Monday, November 7, 2016

Tuan Ibrahim Akui.. Bukan DAP, Tapi UMNO Yang Pecahkan PAS


Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menolak dakwaan Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa bahawa DAP adalah punca parti Islam itu berpecah.



“(Berdasar) pengalaman lampau, Umno yang memecahkan PAS. Sejarah tumbangnya PAS di Kelantan dan Terengganu hasil pertembungan dengan Umno.

“Namun tindakan campur tangan DAP serta sikap menentang dasar dan perjuangan PAS menyumbang kepada apa yang berlaku,” katanya kepada Malaysiakini.

Tuan Ibrahim berkata demikian mengulas dakwaan Annuar bahawa DAP cuba memecahkan Melayu dengan meletakkan calon pilihan mereka dalam parti pembangkang termasuk PAS.

Bagaimanapun, katanya, walaupun DAP tidak meresap dalam PAS, parti itu berjaya menarik “serpihan PAS” sebagaimana yang berlaku.

Sebelum ini perpecahan dalam PAS berlaku sehingga Parti Amanah Negara (AMANAH) ditubuhkan selepas sebahagian pemimpin parti Islam itu tidak berpuas hati dengan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

'Teori konspirasi'

Sementara itu, ahli jawatankuasa DAP Selangor Edry Faizal Yusof pula menolak dakwaan Annuar.

Beliaumenyifatkan ia sebagai “teori konspirasi” untuk menyedapkan hati kerana ramai anggota Umno didakwa tidak mahu bersama parti Melayu itu.

“Pemimpin-pemimpin Umno kena berhenti tipu diri sendiri. Mereka cipta pelbagai teori konspirasi untuk sedapkan hati mereka selepas ramai ahli Umno sendiri sudah tak mahu bersama Umno.

“Pemimpin Umno kena terima hakikat Melayu bukan berpecah. Cumanya ramai Melayu yang bersama Umno dulu sudah serik dan tidak mahu bergelumang dengan puak kleptokrat dan korup, lalu mereka berhijrah memilih haluan lain,” katanya.

Tambahnya lagi, kini anggota Umno sendiri turut bangun melawan partinya sendiri.

“Boneka sebenar ialah mereka yang terus menipu diri sedang tangan dan kakinya digerakkan tok dalang bernama Malaysian Official 1 (MO1),” katanya.

PKR: Terpengaruh 'propaganda' sendiri

PKR pula menyifatkan Umno kini terpengaruh dengan dengan propaganda sendiri.

“Saya ingin ingatkan Annuar Musa, pendekatan boneka ini ialah cara Umno terhadap parti-parti komponen di dalam Barisan Nasional.

“Annuar Musa nampaknya terpengaruh dengan propaganda ciptaan BN sendiri iaitu 'DAP memperkudakan' parti-parti lain di dalam Pakatan.

“Kalau inilah bentuk serangan terbaru Umno, nampaknya parti pemerintah berhadapan dengan krisis defisit isu yang parah,” kata Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Md Akin.

Jelasnya, Pakatan sentiasa mengutamakan pendekatan konsensus dalam setiap proses membuat keputusan dan termasuk hal berkaitan pilihan raya.

Semalam Annuar mendakwa DAP kini cuba memecahkan Melayu dengan meletakkan calon pilihan mereka dalam parti pembangkang.

Dakwanya, langkah itu sebagai usaha DAP memerintah negara secara senyap dan menjadikan wakil Melayu 'sebagai boneka'.

Jelasnya, strategi DAP kini adalah meletakkan calon mereka dalam PKR, AMANAH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Selain itu dakwanya DAP cuba memecahkan orang Melayu dengan menjalinkan kerjasama dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden AMANAH Mohamad Sabu.

Ia katanya, bagi memastikan DAP dapat menumbangkan BN dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails