Thursday, September 8, 2016

Mahathir Bertemu Anwar, Kesannya Kepada Pengundi Veteran Tidak Pengundi Muda - Penganalisis


Pertemuan antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan memberikan kesan yang cukup mendalam kepada pengundi muda.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani Berkata, ini kerana pengundi muda tidak melihat pergolakan reformasi yang berlaku pada tahun 1990-an terdahulu.

Katanya,pertemuan itu sebaliknya lebih memberi kesan kepada pengundi berumur 40 tahun ke atas yang menyaksikan sendiri drama politik di antara Mahathir dan Anwar.

“Pertemuan tersebut tidak akan beri kesan kepada orang muda. Mereka tidak nampak kepentingan mereka menerusi pertemuan tersebut.

“Sebaliknya orang muda akan lebih berminat dengan apa yang Mahathir dan Anwar akan tawarkan (sekiranya ada) kepada mereka,” katanya kepada Sinar Online.

Sebelum ini, kehadiran Mahathir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dikatakan sebagai tanda sokongan terhadap permohonan Anwar bagi mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 menarik perhatian banyak pihak apatah lagi kedua-duanya bersalaman selepas 18 tahun bermusuhan.

Ketika diminta mengulas soal kehadirannya ke persidangan itu, Mahathir menafikan soal berbaik-baik namun mengulang beberapa kali kehadirannya ada kaitan dengan akta tersebut.

Azizuddin ketika mengulas perkara sama berkata, BN sepatutnya risau dengan pertemuan yang diadakan antara Mahathir dan Anwar memandang mereka mempunyai pengaruh mereka tersendiri.

“Saya tak rasa mereka akan tergugat tetapi mereka perlu risau kerana keduanya bawa dasar perjuangan yang mahu jatuhkan BN.

“BN perlu ambil perhatian dan rangka strategi untuk menawan kerajaan menjelang PRU yang akan datang,” katanya lagi.


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails