Thursday, March 2, 2017

Kejatuhan Nilai Ringgit Membebankan Pelajar Diluar Negara..


Pelajar tempatan ke Mesir berdepan masalah kewangan sejak 3 tahun kebelakangan ini, kata seorang pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Universiti Kaherah, Mesir.


Nurul Filzah Ayuni Rohaizat berkata masalah itu berlaku sejak 2014 berikutan tindakan kerajaan tidak lagi memberi biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) kepada pelajar-pelajar tempatan yang menyambung pelajaran di Mesir.

Penuntut tahun ke-5 dalam bidang perubatan itu berkata, antara yang terjejas teruk adalah pelajar jurusan sains kesihatan berikutan kejatuhan nilai ringgit menyebabkan mereka terpaksa membayar yuran yang tinggi.

“Pembayaran yuran jurusan sains kesihatan adalah dalam bentuk USD dan ketidakstabilan ringgit sedikit sebanyak menyumbang kepada masalah kewangan,” katanya.

“Isu tunggakan yuran dan masalah kewangan bukanlah perkara asing bagi pelajar selain kenaikan kos sara hidup,” katanya.

Ketika ditanya mengenai tindakan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak lagi memberi penajaan baru kepada pelajar tempatan menyambung pelajaran ke Mesir, dia menjelaskan itulah punca berkurangnya pelajar baru ke sana.

Isnin lalu, Menterinya Datuk Seri Idris Jusoh berkata KPT masih meneruskan tajaan kepada tenaga pengajar yang menyambung pengajian mereka di beberapa universiti terkemuka di dunia.

Bagi pelajar yang ingin meneruskan pengajian di Mesir, Idris berkata mereka berhak berbuat demikian secara persendirian.

Kata Filzah, isu itu sangat sensitif kerana bukan hanya melibatkan pelajar baru yang akan datang, tetapi pelajar yang sedia ada di Mesir.

“Semenjak 2012, ramai pelajar datang ke Mesir dengan bayangan pinjaman biasiswa JPA dan Mara boleh dipohon sekiranya mendapatkan keputusan cemerlang.

“Pada 2014, borang tidak dibuka dan pelajar sedia ada terpaksa meneruskan baki pengajian tanpa biasiswa,” katanya.

Filzah berharap KPT akan memberi peluang kepada pelajar sedia ada dan pelajar baru yang cemerlang di Mesir untuk mendapatkan biasiswa.

“Saya tidak minta biasiswa diberikan kepada semua, tetapi berilah kepada pelajar yang cemerlang di sini,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Perundingan Mahasiswa Malaysia Mesir (MP3M), Dhiyauddin Athir Nadzari berkata penurunan bilangan pelajar jurusan sains kesihatan ke Mesir bukanlah perkara yang baru.

Katanya, pada sekitar 2010 hingga 2012 jumlah pelajar baru jurusan sains kesihatan di Mesir menyamai dengan jurusan pengajian Islam.

Bagaimanapun, pada sesi akademik 2016/2017 bilangan jurusan sains kesihatan lebih rendah daripada jurusan pengajian Islam.

“Pada sesi akademik 2016/2017, bilangan pelajar baru pengajian Islam sekitar 1,100 orang dengan pelajar baru jurusan sains kesihatan hanya sekitar 300 orang,” katanya.

Dhiyauddin berkata masalah lain adalah berkait dengan isu setempat seperti kesan perang di Syria dan pelajar ditipu dari segi bayaran sewa rumah.

“Sejak bermulanya perang di Syria pada tahun 2011, harga sewa rumah di Kaherah naik mendadak disebabkan ramai migran Syria membeli rumah dengan harga jauh lebih tinggi dari harga semasa mengakibatkan kenaikan sewa rumah yang membebankan pelajar.

“Tuan rumah pula memandang pelajar Malaysia sebagai pelajar yang berkemampuan.

“Ini menyebabkan pelajar terpaksa menghadapi kenaikan harga rumah sewa secara mendadak walaupun mempunyai kontrak yang ditandatangani bersama,” katanya kepada FMT



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails