Wednesday, January 18, 2017

Mengapa Hanya Larang Kapcai?


Penunggang jalan raya membantah cadangan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor melarang kenderaan berkapasiti enjin kecil atau “kapcai” memasuki Kuala Lumpur sebagai langkah mengurangkan pencemaran.

Mohd Nazri Amri, 38, berkata cadangan dibuat menteri Wilayah Persekutuan itu tidak logik dan praktikal.

“Semua kenderaan ada pelepasan karbon. Kalau macam itu, larang semua kenderaan masuk ke Kuala Lumpur.

“Beliau ada guna kenderaan awam? Tak ada. Rakyat bukan kaya sangat. Sehari guna pengangkutan awam berapa pula kosnya?” katanya kepada FMT hari ini.

Semalam, Tengku Adnan menyatakan motosikal berkapasiti enjin kecil atau “kapcai” mungkin dilarang memasuki Kuala Lumpur sebagai langkah mengurangkan kadar pelepasan karbon.

Beliau berkata, pihaknya akan melaksanakan larangan itu sekiranya harga tambang pengangkutan awam berpatutan.

Mengulas lanjut, Nazri yang menggunakan motosikal untuk berulang alik ke tempat kerja tidak dapat menerima cadangan itu.

“Majoriti rakyat menggunakan motosikal. Kami tak berkemampuan. Ini sahaja yang mampu,” katanya.

Seorang lagi penunggang motosikal yang hanya mahu dikenali sebagai Shazri, 30, turut melahirkan rasa tidak puas hatinya dengan saranan menteri itu.

“Mengapa hanya motosikal kapcai sahaja yang kena? Kenapa kereta, motosikal berkuasa tinggi dan lain-lain kenderaan tidak dilarang?

“Jika nak larang, laksanakan kepada semua jenis kenderaan. Kita menggunakan kenderaan seperti motosikal untuk pergi kerja, nak elak kesesakan lalu lintas,” katanya.

Mengulas isu yang sama, pemilik kedai membaiki motosikal di Jalan Raja Laut, LW Low, 50, melahirkan kegusaran jika cadangan itu benar-benar dilaksanakan kerajaan.

Ini menurutnya akan memberi kesan buruk kepada sumber pendapatan, sekaligus menjejaskan perniagaannya.

“Kalau motosikal tak masuk Kuala Lumpur, macam mana saya nak berniaga? Saya tak dapat untung dan akhirnya perniagaan terpaksa ditutup.

“Sudahlah sewa kedai mahal, perniagaan dan ekonomi negara pula teruk. Sekarang kerajaan nak larang motosikal masuk Kuala Lumpur? Matilah kami,” katanya lapor FMT



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails