Thursday, September 8, 2016

Mahathir Salam Anwar, Noh Omar Pulak Yang Sakit Hati.. Kenapa?


Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Tan Sri Noh Omar melahirkan rasa lucu dengan 'lakonan Hindustan' oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang bertemu dengan bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah, Noh turut mempersoalkan kewajaran Mahathir berbuat demikian memandangkan negarawan itu sebelum ini pernah mengeluarkan pelbagai kenyataan mencerca Anwar dan memecatnya daripada jawatan timbalan perdana menteri serta timbalan presiden Umno.

"Saya ketawa tengok lakonan. Kita nak tanya Tun (Dr) Mahathir, yang mana betul kenyataan dia pasal Anwar? Adakah waktu dia jadi perdana menteri dulu sehingga Anwar dipecat atau sekarang?

"Mana satu yang betul? Dulu dia (Mahathir) kata Anwar tak betul sampai dia dipecat. Ini dia nak jadi partner pula.

"Saya ketawa tengok lakonan ni. Ini lakonan Hindustan," kata Noh sambil ketawa.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan forum perumahan dan hartanah di Petaling Jaya hari ini.

Pada sidang medianya itu, Noh menafikan kenyataan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali yang mendakwa Umno kini gelisah selepas pertemuan kedua-dua bekas pemimpin tersebut.

Sebaliknya, kata beliau, pembangkang sebenarnya yang sedang gelisah selepas pelbagai percubaan untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri tidak berjaya.

"Pembangkang yang gelisah kerana dia buat macam-macam cara nak jatuhkan perdana menteri dan semuanya gagal.

"Deklarasi Rakyat dah terbukti rakyat tolak kerana pilihan raya di Sarawak, Sungai Besar, Kuala Kangsar - BN menang besar. Isu DOJ perdana menteri dah jawab, dia nak ambil proses mahkamah dan kita tunggu.

"Tak puas hati, tubuh parti baru. Sekarang nak berbaik dengan Anwar.

"Jadi pembangkang yang gelisah. Kita tak gelisah. Perdana menteri masih lagi meneruskan kerja untuk membela rakyat," katanya.

Selasa lalu, Mahathir yang juga bekas perdana menteri selama 22 tahun hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menyatakan sokongan terhadap permohonan Anwar bagi mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.

Langkah itu dilihat sebagai sokongan moral terhadap Anwar kerana kedua-dua pemimpin itu kini menentang akta itu dan menolak kepimpinan Najib.

Mahathir memecat Anwar pada September 1998 atas dakwaan penglibatan dalam kes liwat, yang kemudian membawa kepada kes mahkamah lapor Malaysiakini


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails