Friday, December 16, 2016

Amanah Terlindung Dari PAS Jika Bergabung Dengan PKR?


Seorang pemerhati politik menyambut baik cadangan agar PKR dan Amanah bergabung, dan berkata ia memberi kelebihan kepada Amanah di sebalik serangan ke atasnya oleh PAS.

Prof Ahmad Atory Hussain dari Universiti Sains Malaysia berkata percantuman kedua-dua parti itu juga akan memperkasakan pakatan pembangkang.

“PAS tidak akan dapat mengkritik Amanah seperti mana sekarang dan ia mungkin menyaksikan PAS bekerjasama dalam Pakatan Harapan,” katanya kepada FMT.

Idea bergabung itu dilontarkan semalam oleh Timbalan Ketua Pemuda PKR, Dr Afif Bahardin, dilihat sebagai jalan penyelesaian sebarang perebutan kerusi yang timbul pada pilihan raya umum akan datang.

Ia susulan beberapa ucapan pemimpin Amanah pada konvensyen parti Sabtu lalu, yang memperlihatkan kemungkinan berlaku perebutan kerusi menjelang pilihan raya umum.

Afif berpandangan kedua-dua parti berkongsi nilai sama seperti kepelbagaian kaum dan kesederhanaan dalam pendekatan Islam.

Bagaimanapun, rata-rata pemimpin politik menolak cadangan itu dan berkata memadai kedua-dua parti bergerak di dalam Pakatan Harapan.

Pensyarah kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Mohammad Agus Yusoff tidak setuju dengan pandangan 2 parti itu mempunyai nilai sama.

Menurutnya, Amanah merupakan sebuah parti berlandaskan Islam progresif manakala ideologi PKR berlainan.

“Mereka mempunyai pendekatan berlainan, pengundi berlainan, ideologi berlainan dan penyokong berlainan,” kata Agus yang berkata percantuman kedua-dua parti itu tidak akan memperkasakan pakatan pembangkang.

PAS sebelum ini menolak sebarang kerjasama dengan DAP dan Amanah.

Amanah ditubuhkan bekas pemimpin PAS susulan kemenangan puak yang menyokong presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pada muktamar tahun lalu, yang menyaksikan PAS mengambil pendekatan lebih mesra dengan Umno di samping memutuskan hubungan dengan DAP.

PKR dalam bentuknya sekarang merupakan hasil gabungan Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia, pada 2003.



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails