Sunday, September 11, 2016

Kerana Mahu Kawal Rasuah, Husni Dihentam Pemimpin Hipokrit..


Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah mendedahkan pernah “dihentam” selepas menyatakan kebimbangan terhadap masalah rasuah dalam negara.

Risau dengan kedudukan Malaysia yang merosot dalam indeks Transparency International, beliau membangkitkan isu tersebut dalam mesyuarat, empat hari sebelum meletakkan jawatan.

“Dalam mesyuarat itu, saya membangkitkan kebimbangan atas kejatuhan ranking negara dalam laporan rasuah Transparency International.



 “Saya mengatakan sistem tender kita mestilah lebih telus. Saya dihentam. Peristiwa ini menyedarkan saya betapa di dunia ini terdapat elemen hipokrit,” katanya kepada Sinar Harian.

Husni, yang tiba-tiba melepaskan jawatan menteri kewangan kedua pada 27 Jun lalu, bagaimanapun tidak menamakan individu yang menghentamnya.

“Saya menjangkakan konklusi [kesimpulan] mesyuarat tentulah saya diminta untuk menyediakan laporan dan cadangan yang lebih lengkap [untuk mengatasi rasuah],” tambahnya.

Dalam wawancara tersebut, wakil rakyat itu juga mengakui memang sangat sukar menjalankan tugas dengan “lurus” sewaktu berdepan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Sudah beberapa bulan saya stres sebab 1MDB. Saya anggap tekanan darah tinggi selama lima jam [pada awal April] datang dari petunjuk Ilahi bagi saya menilai di mana saya harus berada.

“Ada kala saya terasa, bekerja secara lurus tidak ada tempat di dunia ini. Saya bertanya, adakah patut saya terus berada dalam kabinet atau tidak?” kata ahli parlimen Tambun.

Pada pagi sebelum berundur daripada kabinet, tiba-tiba Husni dikejutkan dengan berita beliau akan ditukarkan ke kementerian lain.

“Yang akhirnya, pada pagi Isnin, 27 Jun 2016, semasa di pejabat, saya terkejut membaca sebuah akhbar bahawa saya akan dipindahkan ke kementerian lain dalam rombakan kabinet yang akan dilakukan pada hari itu.

“[Kenapa] saya tidak dimaklumkan lebih awal?” katanya, yang bertekad mengambil keputusan berundur daripada kabinet pada hari yang sama setelah berbulan-bulan dalam dilema.

Bekas bendahari Umno itu berkata sejak tahun lalu lagi beliau ingin meletakkan jawatan akibat tekanan isu 1MDB tetapi membatalkan hasratnya pada Januari lepas.

Husni turut mendedahkan “tidak serasi” dengan cara pemimpin negara mengendalikan isu itu.

“Saya tetapkan pada Januari 2016 sebagai tarikh akhir dalam kabinet. Saya telah bincang dengan setiausaha politik menyatakan tidak serasi dengan pembawaan pimpinan,” katanya.

“Bila tiba Januari, saya rasa tidak tergamak pula untuk meletakkan jawatan, saya terus berkhidmat. Kemudian pada April lalu, niat untuk letak jawatan kembali dan semakin kuat.”

Tambah Husni, beliau juga berdepan dengan kecaman ketika memegang jawatan menteri kewangan kedua kerana gagal melayan kehendak mereka yang inginkan projek.

“Saya sedar bukan mudah duduk di Kementerian Kewangan. Kadangkala ada individu-individu yang menghentam saya kerana tidak meluluskan permohonan tender secara rundingan terus dan rundingan terhad.

“Saya berpendirian, tugas yang saya pikul adalah suatu amanah dari kerajaan dan Ilahi. Amanah ini harus saya pikul berprinsipkan good governance.

“Saya berpendirian bahawa tanggungjawab kerajaan adalah untuk menjaga negara dan kepentingan rakyat,” katanya.

Peletakan jawatan Husni secara mendadak, sejurus sebelum Najib mengumumkan rombakan kabinet, menimbulkan tanda tanya dan spekulasi.

Beliau juga meletakkan semua jawatannya dalam Umno di peringkat pusat, negeri dan bahagian dan hanya kekal sebagai wakil rakyat kawasan tersebut.

Pada waktu itu Husni menafikan pengundurannya ada kaitan dengan syarikat kontroversi berkenaan lapor MMO



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails