Tuesday, September 27, 2016

Zahid Dicadang Ambil Kelas Bahasa Inggeris


Di sebalik kritikan diterima Datuk Seri Zahid Hamidi susulan ucapan dalam bahasa Inggeris di Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), timbalan perdana menteri menerima galakan musuh politiknya.




Pengasas bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini menyatakan kekecewaannya terhadap tindakan memperlekeh usaha Zahid itu.

Bekas pendebat terbaik Asia berkata walaupun terdapat kesalahan sebutan, mesej yang hendak disampaikan masih boleh difahami.

“Beliau (Zahid) ada pilihan untuk bertutur dalam bahasa Malaysia tetapi tetap pilih untuk mengambil jalan yang lebih sukar,” katanya.

Beliau berkata kini wujud keadaan tidak sihat apabila pihak yang bercakap dalam bahasa Inggeris secara tidak fasih diejek tetapi yang fasih pula dianggap “pengkhianat bangsa” atau “lidah penjajah”.

“Kita cepat memperlekehkan usaha sesetengah rakyat Malaysia yang ingin mencuba "dunia" yang baru,” katanya di Facebook.

Menceritakan pengalaman sendiri, Syed Saddiq berkata, beliau juga dulu gagap dan tidak fasih berbahasa Inggeris, tetapi kini sudah diberikan mandat untuk mengajar di lebih 25 negara.

Justeru beliau menasihatkan Zahid supaya jangan malu bertutur dalam bahasa itu lagi dan berdepan kritikan diterima.

“Buktikan bahasa pengkritik itu salah.

“Ambil kelas bahas Inggeris dan mula terlibat dalam suasana berbahasa Inggeris,” katanya.

'Masalahnya isu kandungan'

Beliau juga menasihatkan Zahid memulakan dengan ayat-ayat pendek dan mengelakkan perkataan yang susah disebut.

“Secara peribadi saya tiada masalah dengan cubaannya bercakap dalam bahasa Inggeris,” katanya.

“Saya lebih kecewa dengan isi kandungan ucapannya. Saya lebih kecewa dengan kegagalannya untuk lantang bersuara demi negara, agama dan bangsa.”

Zahid dalam ucapannya antaranya mengajak dunia bersatu bagi menentang keganasan, yang menurut beliau, merampas kestabilan dan keselamatan di banyak negara.

Beliau juga menyentuh usaha pembangunan kemahiran untuk menjadikan Malaysia sebagai modal permulaan bagi Asia.

Ahmad Zahid juga mengetengahkan inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan Malaysia (NBOS) yang membolehkan lebih 80 kementerian dan agensi bekerjasama bagi mewujudkan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih baik dan tersusun.

Bagaimanapun, beliau dilihat tidak fasih dan tersalah menyebut beberapa perkataan seperti “blue ocean” dan merujuk Datuk Seri Najib Razak sebagai “presiden”.

Sedutan Ucapan itu kemudian dikongsi meluas di Internet, yang menyaksikan kebanyakan warga maya memperlekehkannya lapor MalaysiaKIni

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails