Wednesday, February 22, 2017

PAS Akan Berpecah Lagi?


Salahuddin Ayub mendakwa, Pas kini berdepan perpecahan setelah parti Islam itu mula menampakkan kerjasama dan hubungan baik dengan Umno.


“Saya boleh katakan hari ini Pas sudah terbelah dua dan sebenarnya sudah berpecah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut bekas Naib Presiden Pas itu, situasi semasa kini yang memperlihatkan kompromi Pas dan Umno menyebabkan Pas berpecah dua.

“Satu kekuatan yang saya pelajari dengan Pas (dahulu), sekiranya pemimpin itu dilihat benar-benar rapat dengan erti kata lain tidak menganggap Umno sebagai musuh mereka, Pas akan berpecah lagi. 

“Saya berani menyatakan Pas akan berpecah dalam beberapa bulan akan datang,” katanya.

Katanya, perkara itu sukar diterima terutamanya dalam kalangan penyokong dan ahli Pas kerana melibatkan soal dasar.

“Secara semula jadinya tidak boleh kerana sejak dahulu lagi kita diajar begitu. Berlawan dengan Pas ini bukan soal peribadi sebaliknya soal dasar, kezaliman yang telah dilakukan, salah guna kuasa serta penyelewengan. 

“Tiba-tiba hari ini kompromi, tidak boleh.. ia (Pas) akan berpecah lagi,” katanya.

Salahuddin berkata, sememangnya Pas mempunyai kekuatan dari soal keahlian yang ramai namun kelebihan itu tidak menjamin kemenangan pilihan raya.

Katanya, sejarah membuktikan Pas tidak boleh bersendirian dan hanya akan menang banyak kerusi menerusi muafakat politik dan bertahaluf siyasi bersama DAP serta PKR.

“Pas memang tiada masalah mengumpulkan ahli dalam ceramah besar, tetapi dalam pilihan raya, belum tentu menang. Bila masa Pas menang? Apabila Pas amalkan politik muafakat.

“Hadi (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) jadi menteri besar, apabila terima Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebagai sahabat. Waktu Pas menang 27 kerusi Parlimen, ketika Pas berkawan dengan DAP dan PKR,” katanya.

Dalam pada itu, kata Salahuddin, Pas tidak perlu berteka-teki sebaliknya perlu bersikap jelas mengenai hubungannya dengan Umno.

"Kalau mereka bersungguh-sungguh (niat bersama Umno), kita jelas. Sudah ada tanda-tanda besar, kapal berlayar ke Myanmar dan mereka bersama dalam satu pentas. Jadi PH/Bersatu akan lawan BN/ Pas. Ini lebih mudah untuk rakyat membuat pilihan," katanya.



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails