Thursday, November 10, 2016

Lagi Pengarah GLC Ditahan SPRM, Aset Lebih RM10 Juta Ditemui..


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia hari ini menahan seorang Pengarah Urusan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dipercayai telah menyalahgunakan kuasanya dan menerima sejumlah wang suapan.



Pasukan siasatan menahan suspek yang berusia 56 tahun di kediamannya di Seremban lebih kurang jam 9.35 pagi.

Sumber memberitahu, suspek yang memegang jawatan tersebut sejak 2010 juga disyaki telah menamatkan perkhidmatan kira-kira 20 pegawai bawahan yang enggan bersubahat dengan perbuatannya.

Pegawai tersebut juga dipercayai telah menerima sejumlah wang daripada beberapa kontraktor sebagai suapan membenarkan mereka meneruskan projek walaupun gagal menyiapkan kerja dalam tempoh masa yang ditetapkan.

“Bagaimanapun, SPRM masih menyiasat jumlah wang suapan yang telah diperolehi oleh suspek tersebut setakat ini,” ujar beliau.

SPRM telah merampas wang tunai berjumlah RM30,000 dan dua buah kereta jenis Audi TT, Toyota Hilux dan motosikal berkuasa tinggi Harley Davidson milik suspek di kediamannya itu.

SPRM juga telah membeku beberapa akaun bank milik suspek dan isteri serta anaknya yang mengandungi wang berjumlah lebih kurang RM2.5 juta yang disyaki diperolehi secara rasuah.

Pembekuan ini bertujuan untuk pasukan siasatan menjalankan siasatan di bawah Akta SPRM dan Penggubahan Wang Haram.

Suspek yang mempunyai tiga orang anak itu memiliki sembilan buah rumah yang mana dia dipercayai telah membeli kesemua rumah itu dengan pembayaran tunai.

Sumber berkata, kesemua rumah itu dibeli di Putrajaya (3), pusat bandar Kuala Lumpur (1), Cyberjaya (1)dan Negeri Sembilan (4) bernilai lebih kurang RM8 juta.

Suspek dijangka akan dibawa ke mahkamah Putrajaya bagi permohonan reman esok.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan tidak menolak beberapa lagi tangkapan susulan akan dibuat terhadap mereka yang memegang jawatan penting yang dipercayai menerima wang suapan dengan menyalahgunakan kuasa mereka.

Beliau berkata, suspek yang ditahan dipercayai telah menyalahgunakan kuasa yang ada untuk kepentingan diri sendiri sehingga menjejaskan kerjaya dan pendapatan orang lain.

Semalam, ketika mengulas berhubung kes ini kepada media Azam berkata, ia merupakan satu perkara yang bahaya apabila seseorang yang mengamalkan rasuah sehingga sanggup mengenepikan mereka yang berintegriti asalkan matlamat menghalalkan cara lapor Sinar Harian


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails