Wednesday, October 19, 2016

13 Artis Tubuh 'KUAT' Untuk Balas Jasa Umno


Seramai 13 artis terpanggil untuk menubuhkan Kelab Umno Artis Tanahair (Kuat) dalam usaha membalas budi serta menunjukkan sokongan mereka kepada Umno.


Presidennya, Datuk A Rahman Hassan, berkata, penubuhan kelab itu juga bertujuan menarik lebih ramai ahli di kalangan artis tempatan agar bersama-sama membantu memberi kesedaran tentang kepentingan parti yang banyak berjasa kepada negara itu.

"Tujuan kelab ini ditubuhkan bukan untuk mencari salah mana-mana pihak sebaliknya lebih tertumpu untuk membalas budi Umno yang banyak berjasa kepada negara daripada kami lahir sehingga sekarang," ujarnya.

Beliau ditemui dalam satu sidang media sempena penubuhan kelab itu di Bangunan Umno Lama, di sini pada Isnin.

Kelab tersebut secara rasmi telah didaftarkan bawah Perdaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) pada 5 Oktober lalu.

Selain A Rahman, penggiat seni yang menerajui kelab itu ialah Datuk Yusof Haslam selaku Timbalan Presiden manakala, Azlee Jaafar selaku Setiausaha Agung manakala Datuk Ziela Jalil pula bendahari.

Ahli Jawatankuasanya pula terdiri daripada, Datuk Nash, Khir Rahman, Datuk Azman Salleh, Datin Paduka Shuhaimi Baba, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Suhaimi Mohd Zain, Rahim Jailani, Dira Abu Zahar dan Liza Abdullah.

Dalam pada itu, A. Rahman berkata, beberapa program bakal dijalankan dengan kerjasama kelab Umno yang lain bagi memberi kesedaran kepada pihak luar khususnya artis mengenai jasa parti ini.

"Kita akan menjalankan beberapa aktiviti kebajikan dan program jelajah dengan beberapa pihak bagi memberi kesedaran kepada orang ramai khususnya para artis.

"Diharap aktiviti yang akan dianjurkan itu sedikit sebanyak membantu parti dalam usaha mengembalikan kepercayaan kepada parti Umno," ujarnya ~ mStar


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails