Tuesday, March 14, 2017

BERSATU Secara Rasmi Sertai Pakatan Harapan


Parti Bersatu secara rasmi mengumumkan penyertaannya menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH).


Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun mencadangkan supaya gabungan itu diberi beberapa pembaharuan.

Menurutnya, kepimpinan Bersatu akan memaklumkan hasrat tersebut kepada Pakatan Harapan dalam masa terdekat.

"Bersatu mencadangkan agar gabungan menggunakan nama baharu, satu logo, satu simbol dan satu manifesto untuk menghadapi pilihan raya,"katanya dalam satu sidang media di ibu pejabatnya di sini. 

Terdahulu, Bersatu telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk membentuk satu pakatan pilihan raya bagi memastikan satu lawan satu melawan BN, hujung tahun lalu.

Sementara itu, berhubung pembahagian kerusi untuk menghadapi PRU14, Mahathir berkata, perkara itu belum dibincangkan lagi.

"Perkara itu hanya akan dibincang selepas gabungan baru pembangkang dibentuk.

"Kita tidak boleh lagi berbincang mengenai perkara itu, lagipun Bersatu baru sahaja rasmi umum masuk dalam gabungan itu,"katanya.

Mahathir berkata, melalui gabungan itu nanti, mereka bersetuju hanya akan meletakkan satu calon dalam satu kawasan.

"Semua ahli gabungan(parti) akan menyokong calon yang telah ditetapkan untuk bertanding di kawasan itu,"katanya.

Beliau yakin cadangan yang dikemukakan Bersatu kali ini akan diterima semua pihak dalam Pakatan Harapan.

“Saya percaya kali ini gabungan parti lawan (pembangkang) akan bersetuju dengan cadangan ini kerana mereka sedar kekalahan terdahulu disebabkan tidak merapatkan parti mereka dalam satu badan dan tidak menggunakan satu simbol,”katanya lapor Sinar



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails