Friday, April 7, 2017

RUU 355: Hadi Bentang Dan Tangguh Ikut Skrip BN?


Keputusan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menangguhkan perbahasan usul rang undang-undang Akta 355 yang dibentangkan presiden Pas semalam telah diketahui lebih awal para pemimpin parti komponen BN, namun tidak pula diketahui sebahagian pemimpin Pas.


Presiden MIC Dr S Subramaniam berkata, BN sudah membuat keputusan supaya tidak berlakunya pengundian bagi usul persendirian Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 selepas perbahasan dan huraian di Dewan Rakyat, semalam.

Menurut Subramaniam, mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi BN sudah menetapkan usul persendirian ahli Parlimen Marang itu akan dibentangkan dan dihuraikan namun tiada pengundian akan dilakukan.

“Keputusannya adalah membenarkan Pas membentangkannya dan terdapat persetujuan untuk tiada sebarang pengundian,” kata Dr Subramaniam, ketika ditemui di Parlimen, semalam.

Ahli Parlimen Segamat itu berkata, keputusan itu selari dengan keputusan yang dicapai dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi BN. Kali terakhir Majlis Tertinggi BN bersidang adalah pada 29 Mac apabila perdana menteri yang juga pengerusi BN mengumumkan kerajaan tidak akan membentangkan RUU 355 walaupun beberapa kali dijanjikan sebelumnya.

Keputusan itu, kata Najib dibuat sebagai menghormati konsensus BN. Subramaniam berkata, sekiranya Speaker Dewan Rakyat tidak menangguhkan sesi perbahasan usul persendirian tersebut, MIC akan memberikan pendirian dan pendapat mereka berhubung perkara itu.

“Oleh sebab speaker tidak membenarkan perdebatan jadi MIC tidak boleh menyertainya. “Jika speaker membenarkan pihak lain untuk berbahas, kami akan memberikan pendapat kami daripada sudut pandang Perlembagaan,” kata Dr Subramaniam dipetik The Malay Mail Online.

Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup berkata, konsensus yang dicapai BN adalah hanya membenarkan RUU 355 itu dibentangkan.

"Itu sebenarnya keputusan (yang dicapai BN) tetapi hanya untuk memperkenalkan (RUU 355)... dan itu sahaja," katanya ketika ditemui pemberita.

Pandikar semalam menangguhkan perbahasan usul persendirian Abdul Hadi untuk meminda RUU 355 ke sesi sidang Dewan Rakyat akan datang pada 24 Julai depan.

Keputusan itu dibuat selepas ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan selesai berucap menyokong usul persendirian tersebut selepas Abdul Hadi membentangkannya di Dewan Rakyat. 

Namun Dewan Muslimat Pas dalam satu kenyataan yang disiarkan laman rasmi parti itu, Harakahdaily semalam berharap usul itu dapat dibahaskan dengan baik oleh ahli parlimen dan diterima akhirnya.

"Dewan Muslimat Pas mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas kesempatan yang diberikan-Nya kepada Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang juga Presiden Pas bagi membentangkan usul pindaan akta 355 dengan penuh tenang dan jelas.

"Dewan Muslimat Pas juga mengucapkan tahniah kepada Tuan Guru atas pembentangan usul tersebut. Kami harap usul ini dapat dibahaskan dengan baik oleh ahli parlimen dan diterima akhirnya," kata ketuanya Nuridah Mohd Salleh.

Sayap wanita Pas itu juga menyeru rakyat Malaysia supaya "berdoa agar usul ini diterima dan diluluskan".

Sekumpulan 11 ahli Pas juga berada di jalan utama menuju bangunan Parlimen semalam kerana menyahut seruan ketua penerangan Pas, Nasruddin Hasan agar ahli parti itu berhimpun di parlimen bagi menyokong RUU 355 lapor MalaysiaDateline



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails