Friday, April 7, 2017

Pandikar Dedah Sebab Tangguh Bahas RUU355


Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mempertahankan tindakannya menangguhkan perbahasan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355.


Pandikar berkata penangguhan itu dibuat berikutan sesi persidangan Dewan Rakyat sehari sebelumnya berakhir pada jam 5 pagi.

“Apabila saya diberi kuasa, saya mahu ia dihabiskan awal kerana setiausaha dan kakitangan Dewan Rakyat ‘berkampung’ di pejabat.

“Kami tidak tidur semalaman,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

“Saya keluar Dewan Rakyat lebih kurang 3.30 pagi dan terpaksa bangun awal untuk mendengar hujah ahli Parlimen yang kadang-kala tidak masuk akal.

“Jadi, dengan kuasa yang saya ada, saya tidak mahu duduk di situ selama 2 hingga 3 jam untuk mendengar idea daripada ahli Parlimen,” katanya.

Pada 5 April, persidangan Dewan Rakyat mencipta sejarah selepas ia berlangsung hampir 20 jam bermula dari 10 pagi hingga 5.05 pagi semalam.

Penangguhan sidang itu dibuat selepas RUU Cukai Pelancongan 2017 yang dibentangkan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, diluluskan dengan undian majoriti.

Persidangan itu juga meluluskan RUU Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2017, Kanun Keseksaan (Pindaan) 2017, Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017, Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Pindaan) 2017 dan Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) 2017.

Pandikar berkata tindakannya menamatkan sesi perbahasan pada jam 4 petang dan menguruskan sesi perbahasan semalam adalah tindakan yang adil.

“Ada pemimpin Umno mahu mencelah dan berbahas, tapi saya tak benarkan, kalau saya senangkan hati satu pihak, maknanya saya tidak adil.

“Penanda aras ‘keadilan’ tugas speaker adalah apabila semua yang hadir tidak setuju dengan saya,” katanya. Katanya, pada sesi pembentangan RUU, beliau tertakluk di bawah Peraturan Mesyuarat 15 Dewan Rakyat iaitu tiada kuasa menangguhkannya sehingga selesai.

“Mereka tidak memahami prosedur Parlimen, sekali usul dibentang, dibahas dan ada sokongan, speaker harus serahkan kepada Dewan Rakyat dan masalah ini terbuka untuk dibahas dan diputuskan.

“Saya sendiri tak mahu ia berlaku, tapi seperti yang saya kata, malam sebelumnya kita bersidang hingga 5 pagi itu kehendak kerajaan bukan kehendak saya,” katanya.

Semalam, huru-hara tercetus di Dewan Rakyat apabila Pandikar tiba-tiba menangguhkan perbahasan usul yang dibentangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pandikar menamatkan sesi perbahasan Dewan Rakyat sebaik saja selepas ucapan Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Takiyuddin Hassan menjelaskan mengenai RUU itu.

Ia mencetuskan ketegangan apabila beberapa ahli Parlimen pembangkang terutama Khalid Samad (Amanah-Shah Alam) bangun berulang kali mempersoalkan tindakan Pandikar sambil dijawab dengan teriakan beberapa wakil rakyat Barisan Nasional lapor FMT

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails