Monday, November 7, 2016

Saya Tidak Kisah Digelar Katak - Ezam


Pengerusi Hisbah Center for Reform, Datuk Mohd Ezam Mohd Noor berkata, beliau tidak kisah dengan pandangan orang ramai yang menggelarnya sebagai 'raja lompat parti, atau 'si katak' (gelaran untuk mereka yang sering keluar parti).



Ujarnya, beliau bukanlah seorang yang fanatik parti sebaliknya seorang yang fanatik terhadap perjuangan, sebab itulah katanya beliau akan bertindak untuk keluar mana-mana parti yang dianggap sudah lari daripada perjuangan asal, kerana tidak sanggup melanggar prinsip diri.

"Macam kata Tun Dr Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas perdana menteri), kita jangan jadi fanatik parti, kita jadi orang yang fanatik perjuangan, kerana apa yang penting adalah perjuangan, bukan parti... parti hanya wadah, itu yang saya pegang.

"Jadi saya tidak hairan orang nak panggil saya apa pun, apa yang paling penting saya tidak boleh berkompromi dengan rasuah, memang untuk buat satu keputusan yang seperti yang saya buat hari ini bukan senang, susah... dah masuk keluar dah keluar masuk balik memang sesuatu keputusan yang sukar," katanya kepada Sinar Online.

Dalam pada itu, Ezam berkata, dalam hal ini (keluar parti), rekod beliau telah menyamai rekod Mahathir yang sudah tiga kali keluar parti.

"Dengan Tun M saya sama rekodlah, dia keluar parti tiga kali, saya keluar parti tiga kali cuma saya dua parti, dia (Mahathir) satu parti sahajalah, Mahathir keluar Umno tiga kali saya keluar Umno dua kali PKR sekali," katanya.

Karier politik Ezam bermula dari Umno, kemudian keluar parti itu pada 1998 untuk menyertai PKR, namun keluar PKR pada 2007 dan menyertai Umno semula pada 2008 sehinggalah pada 2016 beliau bertindak untuk keluar Umno semula.

Kini beliau bertindak sebagai Pengerusi Hisbah Center for Reform, sementelah Mahathir pula karier politiknya juga bermula dari Umno, pada 1969 beliau dipecat dari parti keramat Melayu itu dan menyertai semula Umno pada 1972 apabila Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri.

Beliau kemudiannya keluar Umno pada Mei 2008‎, bagaimanapun menyertai semula parti itu pada 2009, dan terbaharu beliau keluar dari Umno pada Februari 2016 lalu, kini Mahathir merupakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (PPBM).


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails