Tuesday, January 10, 2017

SPRM Serbu Pejabat Ketua Menteri Melaka


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilapor merampas dokumen-dokumen daripada Pejabat Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dalam lawatan mengejut semalam.

Ketua menteri juga disoal siasat dalam serbuan empat jam semalam, lapor New Straits Times.

Badan antirasuah itu membawa pulang “beberapa kotak” bukti bagi membantu siasatan terhadap penjawat awam yang “mempunyai kaitan dengan pejabat ketua menteri,” menurutnya lagi.

Akaun bank penjawat awam berkaitan yang mempunyai wang bernilai jutaan ringgit turut dibekukan, lapor harian itu lagi.

Serbuan dijalankan olehh pasukan daripada ibu pejabat SPRM di Putrajaya. Idris berkata SPRM hadir untuk melengkapkan siasatan terhadap penjawat-penjawat awam yang ditangkap di Melaka.

Serbuan itu dilakukan ketika siri tindakan terhadap pegawai-pegawai kerajaan, termasuk ketua setiausaha (KSU) di peringkat kementerian.

SPRM telah pun merampas RM5 juta dalam bentuk wang tunai dan jongkong emas dalam kes KSU itu, yang turut menyaksikan dua anaknya turut direman.

Sementara itu, pegawai daerah Johor Bahru Ahmad Ehwan Ahmad, 56, mengaku tidak bersalah menerima rasuah sebanyak RM150,000.

Dia didakwa menerima rasuah untuk meluluskan pemindahan barangan pembinaan di Affin Bank cawangan Kebun Teh Commercial City, Johor Bahru pada 6 September tahun lalu.

Dia dituduh bawah Seksyen 156 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya.

Beliau dibenar diikat jamin dengan RM30,000 dengan seorang penjamin. Sebutan kes ditetapkan pada 14 Februari depan.



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails