Thursday, February 2, 2017

Komunikasi Strategik BN Menjawab Kenapa Minyak Naik 20 Sen..


Pasukan Komunikasi Strategik Barisan Nasional hari ini menjelaskan harga runcit petrol di Malaysia adalah berdasarkan produk akhir iaitu produk pengguna dan bukannya produk mentah atau minyak mentah.

"Sistem apungan terkawal menggunakan purata harga produk akhir - bukan minyak mentah - pada bulan sebelumnya untuk menentukan harga runcit di pam untuk bulan berikutnya. 

"Secara spesifiknya, Malaysia menggunakan sistem harga Singapore Means of Platts (MOPS) petrol dan diesel - yang boleh diakses oleh orang awam.

"Ketika harga minyak global semakin meningkat beberapa bulan kebelakangan ini akibat perjanjian untuk mengurangkan pengeluaran minyak mentah oleh negara pengeluar minyak yang sememangnya menguntungkan Malaysia, harga produk akhir petroleum yang semakin meningkat adalah disebabkan oleh beberapa faktor," katanya dalam kenyataan.

Pasukan tersebut berkata demikian sebagai menjawab kritikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ahli Parlimen DAP, Tony Pua hari ini yang mendakwa tiada keperluan untuk kerajaan menaikkan harga petrol bagi bulan Februari.

Wan Azizah dan Tony mendakwa harga minyak mentah pada bulan Januari telah jatuh dan ringgit tidak mengalami penurunan berbanding bulan sebelumnya.

Mengulas lanjut, pasukan tersebut berkata, banyak pihak melaporkan secara meluas bulan lalu mengenai loji penapisan di Asia Tenggara menikmati harga yang tinggi dan margin keuntungan yang memuaskan kerana banyak loji penapisan di serata dunia yang menghentikan operasi akibat kebakaran dan penyelenggaraan.

"Ini telah mengurangkan bekalan dan menaikkan margin keuntungan loji dan harga produk selain dan menyebabkan harga MOGAS 95 naik," katanya lagi.

Ketika banyak pihak merungut ekoran kenaikan harga petrol semalam, rakyat negara ini masih lagi menikmati harga bahan api yang terendah di Asia Tenggara (kecuali Brunei) dan tergolong di dalam 15 negara yang memiliki harga bahan api termurah dalam kalangan 180 negara di seluruh dunia, katanya.

"Di rantau ASEAN, harga RM2.30 seliter untuk bulan Februari masih lagi rendah berbanding Indonesia (RM2.73 seliter), Thailand (RM4.10 seliter), Filipina (RM3.72 seliter) dan Singapura (RM6.56 seliter).

"RON95 Malaysia juga berharga RM2.30 seliter pada Oktober dan November 2014. Pada tahun 2008, RON92 (sebelum digantikan dengan RON95) mencecah RM2.62 seliter.

"Walaupun sistem apungan terkawal akan menyebabkan rakyat Malaysia membayar lebih tinggi kerana ianya terikat dengan harga minyak global, kita juga telah menikmati harga rendah untuk satu tempoh selama 2 tahun apabila harga di pam turun sehingga RM1.60 seliter," tambahnya.

Justeru, pihaknya menasihatkan Wan Azizah dan Pua supaya memahami ekonomi dengan lebih baik berbanding mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas yang tidak benar dengan yang sengaja ingin memesongkan dan mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia.

"Mereka dan para pemimpin pembangkang perlu menyedari yang rakyat Malaysia mengisi petrol dan bukan minyak mentah. Harga petroleum yang telah ditapis adalah berbeza dengan harga minyak mentah akibat dari permintaan dan penawaran global.

"Adalah tidak masuk akal bagi pembangkang untuk menyalahkan kerajaan apabila harga minyak meningkat mengikut sistem apungan terkawal tetapi kemudian tidak memberikan pujian kepada kerajaan apabila harga minyak turun mengikut pasaran global.

"Ianya satu kitaran bulanan yang tidak akan berakhir dan pembangkang tidak pula letih memainkannya," katanya lagi.

Majoriti rakyat Malaysia mengisi petrol gred RON95 atau diesel.

Malaysia menyertai majoriti negara lain mengguna pakai sistem apungan terkawal bermula 1 Disember 2014 untuk menentukan harga runcit petrol dan diesel lapor Malaysiakini



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails