Saturday, March 18, 2017

Kerajaan akan bentang sendiri RUU 355.. Bukan Hadi..


Rang Undang-undang 355 (RUU 355) yang berlarutan mencetuskan kontroversi dalam usaha memperkukuhkan perundangan Islam akan dibentangkan sendiri oleh kerajaan dalam sidang Parlimen kali ini bagi mendapatkan kelulusan.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak komited untuk menterjemahkan hasrat tersebut yang menjadi harapan umat Islam tanpa mengganggu-gugat kepen­tingan agama serta kaum lain.

Beliau berkata, perkembangan itu memperlihatkan kerjasama kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan ‘rakan baharu’ yang pernah menjadi musuh politik untuk sama-sama memelihara kesucian agama Islam dan kedaulatan bangsa Melayu tanpa menjejaskan kepentingan agama serta bangsa lain.

“Insya-Allah dengan doa untuk kita menyatukan orang-orang Melayu. Biarlah kita kehilangan segelintir ‘kawan’ kita tapi kita akan dapat ‘kawan baharu’ yang kumpulannya lebih besar akan bersama-sama kita.

“‘Kawan baharu’ kita ini mungkin dulu musuh politik kita tapi mereka telah faham untuk sama-sama tangani masalah bersama (berkaitan agama Islam) dengan tidak mengenepikan agama lain,” katanya.

Beliau menyatakan berkata demikian ketika berucap menyempurnakan majlis pe­rasmian Berkelompok Persidangan UMNO Cawangan Peringkat Negeri Terengganu dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Peringkat negeri di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd. Zubir Embong; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani; Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang November tahun lalu membentangkan usul RUU persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355) yang mencetuskan kontroversi dengan bantahan parti komponen BN dan pembangkang.

Banyak pihak sebelum ini berpandangan kerajaan lebih wajar mengemukakan sendiri bagi mendapatkan kelulusan.

Ahmad Zahid seterusnya berkata, kerjasama dengan ‘rakan baharu’ itu tidak bermakna wujud tahaluf siyasi secara drastik sebaliknya pendekatan seumpama itu merupakan suatu hikmah yang penuh kebijaksanaan dan persefahaman antara kedua belah pihak.

“Saya akan perincikan dengan rakan-rakan (pemimpin UMNO) nanti, kalau tidak hari ini mungkin hari lain mereka akan turun bertemu tuan dan puan (ahli UMNO peringkat akar umbi) untuk beri penjelasan (mengenai RUU 355).

“Tak ada rakan kekal dan juga musuh kekal dalam politik. Kita berdoa mudah-mudahan kalau kita dapat mantapkan hubungan kalangan kita, ketepikan masalah dalaman yang ada,” jelasnya lapor Utusan



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails