Friday, November 18, 2016

Kenapa Jamal Tak Ganggu BERSIH Di Sungai Besar?


Ketua geng baju merah Datuk Seri Jamal Yunos diminta membuktikan pengaruhnya dengan pulang ke Sungai Besar dalam pilihan raya umum akan datang untuk menjadi calon.


Ketua Amanah Sungai Besar, Ustaz Azhar Abdul Shukur berkata, Jamal hanya bising di luar sahaja tetapi tidak ada pengaruh pun di kawasan yang beliau ketuai sendiri.

"Jamal adalah ketua Umno bahagian Sungai Besar tetapi bila Umno pilih calon, Budiman (Radzi) pula yang jadi calon bukannya Jamal.

"Jadi bagi saya Jamal tidak ada pengaruh sebenarnya. Dia hanya kepala samseng sahaja," kata Azhar, bekas calon Amanah dalam pilihan raya kecil Sungai Besar sebelum ini.

Menurut Azhar, Jamal hanya sibuk mengacau konvoi Bersih di luar kawasannya sendiri. "Tetapi bila kami buat Bersih di Sungai Besar, Jamal takda pula nak kacau," kata Azhar kepada Malaysia Dateline.

Geng baju merah yang dipimpin oleh Jamal kini sibuk mengganggu perhimpunan Bersih 5 yang disokong oleh Amanah.

Ekoran tindakan Jamal dan gengnya, polis telah memberikan amaran agar perhimpunan Bersih 5 yang bakal diadakan 19 November ini dibatalkan.

Namun tragedi yang berlaku kepada Jamal sehingga hidungnya berdarah selepas ditumbuk dalam satu perhimpunan di Ampang telah menimbulkan persepsi baru kepada beliau.

Sebelum ini, Jamal telah menunjukkan aksi beliau dipukul dengan kayu namun tidak ada apa-apa berlaku kepadanya, seolah-olah beliau kebal.

Tragedi hidung Jamal berdarah itu telah menjadi viral dalam laman sosial kononnya persepsi yang cuba ditunjukkan bahawa beliau kebal hanya lawak semata-mata.

Menurut Azhar, beliau sebagai anak jati Sungai Besar tidak kenal Jamal.

"Saya mula kenal dia selepas naik isu Sekinchan Ikan Bakar yang kemudiannya tutup," kata Azhar anak kepada bekas Adun Sungai Panjang dan parlimen Sungai Besar itu, Datuk Abdul Shukur Idrus.

Dalam satu kenyataannya kepada Astro Awani, Jamal mengaku restoran Sekinchan Ikan Bakar ditutup selepas beliau melawan perhimpunan Bersih.

Jamal dikatakan membuka 23 outlet Restoran Sekinchan Ikan Bakar di seluruh negara namun ditutup kemudiannya atas dakwaan ia diboikot orang ramai selepas Jamal melawan Bersih.


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails