Friday, July 1, 2016

Perlukah Lim Guan Eng Letak Jawatan?


Ada dua pertuduhan jenayah terhadap Lim Guan Eng semalam hanyalah serangan dan penganiayaan politik terhadap pemimpin pembangkang daripada DAP, kata Ahli parlimen Segambut Lim Lip Eng. 

Beliau mempersoalkan desakan beberapa pihak yang mahu Ketua Menteri Pulau Pinang itu meletakan jawatan di atas pertuduhan yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang semalam.

"Adakah Guan Eng mampu mempengaruhi siasatan dan pendakwaan terhadapnya?

"Adakah Guan Eng mampu memecat Ketua Pengarah SPRM, atau mana-mana anggota polis dan pendakwaraya?

"Adakah Guan Eng mampu mengubah keterangan dan bahan bukti yang telah berada dalam tangan Peguam Negara?" soalnya dalam satu kenyataan.

Justeru sekiranya jawapan kepada semua soalan ini ialah "ya", ujarnya, maka Guan Eng wajar bercuti sementara kes jenayahnya dibicarakan.

Namun katanya lagi, orang ramai hanya akan menyebut satu nama sahaja yang mempunyai kuasa sedemikian; Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Jadi Lim Lip Eng mempersoalkan kenapa beberapa pemimpin Barisan Nasional(BN) begitu terkinja-kinja mahu menyuruh Guan Eng bercuti?

"Adakah mereka begitu jahil sehingga tidak tahu bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang itu tidak mempunyai sebarang kawalan mahupun pengaruh ke atas SPRM, pihak polis dan Peguam Negara?

"Kenapa mereka tidak berani pula menyuruh Najib Razak bercuti atau meletakkan jawatan Perdana Menteri ketika draf pertuduhan terhadap Najib Razak muncul yang kemudian diikuti pemecatan Peguam Negara sebelum ini, Tan Sri Abdul Ghani Patail?," soalnya lagi.

Kata beliau hanya ada satu jawapan untuk persoalan di atas - dua pertuduhan jenayah terhadap Lim Guan Eng semalam hanyalah serangan dan penganiayaan politik terhadap pemimpin pembangkang daripada DAP ~ MalaysiaDateline


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails