Menurut Lim, PIP akan dibiayai melalui tebus guna 3 pulau di selatan Pulau Pinang. Bagaimanapun tebus guna itu mengambil masa kira-kira 2 tahun dan kerana wang diperlukan untuk memulakan projek dalam rangka masa 2 tahun tersebut.

Bagaimanapun, pasukan BN mendakwa Exco Chow Kon Yeow mengesahkan kos PIP melonjak dari RM27 bilion kepada RM46 bilion.

“(Ia) meningkatkan kebimbangan berapa banyak dana yang perlu dipinjam kerajaan Pulau Pinang,” katanya.

Kerajaan negeri baru-baru ini meluluskan undang-undang yang membolehkan Pulau Pinang membuat pinjaman dari China, dengan tempoh bayaran semula tidak melebihi 5 tahun seperti yang ditetapkan kerajaan persekutuan.

Lim juga berkata pinjaman yang ditawarkan Exim Bank of China itu menunjukkan Beijing menyakini kemampuan Pulau Pinang membayar semula pinjaman pada masanya.

Pasukan BN bagaimanapun berkata perbelanjaan tahunan Pulau Pinang menunjukkan peningkatan ketara dari tahun ke tahun sejak DAP dan parti sekutu mengambil alih pentadbiran negeri.

“Berdasarkan kepada laporan Ketua Audit Negara serta pengumuman bajet Pulau Pinang tahun lalu, perbelanjaan tahunan kerajaan Pulau Pinang diterajui DAP melonjak kepada 500% berbanding 2008, iaitu tahun yang sama DAP mula mengambil alih pentadbiran negeri itu.”

Kenyataan itu seterusnya menunjukkan perbelanjaan tahunan yang sudah diaudit dari 2008 iaitu sebanyak RM283 juta, 2015 RM826 juta, 2016 RM980 juta dan 2017 RM1,350 juta.

Pasukan itu mendakwa kerajaan Pulau Pinang mampu menampung perbelanjaan operasi yang meningkat berlipat kali ganda dengan menjual tanah dan aset negeri secara berleluasa.

“Dianggarkan tanah dan aset bernilai RM12 bilion telah dijual atau dianugerahkan sejak 2008,” katanya, dan menambah ia tidak termasuk hak tebusguna tanah Pulau Selatan bersaiz 4,500 ekar yang kos dianggarkan RM27 bilion.

Malah, pasukan itu juga berkata Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) turut mengalami penyusutan keuntungan daripada lingkungan RM75 juta setahun kepada RM6 juta sahaja. “Berikutan itu, tahap tunai dan simpanan tetap PDC turut berkurangan.”

“Ia turut mengakibatkan kerajaan Pulau Pinang melalui pejabat ketua menteri menyalurkan pinjaman RM609 juta kepada PDC pada 2017, di mana Lim Guan Eng adalah pengerusi PDC, yang kemungkinan diperolehi dari rizab negeri.”

Oleh itu, BN bimbang pengurusan kewangan dan aset Pulau Pinang akan binasa “dek perbelanjaan dan pinjaman kerajaan DAP secara semberono”.

“Lim Guan Eng menegaskan yang mereka hanya akan meminjam sebanyak RM1 bilion dari Bank Exim China,” kata mereka.

“Pada masa lalu, Pulau Pinang mampu meraih RM 1 bilion dengan menjual tanah negeri.”

“Sebagai contoh penjualan 102 ekar tanah di Bayan Mutiara pada harga RM1.07 bilion pada 2011 dan dianggarkan RM1 bilion bagi penjualan tanah negeri seluas 470 ekar kepada Eco World, yang kemudiannya sudah ditender semula.

“Bagaimanapun Exco Chow Kon Yeow dilaporkan sebagai berkata, pada tahun lalu tiada banyak lagi tanah negeri yang boleh dijual.”

Kerana itu, pasukan BN mahu jaminan percaturan kerajaan Pulau Pinang adalah berbaloi dan tidak akan meletakkan negeri kepada risiko.

“Secara khusus, kerajaan Pulau Pinang perlu mendedahkan berapa banyak tanah negeri sebelum mereka mengambil alih pentadbiran dan berapa banyak tanah sudah dijual atau dianugerahkan serta berapa baki tanah yang tinggal pada masa ini.

“Kerajaan Pulau Pinang perlu mendedahkan keseluruhan butiran bagi projek RM46 bilion PIP, atau melibatkan kos ditanggung setiap individu di Pulau Pinang sebanyak RM28,750.” lapor FMT

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails