Wednesday, August 17, 2016

Sanusi Kata Musa Hitam Auta Saja Lebih?


Elok juga Tun Musa tulis buku Frankly Speaking sekurang-kurangnya saya dapat menilai isi hati, fikiran dan perutnya. AIDS atau (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, (Tun) Daim (Zainuddin) dan saya tidak pernah wujud sebagai satu pasukan, gabungan atau apa yang dianggap sebagai conspirators (konspirator).

Kejatuhan Tun Musa adalah kerana sikap dan tindakannya sendiri. Dia tidak begitu hebat sehingga memerlukan satu pakatan atau conspirators untuk merancang kejatuhannya.

Saya juga tidak pernah melaporkan sesuatu yang tidak baik mengenai Tun Musa kepada Tun Mahathir apatah lagi berpakat untuk menjatuhkannya. Saya pernah lihat Tun Musa dari jauh sebelum saya masuk ke dalam kabinet. Tiga orang pembantu Tun Musa saya kenal baik.



Tan Sri Shahril Samad pernah sekejap bekerja dalam Bahagian Pinjaman Bumiputra dan Luar Bandar di Chartered Bank di mana saya menjadi pengurusnya.

Dua orang setiusaha Tun Musa, iaitu Allahyarham Datuk Ajib dan Allahyarham Ismail Kamaluddin telah menikah dengankerani di pejabat saya, mungkin diperkenalkan oleh Tan Sri Shahril. Datin Rafeah ialah isteri Datuk Ajib dan Nursiah, dari Lenggeng, Negeri Sembilan ialah isteri Ismail Kamaluddin.

Dengan mengenali mereka sebelum saya jadi menteri saya tidak perlu dekat dengan Tun Musa. Saya lebih kenal Tengku Razaleigh dari Tun Musa.

Bila Tun Mahathir menyarankan pertandingan untuk jawatan timbalan presiden Umno bagi menentukan timbalan perdana menteri, saya telah diminta oleh Tun Mahathir untuk mengetuai kempen untuk menyokong Tun Musa, walaupun saya merasakan Tengku Razaleigh lebih layak.

Saya bekerja di Chartered Bank dan Tengku Razaleigh juga CEO Bank Bumiputra. Saya jadi Pengerusi Tugu Insurance, milik SHAMELIN, MAYC dan PERTAMINA, Tengku Razaleigh pun jadi CEO sebuah syarikat insuran milik PERNAS.

Pendek kata saya dapat menilai kemampuan Tengku Razaleigh sementara saya tidak tahu apa kebolehan dan pengalaman Tun Musa.

Tapi saya kempen untuk Tun Musa atas permintaan Tun Mahathir. Lepas Tun Musa menang saya pun terus tidak rapat dengan beliau tetapi bertemu dengan penolong-penolong dari masa ke masa.

Saya hanya berkawan dengan pegawai-pegawai dan kakitangan kementerian tempat saya bekerja. Masa lapang saya saya gunakan untuk isteri dan anak-anak.

Kecuali rumah Tun Daim yang saya pernah pergi untuk jamuan makan saya tidak pernah ke rumah Anwar Ibrahim yang di Bukit Damansara. Rumah Datuk Mohd Rahmat saya pergi dua kali atas urusan kerja kerana beliau setiausaha agung Umno.

Saya tidak pernah tahu di mana tinggalnya menteri-menteri lain walaupun, bila saya pencen, baru saya sedar rumah mereka tidak jauh dari rumah saya.

Oleh itu saya menemui kawan-kawan dalam kabinet dalam majlis-majlis rasmi atau dalam mesyuarat. Walaubagaimanapun saya sangat dekat dengan dua menteri saya iaitu Tan Sri Kadir Yusof kerana saya timbalannya di Kementerian Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah dan Tun Ghazali Shafie kerana saya timbalannya di Kementerian Dalam Negeri. Tan Sri Kadir suka Tun Musa dan Tengku Razaleigh.

Tun Ghazali tidak suka Tun Musa tetapi suka pada Tengku Razaleigh. Saya sangat rapat dengan pegawai dan kakitangan tempat saya bekerja. Apabila Ismail Kamaluddin meninggal dunia, Datuk Ajib ke Johor untuk jadi menteri besar dan Tan Sri Shahril dah jadi menteri, hubungan saya dengan pejabat Tun Musa terputus.

Saya mendengar desas-desus Tun Musa bercakap mengenai apa yang beliau setuju dan apa yang beliau tidak setuju mengenai dasar dan cara Tun Mahathir.

Saya tidak peduli semua itu kerana saya tahu Tun Mahathir lebih dekat hubungannya dengan Tun Musa daripada dengan saya. Malahan, selain dari Tunku Abdul Rahman yang pernah memecat Tun Mahathir, saya juga pernah menyakitkan hati Tun Mahathir dengan menggugurkan beliau dari jawatan Pengerusi Lembaga Amanah Wisma BELIA dalam satu mesyuarat agung tergempar MAYC di dewan rumah Menteri Besar Perak Datuk Seri Kamaruddin Mat Isa pada tahun 1973.

Tun Musa tidak pernah berkelahi dengan Tun Mahathir seperti saya. Malahan Tun Mahathir menentang saya menjadi calon BN bagi kawasan Jerai pada tahun 1974.

Saya adalah pilihan Tun Abdul Razak. Sejak 1976, setelah Tun Mahathir dan saya menghubungi semula tali silaturrahim saya telah mempelajari dan memahami Tun Mahathir, membaca semua ucapan dan penulisannya dan bertanya apa yang saya tak faham sehingga saya faham dan saya dapati Tun Musa sangat jauh ketinggalan baik dari segi ilmu atau perwatakan jika dibanding dengan Tun Mahathir.

Memang ada penyokong Tun Mahathir yang tertawa apabila media mengenengahkan konsep 2M tetapi ini adalah perkara remeh yang tidak memberi kesan kepada Tun Mahathir.

2M lebih sesuai jika digandingkan Mahathir dengan Margaret Thatcher dan bukannya Musa. Bila Tun Mahathir mengumumkan hasrat Tun Musa untuk meletakkan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno barulah saya mula aktif dan ingin membantu Tun Mahathir.

Tetapi regu saya untuk mempertahankan Tun Mahathir bukanlah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Daim.

Regu saya dalam mempertahankan Tun Mahathir ialah Allahyarham (Tan Sri) Megat Junid dan Allahyarham Kip Bahadun iaitu setiausaha kerja Umno di waktu itu.

Dari risikan melalui kawan-kawan di Kementerian Dalam Negeri saya difahamkan Tun Musa cemburu dengan kedudukan Tengku Razaleigh yang dikekalkan dalam Kabinet walaupun dua kali kalah dengannya dalam pertandingan untuk jawatan timbalan presiden.

Tun Musa juga, mengikut laporan, curiga dengan kemaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Satu usul telah diketengahkan oleh kawan-kawan yang dekat dengan Tun Musa supaya diadakan Perhimpunan Agung Khas untuk mendesak Tun Musa kembali sebagai timbalan presiden Umno dan timbalan perdana menteri.

Ini bererti, Tun Musa ingin mendapat mandat dari Umno secara langsung kerana dulunya Tun Musa menang atas sokongan Tun Mahathir. Tun Mahathir pula merasakan jika Musa menang dengan budi dan pertolongan Mahathir pun tidak boleh menyokong dasar-dasar Mahathir. Bagaimana pula jika Musa menang atas kehendak perhimpunan agung Umno tanpa sokongan Mahathir.

Tiga hari sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi Umno saya telah dipanggil oleh Tun Mahathir dan beliau memaklumkan bahawa jika dalam mesyuarat MT keputusan dibuat untuk diadakan Mesyuarat Agung Khas Umno Malaysia Tun Mahathir akan dengan serta merta meletak jawatan kerana beliau yakin keputusan Mesyuarat Agung Khas itu pasti mendesak Tun Musa untuk kembali jadi timbalan presiden dan TPM.

Keputusan yang dipercayai akan menyatupadukan Umno sebenarnya akan menggagalkan pemerintahan Tun Mahathir.

Oleh itu saya telah bertemu dengan Datuk Senu, Tan Sri Khir Johari dan Tun Mustapha untuk mendapat nasihat mereka bagi menewaskan usul berkenaan dalam MT.

Berasaskan komen Tun Mustapha saya dan Kip serta Megat telah beroperasi.

Bila undi diadakan dalam MT pada malam berkenaan keputusan yang didapati mengejutkan sahabat-sahabat Tun Musa kerana hanya tiga orang ahli MT sahaja yang menyokong diadakan Mesyuarat Agung Khas. Adib dan Ajib tercengang dengan kekalahan yang tidak disangkakan itu.

Setelah usul itu kalah barulah wakil Umno Johor meminta supaya rombongan mereka yang sedang menunggu di Pan Pacific dibenarkan berangkat ke London untuk memujuk Tun Musa supaya menarik balik peletakan jawatan sebagai timbalan presiden Umno.

Tun Mahathir setuju Tun Musa balik sebagai timbalan presiden Umno tanpa memegang semula jawatan TPM kerana lantikan TPM adalah dalam bidangkuasa PM.

Terdengar bisikan perwakilan Johor bahawa Tun Musa perlu ambil balik jawatan timbalan presiden Umno kerana yang memegang jawatan ini juga akan menjadi pengerusi Jawatankuasa Disiplin Umno yang boleh memecat penyokong-penyokong Musa.

Tun Mahathir mulanya ingin menunggu Perhimpunan Agung untuk memberi peluang kepada Tengku Razaleigh mengalahkan Tun Musa. Keadaan memerlukan Tun Mahathir melantik Tun Ghafar Baba. Setelah mengetahui Tun Mahathir tidak akan menerima Tun Musa sebagai timbalan presiden Umno dalam pemilihan Perhimpunan Agung berikutnya.

Tengku Razaleigh yang sepatutnya bertanding untuk jawatan timbalan presiden Umno telah berselera untuk bertanding bagi jawatan presiden kerana sokongan Tun Musa sebagai timbalannya.

Sebagai 'political animal' Tun Musa pasti tahu bagaimana memastikan Tengku Razaleigh kalah dengan harapan beliau menang menentang Ghafar dan akan menjadi perdana menteri apabila Tun Mahathir selaku presiden menolak jawatan perdana menteri.

Takdir Allah regu Tengku Razaleigh dan Tun Musa kalah. Cukuplah setakat ini dulu. Saya akan buat huraian lebih panjang pada kesempatan lain.

TAN SRI SANUSI JUNID



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails