Thursday, September 1, 2016

Rahman Dahlan Namakan Siapa 'MO1'...


Kerajaan secara rasmi mengesahkan bahawa Malaysia Official 1 (MO1) yang dirujuk sebanyak 36 kali dalam saman sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berkaitan penyelewengan dana 1MDB adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Saya telah kata secara terbuka. Jelas sekali jika kamu membaca dokumen berkenaan, ia adalah perdana menteri," kata menteri Umno, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang dipetik BBC.

"Tetapi saya juga berkata, mengapa DOJ tidak menamakannya dengan nama yang betul. Ini kerana beliau bukan sebahagian daripada siasatan ini.

"Ada orang lain yang dinamakan .... dan Jabatan Keadilan akan membawanya ke mahkamah dan mahkamah akan membuat keputusan," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, bagaimanapun berpendapat bahawa Najib tidak perlu bertanggungjawab ke atas kegagalan dana pelaburan negara itu.

"Beliau telah bertanggungjawab, dengan melantik pasukan baru di 1MDB.

"Tetapi hanya kerana sebilangan kecil NGO dan pembangkang yang mendesak supaya beliau mengosongkan kerusinya, beliau tidak seharusnya berbuat demikian. Itu adalah melampau,” kata rahman yang juga adalah pengarah komunikasi strategik BN.

Adalah dipercayai bahawa Najib adalah MO1 tetapi kerajaan tidak pernah mengesahkan identiti itu sejak DOJ memfailkan tuntutan mahkamah pada 20 Julai lalu.

Rahman Dahlan berkata adalah bukan rahsia mengenai siapa MO1 tetapi beliau tidak menamakan individu berkenaan.

Setiap orang yang membaca dokumen-dokumen mahkamah atau mengetahui isu berkenaan akan tahu siapa orang yang sedang dirujuk, katanya.

"Tidak ada misteri tentang Malaysian Official 1, hanya orang bodoh tidak tahu siapa orang itu," katanya.

Pada 20 Julai lalu, DOJ memfailkan saman sivil untuk merampas aset di Amerika Syarikat yang didakwa dibeli menerusi dana yang diselewengkan daripada 1MDB. Ia merancang untuk mengembalikan hasil penjualan aset berkenaan kepada Malaysia.

DOJ tidak menamakan "MO1" tetapi menyifatkannya sebagai pegawai kanan kerajaan yang sebelum ini disiasat oleh pihak berkuasa Malaysia kerana mempunyai AS$ 681 juta di akaun bank peribadinya.

Riza Aziz, anak tiri Najib dan Jho Low, seorang ahli perniagaan yang dilaporkan rapat dengan keluarga perdana menteri, juga dinamakan dalam saman DOJ itu.

Turut dinamakan adalah pegawai kerajaan Abu Dhabi, Khadem Abdulla Al-Qubaisi dan Mohammed Ahmed Badawy Al-Husseiny.

Peguam Negara Malaysia Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah membersihkan daripada sebarang salah laku berhubung wang AS$ 681 juta itu atas alasan ia adalah "derma" dari keluarga diraja Arab Saudi.

Namun bagi DOJ, wang itu berasal daripada 1MDB.

DOJ berkata sekurang-kurangnya AS$ 3.5 bilion telah diseleweng daripada 1MDB dan sedang berusaha menyita AS$ 1 bilion aset yang didakwa dibeli menerusi wang yang dicuri itu.

Najib menafikan salah laku dan berkata beliau tidak pernah mengambil wang rakyat untuk kepentingan peribadi.


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails