Wednesday, November 30, 2016

Jangan Perbodoh Rakyat Kata Puteri UMNO Kepada Pemimpin UMNO


Perwakilan Puteri Umno Pahang hari ini menyampaikan pesanan keras kepada kerajaan, mendesak pemimpin berhenti menutup kebenaran mengenai ekonomi negara.


Norsarfinaz Mohd Azman berkata kerajaan juga sepatutnya berhenti memandang rendah kebijaksanaan golongan belia hari ini.

“Kami semua intelek tinggi. Jangan tipu kami. Kalau ekonomi tak bagus, cakap tak bagus. Jangan cakap ekonomi masih okay tapi kami nampak kawan-kawan diberhentikan kerja dan harga barang rumah naik,” katanya ketika membahaskan usul agama di perhimpunan Puteri Umno di PWTC di sini hari ini.

Hadir mendengar ucapannya ialah pemangku Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Norsarfinaz yang juga ketua Puteri Umno Bahagian Jerantut meminta Zahid mendengar rayuannya supaya kerajaan berhenti melindungi kebenaran daripada rakyat, sebaliknya beritahu mereka supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.

Beliau turut meminta supaya masyarakat umum diberi peluang membantu menyelesaikan masalah itu.

“Kami tahu bukan Malaysia saja berdepan kesukaran kewangan. Ia masalah yang menjejaskan seluruh dunia.

“Jadi berterus terang dengan kami dan biar kami bekerjasama dengan kerajaan menangani isu ini,” katanya.

Dengan nada sinis, Norsarfinaz berkata dalam kerajaan menasihati rakyat berjimat dengan melancong dalam negara, sekurang-kurangnya pastikan destinasi itu cukup menarik untuk dikunjungi.

“Contohnya, jika kami hendak bercuti, mungkin kami boleh ke Pahang. Lebih pun tahun depan tahun melawat Pahang.

“Tetapi jika kami pergi sana, pastikan hutan tak ditebang. Masalah bauksit diselesaikan, jadi tidaklah ia tebal macam foundation (mekap) kami.

“Dan sungai janganlah nampak macam teh tarik,” katanya.

Wakil rakyat PKR Rafizi Ramli semalam mendakwa aktiviti penebangan hutan berlaku di seluruh Pahang.

Dalam amarannya, beliau meminta kerajaan menangani isu itu dengan segera atau beliau akan membocorkan maklumat, satu demi satu lapor FMT


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails