Sunday, December 11, 2016

'War Of PRU14', Fitnah Ala Nazi - Kit Siang


Sentimen politik kebencian sangat menonjol seperti yang dapat dilihat pada ucapan Datuk Seri Najib Razak dalam Perhimpunan Agung Umno lalu, tegas Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Beliau mendedahkan selepas Perhimpunan Agung Umno terdapat kempen yang dianggapnya propaganda ala Nazi dan menyebarkan kebencian.

"Saya digambarkan Perdana Menteri dalam 'War of PRU14'. Tun Mahathir sebagai Timbalan Perdana Menteri.

"Ini fitnah ala Nazi yang menunjukkan betapa rendah mereka yang mencipta fitnah termasuk mengaitkan dengan George Soros. Ini kempen tidak sihat.

"Moga rakyat berwaspada dengan kempen kebencian seperti ini," ujarnya ketika sidang media pada Konvensyen Nasional Amanah hari ini.

Tambahnya, Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menolak kempen kebencian dan berbaur fitnah yang dilakukan oleh Umno.

"Kita dalam Pakatan Harapan dan parti Tun (PPBM) mengutuk sekeras-kerasnya politik kebencian," katanya lagi.

Terdahulu, Kit Siang mengucapkan tahniah kepada Amanah yang disifatkan sebagai mempunyai pengaruh besar dan sangat berjaya dalam setahun penubuhannya.

"Rakyat mahu melihat perubahan. Ini satu perkembangan yang baik untuk negara kita," ujarnya.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, lebih ramai lagi pemimpin diperlukan untuk menjayakan usaha bagi mengakhiri pemerintahan diktator.

"Kita jaga terus garis perjuangan bagi menamatkan era diktator Najib Tun Razak.

"Usaha dan komitmen kita untuk selamatkan Malaysia. Untuk jatuhkan Umno-BN, kita perlukan kerjasama.

"Kita gabungkan semua parti pembangkang ini dengan niat untuk mereformasikan Malaysia dan memastikan Najib dan pemerintahan BN digantikan," kata Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai itu lagi lapor MalaysiaDateline


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails