Tuesday, March 7, 2017

PAS Tetap Akan Saman Sarawak Report.. Bila?.. Entahlah


Keputusan memfailkan saman terhadap Sarawak Report dan Penasihat Amanah Kelantan, Datuk Husam Musa tetap diteruskan apabila Pas kini sudah pun menguruskan sebahagian pembayaran kos guaman di United Kingdom (UK) bagi tujuan tersebut.


Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pihaknya juga kini sedang dalam proses pengumpulan maklumat yang cukup sebagai persiapan untuk menepis dakwaan kononnya Pas menerima dana RM90 juta daripada Umno.

“Kita sedang buat proses saman itu di UK dan sedang berjalan… Kita sudah bayar (kos) sebahagian (bagi proses) bayaran kepada peguam di sana.

“Cuma sedang dalam proses pengumpulan data lagi. Surat pertama (tuntutan) telah kita hantar dan tunggu masa sahaja, Insya-ALLAH,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Muslimat Pas Kawasan Kuala Nerus Kali Ke-36 di Kompleks Tarbiyyah At-Taqwa (Komtaq), Batu Enam.

Mengulas lanjut, Dr Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus turut mendakwa bahawa Husam mendedahkan pembohongan dan fitnah mengenai Pas yang boleh menjatuhkan maruah dan kepimpinan parti.

“Husam akan diambil tindakan (saman) itu oleh pihak yang bertanggungjawab,” katanya.

Husam dalam ceramahnya sebelum ini mendakwa tahu berhubung maklumat dana RM90 juta yang disalurkan kepada Pas melalui akaun Affin Bank.

Sebelumnya, isu tersebut mula dimainkan Sarawak Report pada Ogos tahun lalu yang mendakwa RM90 juta diterima kepimpinan Pas daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. 

Berikutan itu, Pas menyatakan untuk menyaman portal tersebut dan telah menghantar surat tuntutan kepada Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown menerusi alamat beliau di London, United Kingdom pada 13 Disember tahun lepas lapor Sinar Harian



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails