Tuesday, February 21, 2017

PAS Kelantan Malu Besar.. Husam Tak Lari, Tapi Mari..


Ceramah mega anjuran Pas Kelantan yang bertajuk "Husam Lari Dari Debat Baiah" malam tadi, 20 Februari, di perkarangan Stadium Sultan Mohamad ke 1V Kota Bharu, kecoh apabila Penasihat AMANAH Kelantan, Datuk Husam Musa 'mari' ke majlis yang membicara dan menuduh tentang batang tubuh diri beliau itu.


Husam yang turut naik ke pentas bagaimana tidak diberikan sebarang peluang untuk berucap walaupun beliau menunggu sehingga penceramah utamanya, Datuk Nasruddin Daud berucap, lapor Malaysia Dateline hari ini.

Peristiwa itu disaksikan ribuan penonton di perkarangan stadium itu dan juga melalui siaran secara langsung yang disiarkan facebook.

Ini kerana, kedua-dua pihak membuat siaran langsungnya melalui facebook masing-masing.

Husam ketika mengulas peristiwa itu berkata, beliau menjangkakan malam tadi debat bai'ah akan berlangsung tetapi tidak!

"Malang! Bukan Husam Lari. Husam mari," tulis beliau dalam satu kenyataan ringkasnya.

Namun, kata bekas Exco Kanan Kerajaan Kelantan itu, majlis ini hanya menjadi majlis mempamirkan pimpinan Kerajaan Kelantan yang tidak gentleman.

"Jangkaan saya akan diberi berucap sepatah dua - meleset," kata beliau lagi yang juga Adun Salor. Husam menegaskan, sebagai makluman YB Meranti (Nasruddin), beliau masih bersedia berdebat pada bila-bila masa dengan Exco Penerangan Kerajaan Kelantan itu.

"InsyaAllah saya tidak akan lari. Saya mari," kata Husam. Ketika Nasruddin berucap malam tadi, wakil Husam yang juga Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Hazmi Hassan telah meminta laluan kepada pengerusi majlis agar membenarkan Husam bercakap sepatah dua kata pada majlis itu.

Namun, pengerusi majlis yang juga Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Kelantan, Nazman Che Iberahim berkata, Nasruddin tidak membenarkannya.

Husam dilihat tiba ke majlis itu malam tadi kira-kira jam 11 malam dan duduk di bawah bersama para penonton.

Namun, Wan Ismail Wan Jusoh yang sedang berucap ketika itu telah menjemput Husam naik ke atas pentas.

Beliau naik ke pentas dan mendengar ucapan para penceramah yang diundang termasuk mendengar ceramah yang disampaikan Nasaruddin.

Apabila majlis kecoh gara-gara provokasi seorang penonton yang menuntut debat diadakan di situ juga, Husam diminta oleh pihak penganjur beredar dari kawasan itu.

Husam telah menjadi sasaran Pas sehingga batang tubuh beliau diangkat sebagai tajuk ceramah mega yang diadakan di perkarangan Stadium Sultan Mohamad ke 1V Kota Bharu itu.

Selain isu baiah sebagai strategi untuk 'membunuh' karier Husam, Pemuda Pas juga menganjurkan laporan polis ke seluruh negara ekoran kenyataan beliau yang mendakwa sebuah bank tempatan, Affin Bank telah digunakan untuk menyalurkan wang kepada Pas oleh pihak Umno.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika mengulas isu ini menegaskan, Pas akan menyaman Husam ekoran dakwaan itu.

Namun, Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasruddin Hassan pula berkata, cukup dengan penafian sahaja dan Pas tidak perlu buktikan.

Sementarta itu, dalam reaksi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi pula berkata, Husam membuat dakwaan itu kerana beliau takut menyertai pilihan raya kerana bimbang kalah.

Abdul Hadi tidak sepatahpun menyebut Pas akan menyaman Husam atas tuduhan yang perit bagi Pas menerimanya.

Ekoran itu, dalam reaksi Husam terhadap kenyataan Abdul Hadi, beliau berkata, Hadi hanya perlu nyatakan hendak saman atau tidak bukannya bercakap berbelit-belit.



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails