Sunday, December 4, 2016

Rohingya: Kenapa Hanya Bertempik Di Perhimpunan Tapi Menyepi Di Dewan Membisu Di PBB?


Pada 24hb November 2016, saya sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu telah membawa usul di bawah 19 (a) untuk membahaskan isu pembunuhan orang Islam Rohingya di Myanmar.


Bagaimanapun, Speaker Dewan telah menolak usul tersebut atas alasan ia akan “mencampuri hal Negara lain”. Saya dan beberapa lagi ahli Parlimen pembangkang telah menggesa ia dibenarkan kerana pentingnya dan seriusnya isu pembunuhan beramai-ramai Islam Rohingya yang melibatkan tentera Myanmar.

Dewan Mulia Parlimen adalah forum terbaik untuk membahas dengan teratur demi mendengar pendirian dan tindakan yang ingin dicadangkan untuk diambil kerajaan dari ahli-ahli Parlimen Malaysia baik dari Kerajaan atau pembangkang.

4. Tidak sampai seminggu setelah usul yang di bawa di Parlimen ditolak, Kerajaan dan Perdana Menteri sendiri pula mencadangkan himpunan besar-besaran untuk membantah apa yang berlaku di Myanmar. Adakah mereka ikhlas dalam bantahan mereka ini? Sedangkan membahas usul mengutuk kezaliman ini di Parlimen adalah jauh lebih bermakna dan peluang ini telah pun dinafikan apabila usul ditolak di Parlimen pada 24 November.

5. Adakah hanya setelah melihat kemarahan rakyat pada demonstrasi selepas solat Jumaat pada 25 November, kerajaan baru membuat keputusan untuk melakukan sesuatu dan itu pun sekadar mengadakan himpunan pada 4 Disember?

Sedangkan sebelum pada itu cadangan untuk menarik diri dari perlawanan bolasepak di antara Malaysia dan Myanmar pun ditolak oleh Kabinet Malaysia. Ini amat menyedihkan dan memalukan kerana sementara seperti disahkan pegawai Bangsa-bangsa Bersatu di Myanmar, umat Islam di Myanmar dibunuh secara berterusan oleh tentera Myanmar, kita sanggup terus bersukan di padang bola.

Kita pernah tarik diri dari Sukan Olimpik di Moscow kerana serangan Russia ke atas Afghanistan pada tahun 1980’an. Maka kenapa kita tidak melakukan tindakan sama dalam kes Rohingya ini? Adakah demonstrasi ini sekadar bertujuan menunjuk kebersamaan dengan rakyat demi menutup hakikat bahawa kerajaan tidak bertindak?

6. Bagaimana pula dengan pendirian Malaysia kononnya yang menerajui ‘Global Movements of Moderates”, kumpulan sederhana, kalau kita tidak membuat pendirian dengan kerajaan yang menunjukkan sikap extremis ke Agamaan dan perkauman dengan pembunuhan "genocide" beramai-ramai orang Islam melalui program pembersihan ethnik? Tidakkah peranan kerajaan semestinya demi mengerakkan semua yang bersama GMM ini supaya bertindak ke atas kerajaan Myanmar?

7. Apabila usul Rohingya ditolak di Parlimen pada pagi 24 November 2016 oleh Speaker Parlimen, YB Dr. Siti Mariah dan Raja Bahrin dari Amanah, YB Tian Chua dari PKR dan YB Kula Segaran, YB Charles Santiago dan YB Chin Tong dari DAP berucap membantah penolakan usul ini. Tidak ada seorang pun Ahli Parlimen dari Barisan Nasional atau PAS berdiri untuk berucap menggesa usul ini di benarkan di dalam Dewan Parlimen yang mulia itu ! Tiba-tiba di luar Parlimen mereka ingin menjuarai isu ini? Sedangkan dalam Parlimen mereka diam.

Kenapa menyepi di dalam Dewan tetapi akan lantang bersuara di luar dewan? Adakah kerana himpunan di luar Dewan Parlimen akan di tonton oleh lebih ramai orang maka ia lebih penting dari perbahasan dalam Dewan parlimen? Sedangkan dalam Parlimen tindakan sebagai kerajaan boleh ditetapkan. Dan ini jauh lebih bermakna. Rakyat Malaysia ingin penjelasan.

8. Kami menuntut satu sessi Dewan Parlimen khas dengan segera untuk membahas isu pembunuhan Islam Rohingya. Kerajaan Malaysia perlu membuat pendirian yang tegas dan rasmi di Parlimen dan bukan di padang terbuka.

Kalau permintaan ini tidak dihiraukan maka rakyat akan membuat kesimpulan bahawa demonstrasi ini sebenarnya bukan bertujuan membantu Rohingya tetapi sekadar membantu UMNO dan PAS mengaut sokongan politik masyarakat Melayu.

Itu adalah sebahagian dari kenyataan media oleh Raja Bahrin Shah Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah.

Persoalan utama yang dibangkitkannya .. Kenapa MP-MP UMNO dan PAS menyepi di dalam Dewan tetapi lantang bersuara di luar dewan?

Persoalan yang lain pada peringkat antarabangsa pula ialah Malaysia adalah Ahli Majlis Keselamatan PBB

Mengapakah Kerajaan Malaysia tidak menggunakan peluang, amanah dan tanggungjawab sebagai Ahli Tidak Tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mendesak usul tergempar mengenai penghapusan etnik Rohingya?

KENYATAAN MEDIA

APAKAH PENDIRIAN KERAJAAN MALAYSIA MENGENAI PENGHAPUSAN ETNIK ROHINGYA?

Penghapusan etnik Rohingnya yang sedang berlaku di Myanmar ketika ini merupakan sebuah tragedi besar dalam sejarah kemanusiaan.

Tragedi ini mendapat perhatian seluruh dunia termasuk juga rakyat Malaysia. Namun demikian, Kerajaan Malaysia seakan-akan berpeluk tubuh melihat tragedi ini berlaku.

Tidak dinafikan wujudnya protes-protes kecil daripada Kerajaan Malaysia seperti pembatalan perlawanan persahabatan bola sepak Skuad Projek Sukan SEA negara menentang Skuad B-22 Myanmar (walaupun tiada alasan rasmi diberikan oleh pihak FAM), penganjuran perhimpunan solidariti Rohingya pada 4 Disember, serta rasa simpati dan kutukan keras yang diucapkan oleh Perdana Menteri Najib Razak semasa ucapan pembukaan Perhimpunan Agung UMNO 2016 (PAU 2016).

Persoalannya, mengapakah Kerajaan Malaysia tidak menggunakan peluang, amanah dan tanggungjawab sebagai Ahli Tidak Tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mendesak usul tergempar mengenai penghapusan etnik Rohingya?

Janganlah kita lupa bahawa Malaysia adalah Ahli Majlis Keselamatan PBB. Kerajaan Malaysia juga kerap menggunakan alasan polisi ‘non-interference’ ASEAN apabila didesak untuk mengambil pendirian yang lebih serius.

Alasan polisi ‘non-interference’ ASEAN juga digunakan apabila Kerajaan Malaysia tidak mahu membincangkan isu ini di Dewan Rakyat.

Kerajaan Malaysia juga sehingga kini, masih tidak mengiktiraf pelarian Rohingya sebagai pelarian perang. Dengan ini, saya mendesak Kerajaan Malaysia membawa usul tergempar membahaskan isu penghapusan etnik Rohingya di Myanmar ke peringkat Majlis Keselamatan PBB.

Malaysia juga , sebagai pengasas ASEAN, harus ke depan memecahkan tradisi lapuk membawa isu penghapusan etnik Rohingya ke peringkat ASEAN kerana ini adalah isu kemanusiaan dan hak asasi.

Janganlah kita setakat simpati dan bertempik tetapi juga bersuara menggunakan kedudukan dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Akhir sekali, ingin saya menegaskan, jika Kerajaan Malaysia benar -benar mengambil serius isu ini, penghapusan etnik Rohingya, langkah pertama harus diambil iaitu adalah mengiktiraf pelarian Rohingya sebagai pelarian perang.

Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ketua Pembangkang, Parlimen Malaysia
Presiden Parti Keadilan Rakyat

4 Disember 2016

Kenapa Kerajaan tidak mahu usir keluar saja semua pendatang dari Myanmar yang berugama Buddha yang berada di negara kita?

Kenapa Kerajaan tidak mahu mengusir keluar duta Myanmar keluar dan panggil balik Duta Malaysia disana dan gantung hubungan diplomatik?



Kenapa???.. Kenapa perlu Najib sertai demo sedangkan semua kuasa itu ada ditangannya... fikir-fikirkan..

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails