Wednesday, October 5, 2016

Orang Asli Tidak Bodoh!! Pesanan Kepada Kerajaan Negeri Kelantan


Digertak kumpulan samseng yang dipercayai pihak syarikat pembalak serta cuba untuk ditangkap individu yang mendakwa dirinya sebagai anggota polis.


Itulah detik mendebarkan ketika berlaku pergelutan antara masyarakat Orang Asli di Pos Simpor, Gua Musang dengan syarikat pembalakan, 28 September lalu.

Salah seorang pemuda Orang Asli yang diugut tangkap itu, Manglo Tegau berkata, tindakan mereka membina sekatan menghalang kerja pembalakan sehingga tercetusnya pergelutan tersebut bukanlah kerana Orang Asli tidak tahu menggunakan saluran yang sewajarnya untuk membantah.

"Surat kepada pihak kerajaan sudah awal-awal kami hantar. Pada 2 April lepas, kami juga sudah hantar surat kepada pejabat tanah, perhutanan serta jabatan dan agensi kerajaan berkaitan sama ada di peringkat negeri mahupun pusat.

"Selepas itu, kami hantar lagi surat minta supaya kegiatan pembalakan ini dihentikan kepada mereka bulan Mei dan Jun lalu," ujarnya ketika ditemubual Malaysia Dateline malam tadi.

Walau bagaimanapun, pemuda berusia 27 tahun itu berkata, segala urusan surat-menyurat berkenaan tidak mendapat maklum balas yang sepatutnya.

"Pejabat Tanah, Perhutanan pun tidak datang jenguk nasib kami yang diancam syarikat pembalak. Padahal, mereka patut sudah tahu tuntutan kami sebelum ini.

"Sedihnya, pihak kerajaan negeri pun tidak sudi mendengar suara apa lagi melayan tuntutan kami. Tiada respon apa pun daripada kerajaan negeri setakat siang tadi. Tiada juga perbincangan dengan kami Orang Asli di sini walaupun pergelutan Rabu lepas (28 September) sampai pihak pembalak melepaskan tembakan," keluhnya.

Tidak mudah berputus asa dengan sikap dingin pihak kerajaan itu, Manglo berkata, mereka kemudiannya menghantar surat kepada syarikat pembalak supaya mengeluarkan segala jentera, 21 September lalu.

"Macam biasa suara kami tidak dipeduli. Kerja-kerja membalak tetap diteruskan. Jadi, disebabkan kedegilan mereka, kami sebulat suara bersama Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) membuat sekatan di jalan masuk ke penempatan kami yang terdiri daripada lebih 30 kampung suku Temiar," ujarnya.

Mengulas reaksi pihak kerajaan negeri yang dilihat banyak menjawab bagi kepentingan pembalak, Manglo berkata, sikap Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah itu amat mengewakan mereka.

"Betullah kerajaan negeri sekarang sudah tidak mengambil kira langsung hak kami. Kami Orang Asli ini dianggap macam tidak tahu menggunakan cara baik untuk bersuara dan tidak mempunyai hak ke atas tanah didiami.

"Orang Asli tidak bodoh tapi jangan marah kalau Orang Asli anggap pihak kerajaan negeri yang bodoh.

"Kawasan yang diletak papan tanda kata kononnya hutan simpan, itulah yang gondol. Kami Orang Asli pelik kenapa tampal kata hutan simpan tapi kawasan itu juga diberi lesen untuk pembalak," bidasnya lagi.

Dalam hal berkaitan, Datuk Mohd Amar semalam dilaporkan berkata, tuntutan masyarakat Orang Asli supaya kawasan 19,720 hektar tanah di Hutan Simpan Kekal Balah diwartakan perlu dilakukan menerusi saluran yang betul.

"Kalau mereka bersedia kita tetapkan tarikh, saya tiada masalah. Tapi datang dengan cara yang betul," ujarnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wilayah, Tanah dan Sumber Asli Kelantan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan Zahari Ibrahim dipetik berkata, pihaknya juga dalam usaha mewartakan seluas 937 hektar kawasan di Pos Gob yang terletak dalam kawasan Hutan Simpan Kekal Balah sebagai tanda menghormati masyarakat tersebut walaupun tanah berkenaan berstatus hutan simpan.

Tinjauan Malaysia Dateline semalam turut mendapati longgokan balak dapat dilihat di mana-mana sepanjang perjalanan antara Pos Tohoi dan Pos Simpor, kira-kira dua jam 30 minit pemanduan dari bandar Gua Musang ~ Malaysia Dateline



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails