Wednesday, June 14, 2017

Akhirnya Peneroka Akui Kehidupan Makin Teruk Sejak FGV Ambil Alih


BAYANGKAN situasi ini. Anda bersetuju mengambil pinjaman daripada bank tetapi mereka tidak memberitahu berapa jumlahnya atau maklumat terkini mengenai berapa banyak hutang dan tempoh pembayaran balik.


Anda hanya diberitahu perlu membayar antara RM300 hingga RM400 setiap bulan, yang ditolak daripada bayaran diterima.

Selepas membayar bank kira-kira lima tahun, anda diberitahu berhutang sehingga RM100,000. Dan ini hanya diketahui selepas terpaksa bersusah payah menghubungi institusi kewangan untuk maklumat lanjut.

Situasi ini diburukkan lagi dengan hakikat pihak bank enggan memberitahu anda berapa jumlah ansuran bulanan yang dibayar bagi mengurangkan hutang itu.

Inilah yang dirasai peneroka Felda hari ini, yang mengatakan kehidupan semakin teruk sejak skim berusia 61 tahun itu diambil alih Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) empat tahun lalu.

Mereka percaya masalah baru ini mempunyai kaitan dengan FGV yang diwujudkan daripada ilham Perdana Menteri Najib Razak dengan kontroversi silih berganti, dan harga sahamnya yang semakin merudum.

Malah ia juga digelar firma kedua dilanda skandal terbesar di negara ini selepas 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut peneroka generasi pertama dan kedua di Pahang ditemui The Malaysian Insight, hutang ditanggung bukanlah masalah paling teruk yang mereka hadapi.

Sehingga September tahun lepas, peneroka boleh mengharapkan dua kali bayaran dalam sebulan apabila menyerahkan hasil ladang dua kali sebulan, kata Mohd Tarmizi Mohd Salleh dari Felda Jengka 10.

Bergantung kepada berapa banyak Felda membayar bagi satu tan kelapa sawit – kini berharga secara purata antara RM400 hingga RM500 setan – ini bermakna peneroka dijangka menerima gabungan pendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan.

Namun kini kata Tarmizi, generasi penanam kedua hanya dibayar sekali sebulan. Justeru, pendapatan mereka dibahagi separuh iaitu antara RM1,800 hingga RM2,000.

"Mereka memberitahu kami pembayaran kedua, yang biasanya diberikan pada bulan yang sama, akan dibawa ke bulan seterusnya. Kemudian bulan depan mereka melakukan perkara yang sama dengan hasil ladang bulan tersebut."

Sistem baru ini, kata seorang lagi generasi kedua peneroka Sharizal Mohd "sangat mengecewakan".

"Pembayaran pertama pada awal bulan, kami gunakan untuk membayar pinjaman kereta atau motosikal dan bil utiliti," kata Sharizal daripada Felda Gelinggi Satu.

"Pembayaran kedua pula kami gunakan untuk makanan dan keperluan harian. Jadi, sekarang kita perlu menggunakan pembayaran pertama untuk semuanya. Ia seperti anda membuat kerja bagi syarikat tetapi mereka membayar anda lewat."

The Malaysian Insight menghubungi FGV dan sedang menunggu tindak balas mereka terhadap aduan peneroka.

Prestasi merudum


Ditubuhkan perdana menteri kedua yang juga bapa kepada Najib, Abdul Razak Hussein, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dipuji di seluruh dunia kerana berjaya mengurangkan kemiskinan di kalangan petani yang tidak mempunyai tanah Malaysia.

Pentadbiran Najib memutuskan untuk membenarkan FGV untuk mengambil alih semua pengurusan penempatan Felda dan ladang.

FGV bagaimanapun, dikritik hebat sejak ia disenaraikan di pasaran saham Malaysia pada Jun 2012.

Pada 2015, ia membatalkan rancangan membeli 37% kepentingan dalam syarikat minyak sawit PT Eagle High Plantations pada nilai pasaran lebih tinggi berikutan bantahan daripada pemegang saham.

Pada masa itu, harga saham RM4.55 ketika pertama kali tersenarai menjunam kepada RM1.66 pada hari ini.

Kontroversi terbaru FGV melibatkan perebutan kepimpinan antara Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Zakaria Arshad dengan Pengerusi serta bekas bos Umno Mohd Isa Abdul Samad.

Kedua-duanya saling menuduh berlaku salah urus berkaitan kewangan dan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat.

Generasi peneroka kedua seperti Tarmizi dan Sharizal hanya mampu melihat FGV salah laku pihak pengurusan.

Bagaimanapun, aktivis politik Wan Mohd Shahrir Abdul Jalil berpendapat masalah pihak atasan turut memberi kesan kepada peneroka dalam bentuk hutang yang mereka perlu bayar semula dan bayaran tunggakan hasil ladang.

"Apabila Felda diuruskan (bekas pengerusi kumpulan) Raja Muhammad Alias (Raja Muhammad Ali), ia mempunyai RM9 bilion dalam bentuk aset, RM4.5 bilion daripadanya dalam bentuk wang tunai. Selepas FGV mengambil alih, ia kini hanya mempunyai RM200 juta aset dan wang tunai.

"Mereka juga mencatatkan RM13.4 bilion kerugian dalam tempoh empat tahun. Bagaimana ini berlaku?" Kata Wan Shahrir, yang mengetuai pasukan petugas Felda bagi parti pembangkang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Akaun dan penyata Felda menunjukkan FGV tidak mempunyai keuntungan mencukupi untuk menguruskan penempatan dan perladangan, kata Wan Shahrir.

"Kecurigaan adalah mereka tidak mempunyai wang tunai untuk menguruskan ladang seperti dahulu. Jadi, itulah sebabnya mereka berhenti membayar peneroka dua kali sebulan."

Hutang dan penghambaan

Pinjaman yang dimaksudkan peneroka adalah kos FGV yang terkumpul bagi penanaman semula dengan pokok baru bermula 2000.

Sepanjang tempoh tiga tahun penanaman semula, peneroka diberi RM1,500 elaun sara hidup sementara menunggu pokok mengeluarkan hasil.

Selepas ia mula mengeluarkan hasil, peneroka boleh memilih sama ada membiarkan FGV mengendalikan hasil ladang sementara mereka memperoleh elaun bulanan. Atau mereka boleh mengambil kembali mereka dan memetiknya sendiri.

Sila sambung bacaan anda di SINI

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails