Monday, February 20, 2017

Kami Tak Percaya Anda!! Dari Duta Korea Utara Kepada Malaysia


Pyongyang hari ini membidas pihak berkuasa Malaysia yang membuat pendirian bercanggah berhubung penyiasatan pembunuhan kematian abang pemimpin Korea Utara, berkata ia tidak mempercayai siasatan polis Malaysia.


Duta Korea Utara, Kang Chol menjelaskan, pihaknya kesal apabila tidak dimaklumkan tentang siasatan dilakukan polis terhadap rakyatnya.

“Sudah 7 hari sejak kejadian berlaku, tetapi tidak ada bukti kukuh sebab kematian dan pada masa ini, kami tidak mempercayai siasatan dijalankan polis walaupun keputusan bedah siasat akan diketahui.

“Sebaliknya, ia hanya menambahkan lagi rasa ragu-ragu kami kemungkinan ada pihak lain yang terlibat di sebalik siasatan ini,” katanya dalam satu sidang media, di Kedutaan Korea Utara, di Jalan Batai, hari ini.

Sebelum ini, Wisma Putra bertindak memanggil Kang ekoran kenyataannya yang mendakwa Putrajaya “menyembunyikan sesuatu” serta “berpakat dan bersekongkol dengan pihak luar”.

Kementerian Luar berkata, tuduhan Kang sebagai tidak berasas dan sekaligus mencemarkan reputasi negara ini.

Malaysia sebaliknya, memberi jaminan akan menjalankan siasatan secara telus ke atas kematian Kim Jong Nam dan memaklumkan perkembangan siasatan itu kepada Kedutaan Korea Utara.

Sewaktu sidang media dijalankan, Kang dilihat tidak menggelarkan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un itu sebagai Jong Nam sebaliknya memanggilnya sebagai Kim Chol.

Bagi menyelesaikan perkara itu, Korea Utara mencadangkan pihaknya diberikan peluang terlibat dalam siasatan dilakukan polis.

“Kami mencadangkan agar siasatan bersama dilakukan agar perkara ini lebih jelas. Jika Malaysia bersetuju dengan cadangan kami, kami akan mengutuskan deligasi peguam,” katanya.

Selain itu, Korea Utara juga meminta agar pihaknya diberikan peluang bertemu 2 suspek yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan Jong Nam.

“Ada sesetengah pihak yang menyatakan 2 suspek itu diarahkan pihak lain. Kami berminat untuk mendengar sendiri daripada suspek bagi mengetahui siapakah yang mengarahkannya,” katanya.

Tambah Kang, tindakan polis menyimpan mayat Jong Nam terlalu lama juga dilihat sebagai motif politik dan dilihat seolah-olah bekerjasama dengan Korea Selatan.

“Media Korea Selatan melaporkan kematian warga Korea Utara dengan nama lain sehari selepas kejadian. Kami pula dimaklumkan polis Malaysia pada keesokan petang tentang kematian itu.

“Bagaimana mungkin Korea Selatan dapat mengeluarkan laporan tentang kematiannya dengan nama lain sebelum kami tahu?” katanya.

Kang berkata, tindakan polis yang tidak memakai seragam polis menyerbu kediaman rakyatnya dan menahan tanpa sebarang waran atau bukti jelas melanggar hak asasi manusia.

“Mereka juga menyiarkan di televisyen tentang kejadian penahanan itu. Ini dikira pelanggaran hak asasi manusia yang besar.

“Malah mereka turut mengacukan pistol ke arah ahli keluarga untuk mengugut nyawa mereka dan memukul anak lelakinya di rumah. Ini pelanggaran hak asasi manusia yang hanya dilihat di dalam filem geng Amerika Syarikat,” katanya.

Isnin lalu, Jong Nam yang dijadualkan berlepas ke Macau pada jam 9 pagi itu, didatangi 2 wanita yang menyembur sejenis cecair dan menyerkup mukanya dengan sehelai kain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Abang sebapa kepada pemimpin Korea Utara itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital selepas meminta bantuan di kaunter khidmat pelanggan klia2 lapor FMT



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails