Tuesday, May 16, 2017

Hannah Yeoh Contoh Hipokrasi Terbesar DAP?.. Ni Jawapan Hannah Yeoh.


Saya merujuk artikel tulisan Kamarul Yusoff bertajuk “Hannah Yeoh Contoh Hipokrasi Terbesar DAP” yang mempersoal komitmen DAP dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sekular.


mempergunakan ekspresi saya sebagai seorang Kristian dalam buku “Becoming Hannah: A Personal Journey” dan dalam catatan-catatan peribadi saya sebagai peluru untuk menyerang DAP.

Sejak penerbitan tulisan Kamarul ini, laman web dan portal media termasuklah Harakah Daily dan Utusan Malaysia telah menyebarkan tuduhan yang lebih kurang sama, sampai ada pula yang menuduh DAP mempunyai agenda Kristianisasi berdasarkan buku saya itu.

“Becoming Hannah”

Tulisan-tulisan tersebut seolah-olah menggambarkan bahawa buku saya ‘Becoming Hannah’ mendedahkan agenda tersembunyi oleh saya dan DAP.

Pra-pelancaran ‘Becoming Hannah’ diadakan pada 2014 sebelum diluncurkan secara rasmi pada 10 Januari 2015 (lebih dua tahun yang lalu) dan boleh dibeli secara atas talian di www.gerakbudaya.com atau mana-mana gedung buku utama seperti Kinokuniya, MPH, Popular dan Times.

Buku ini menceritakan perjalanan peribadi saya sebagai seorang anak Malaysia dalam memahami erti cinta dan tanggungjawab kepada negara, serta pergelutan yang saya hadapi sewaktu kempen pilihan raya dahulu.

Buku ini turut menceritakan kisah cinta dan perkahwinan saya serta peranan baru sebagai isteri dan ibu ketika itu. Sebab itulah buku ini berjudul ‘Becoming Hannah’ (Menjadi Hannah) dan bukannya ‘Becoming DAP’ (Menjadi DAP’) atau ‘Becoming a Christian’ (Menjadi Seorang Kristian).

DAP ada agenda Kristian?

Sekularisme ialah satu konsep yang memisahkan kuasa dan pentadbiran daripada institusi agama dan bukannya menolak agama. Negara sekular ialah sebuah negara yang mempunyai pemerintah yang mengiktiraf dan menghormati hak rakyat untuk mengamalkan agama masing-masing tanpa gangguan daripada mana-mana pihak berkuasa.

Komitmen DAP terhadap negara sekular adalah bertepatan dengan apa yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa kerakyatan Malaysia memang bersifat pelbagai kaum dan agama. Parti DAP mempunyai ahli beragama Islam, Buddha, Hindu, Kristian dan Sikh.

Justeru selaras dengan kepelbagaian agama dalam kalangan ahlinya, DAP tidak pernah menghalang mana-mana ahlinya daripada mengamalkan kepercayaan masing-masing asalkan tiada sesiapa yang cuba untuk memaksa keimanan mereka terhadap yang lain, atau membiarkan kepercayaannya mencampuri tugas hakiki sebagai wakil rakyat. Jelas bahawa DAP sebenarnya mempunyai agenda Malaysia, dan bukanlah agenda Kristian.

Sebagai seorang yang mengamalkan agama Kristian, saya percaya kepada kedaulatan undang-undang, keadilan, ketelusan, akauntabiliti, kesaksamaan dan tadbir urus yang baik dan kesemua nilai ini diterjermah dalam setiap penambahbaikan legislatif yang telah saya lakukan sebagai seorang wakil rakyat dan Speaker untuk Dewan Negeri Selangor. Saya menolak korupsi dan penyalahgunaan kuasa. Nilai-nilai yang baik inilah yang saya pegang berdasarkan kepada kepercayaan saya kepada Tuhan.

Ini jugalah nilai yang saya harapkan akan dapat tertegak di negara kita ini. Saya yakin bahawa nilai ini ialah nilai-nilai yang universal dan dikongsi oleh setiap rakyat Malaysia.

Harapan yang telah saya luahkan dalam buku saya ialah dengan mengimpikan lebih ramai rakyat Malaysia yang taat beragama dapat kembali ke tanah air dan berbakti kepada negara sementelah masalah aliran keluar kepandaian atau brain drain ini masih lagi merupakan masalah besar negara.

Bahkan, sekarang inilah masa kritikal yang mana kita benar-benar memerlukan individu dalam sektor awam yang tidak mementingkan diri dan penuh integriti.

Saya sangat sedih dengan segala tuduhan tidak berasas dan tidak bertanggungjawab yang telah dilemparkan kepada DAP dengan memanipulasikan sentimen kaum dan agama terutamanya dalam keadaan Pilihan Raya Umum bakal menjelang tiba. Saya telah membuat laporan polis hari ini dan menyerahkan sepenuhnya kepada Ketua Biro Undang-undang DAP, Gobind Singh Deo, untuk menasihati jalan perundangan yang akan diambil oleh pihak saya dan parti selepas ini.

Saya benar-benar bersyukur dengan peluang untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat bagi kawasan Subang Jaya dan kepercayaan peribadi sayalah yang telah mendorong saya untuk menjadi seorang yang tekun, jujur, adil dan terus memberikan yang terbaik untuk pengundi saya.

Saya bersyukur kerana Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Menteri Besar dan rakan-rakan Ahli Dewan Negeri memberi kepercayaan kepada saya sebagai Speaker Dewan Negeri Selangor.

Saya percaya dan akan sentiasa mendukung Rukun Negara – dengan prinsip-prinsip utama Kepercayaan kepada Tuhan, dan Kesetiaan kepada Raja dan Negara, akan saya amalkan dan laksanakan dalam memenuhi tuntutan sebagai seorang rakyat dan ahli politik di Malaysia.

Hannah Yeoh



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails