Friday, August 12, 2016

Pokémon GO: Menurut Pandangan Dr. Maza


Sebarang perkara yang menjurus kepada kemudaratan termasuk bermain permainan Pokémon GO yang telah mencetuskan gelombang baharu kepada seluruh umat manusia, harus dielakkan.

Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan apa sahaja perbuatan yang merosakkan manusia dan mengancam keselamatan diri sendiri atau orang lain adalah dilarang di dalam Islam.

"Maka jelas, sebarang perkara yang mengundang kemudaratan hendaklah dihalang bukan hanya permainan Pokémon sahaja, malah semua perkara yang memberi kesan serupa," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Asri berkata semua pihak perlu peka, sesuatu kemudaratan itu bukan sahaja dalam bentuk permainan moden berkenaan malah perkara seperti tindakan, fahaman dan amalan turut boleh memusnahkan masa depan generasi dan negara.

"Jangan kita lalai kerana asyik main Pokémon dan berbincang soal permainan itu semata-mata, pada masa sama janganlah lupa memberi perhatian kepada kewujudan perkara mudarat lain yang ada di sekitar kita.

"Misalnya seorang yang merokok di tempat awam bercakap tentang bahaya Pokémon untuk diri dan orang lain. Sedangkan rokok itu telah memudaratkan manusia sejak sekian lama," katanya.

Permainan realiti berperantara berasaskan lokasi yang dibangunkan Niantic Incorporation of Nintendo USA itu mula memasuki Malaysia Sabtu lepas dan telah mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat ~ AstroAwani



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails