Friday, July 15, 2016

Suspek Kes Bunuh Empat Sekeluarga Di Batu Maung Ditembak Mati


Polis telah menembak mati seorang suspek lelaki yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan empat sekeluarga di sebuah kilang ayam di Batu Maung semalam.

Menurut Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Razaruddin Husain @ Rasid, suspek Chung Chun Wah, 32, ditembak mati dalam insiden berbalas tembakan berhampiran sebuah kedai di hadapan kuil Buddha Kek Lok Si di Air Itam, di sini sekitar 7 malam tadi.

"Selepas menerima maklumat daripada orang ramai, polis menghampiri suspek yang berada dalam kereta Wira Aeroback. Dia kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis dan polis kemudian membalas tembakan.

"Dia terbunuh dalam tembak-menembak itu tetapi jika dia tidak menembak ke arah polis, kita akan memberkasnya," kata Razaruddin pada sidang media di tempat kejadian.

Hasil pemeriksaan polis selepas itu menemui dadah dan peralatan menghisap dadah di dalam kenderaan suspek.

Mayat kemudiannya dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

Kes tersebut dianggap selesai dengan kematian suspek tersebut.

Dalam kejadian awal pagi Rabu, Chun Wah dipercayai menembak mati empat ahli keluarga sendiri selepas berlaku pertengkaran antara mereka dalam kejadian di sebuah kilang memproses ayam.

Mangsa yang maut disahkan sebagai, Toh Hock Choon, 50, yang juga pemilik kilang; teman wanitanya, Tan Saw Sim, 50, anak lelaki Saw Sim, Chung Wah Thong, 27 dan cucunya yang dikenali sebagai Ah Bee, 2 tahun.

Suspek, yang juga anak kedua mangsa wanita menggunakan pistol jenis semi-automatik ketika melepaskan beberapa das tembakan sebelum bertindak melarikan diri dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Hasil maklumat orang awam, polis kemudian menemui kenderaan milik suspek terbabit ditinggalkan di Bukit Mertajam pagi Rabu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam tweetnya turut mengucapkan syabas terhadap kejayaan itu.

"Syabas STAFFOC@PDRMsia tumpaskan penjenayah selepas berbalas tembak di Air Itam Pg tadi. Suspek disyaki terlibat kes bunuh empat sekeluarga," katanya lapor AstroAwani



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails