Thursday, April 27, 2017

‘Jahanam PAN’ Buka Tirai Muktamar Ulama PAS?


Muktamar Dewan Ulama PAS hari ini bermula dengan doa ikrar “Jahanam PAN”, merujuk kepada singkatan untuk Amanah yang digunakan pemimpin PAS.


>Ketua Dewan Ulama PAS Kedah, Mohd Rejab Md Akhir meminta perwakilan berdiri dan mengetuai ikrar yang diakhiri dengan “Jahanam PAN”.

“Sebelum saya memulakan ucapan, saya minta semua berdiri kita baca ikrar. Jahanam PAN,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan Muktamar Dewan Ulama parti itu yang dirasmikan Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob, di Sekolah Rendah Islam Darul Ulum, di sini, hari ini.

Ikrar itu kemudiannya disusuli laungan takbir sebanyak 3 kali oleh perwakilan. Amanah ditubuhkan sekumpulan bekas pemimpin PAS susulan pemilihan parti 2015 yang menyaksikan kebangkitan penyokong Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan puak yang mahu PAS keluar daripada Pakatan Rakyat yang dianggotai PKR dan DAP.

Sementara itu, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Mahfodz Mohamed menyifatkan perjuangan bekas pemimpin parti Islam itu yang bertindak menubuhkan parti baharu, sama dengan perjuangan Umno yang menjadi musuh tradisi parti berkenaan sejak sekian lama.

“Rakan politik pernah bersama kita dahulu, kini perjuangannya sama dengan Umno,” katanya.

Mahfodz turut meminta pemimpin PAS terus menegak dan memperbetulkan akidah umat Islam yang terpesong dengan mengambil contoh tindakan peguam kontroversi, Siti Kasim yang mempersoalkan kewujudan Tuhan.

“Menegakkan akidah Islam amat penting demi memastikan negara berada dalam keadaan sejahtera,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menggesa pihak berkuasa mengenakan hukuman setimpal kepada pihak terbabit dalam salah laku skandal 1MDB.

“Rakyat telah hilang kepercayaan kepada kerajaan Umno dan BN yang gagal menangani isu hutang 1MDB.

“PAS mendesak kerajaan tidak terus berada dalam penafian melibatkan isu 1MDB, jika ada pihak yang terlibat, mereka perlu dihukum jika disabit kesalahan,” katanya sambil menambah isu 1MDB mengandungi unsur riba yang dilarang agama Islam.

“Isu 1MDB mempunyai kaitan dengan riba, kerajaan Umno, BN sengaja mengundang peperangan dengan Allah.”

Walaupun parti itu kini kelihatan bebas daripada kontroversi, namun muktamar tahun ini tidak kurang menariknya dengan beberapa isu dijangka dibincangkan perwakilan.

Antaranya hubungan PAS dengan PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Umno dan kerajaan Selangor, selain persediaan untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 yang dibawakan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat.

Isu lain yang mungkin dibangkitkan ialah nasib Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang lantang mengkritik kepimpinan dan hala tuju PAS kebelakangan ini lapor FMT

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails